Sunday, 14 December 2025

SAHABAT

Masa ingat ketika sekolah dahulu ada beberapa orang sahabat sejati. Namun bila usia semakin bertambah, tiada lagi wujud sahabat sejati.
Masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri dan ada masalah dan tanggungan perlu mereka uruskan.

Sesekali bila melihat mereka meluangkan masa bersama sahabat lain, hati teringin untuk turut serta. Tetapi mereka pun mungkin sudah terlupa akan kewujudan diri ini.

Ada sedikit luka terpalit. Namun tetap diri usaha berfikiran positif. Mengenangkan diri pun tidak sehebat mereka, maka redha sambil mendoakan yang terbaik buat mereka semua.

Tidak apa yang perlu dikesalkan.
Lumrah kehidupan begitu. Jikalau hebat, kaya dan kehidupan senang maka cepat saja orang kenal dan ingat.

Tetapi jika kehidupan biasa tambah tiada apa yang dibanggakan, maka begitulah aturannya.

Hilang sahabat dan tinggallah diri dan keluarga dan kehidupan yang masih bersisa ini.

Tuesday, 2 December 2025

HARGAILAH SEBUAH RUMAHTANGGA

 


Semakin hari semakin tidak faham diri ini sebagai seorang wanita dan juga pernah bergelar seorang isteri satu masa dahulu. Berusaha juga memahami apakah yang seorang lelaki bernama suami mahukan dalam sebuah rumahtangga. Apakah hanya sekadar layanan nafsu, sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun suami. Melalui permerhatian sebagai seorang ibu tunggal adakala bertembung dengan suami-suami yang agak liar ini sangatlah menakutkan. 

Bukanlah semua, ada juga suami yang masih lagi menjalankan tanggungjawab yang baik dan menghormati isteri serta dapat menerima segala kekurangan si isteri seikhlas mungkin. Terserempak dengan lelaki bernama suami yang gemar menjamu mata memandang wanita lain penuh nafsu itu yang merisaukan. Jika dilihat ada rumahtangga yang pada pandangan mata seorang wanita khilaf ini bagaikan lengkap sebagai sebuah rumahtangga impian ramai wanita,

Mempunyai isteri cantik, berjawatan baik dan berpendidikan tinggi. Isteri pula berasal dari sebuah keluarga kaya dan ada segalanya. Tetapi tetap juga si suami seolah melihat wanita lain bagaikan tidak pernah berjumpa dengan seorang wanita. Pengalaman sendiri juga sepanjang bekerja sebagai seorang pembantu gerai, selalu berjumpa dengan lelaki-lelaki begini. Paling menyedihkan ada yang sudah berusia juga mempunyai cucu-cicit ramai.

Betapa mudahnya seorang lelaki bernama suami lupa akan isteri mereka di rumah. Senantiasa tidak berpuas hati layanan isteri dengan alasan isteri sudah berumur, menoupse, sibuk banyak kerja dan lain-lain lagi. Pernah terfikir ke walau sesaat jika suami jatuh sakit, pasti isteri menjaga suami sepenuh hati dan sanggup berkorban apa saja. Bila suami sudah sihat kembali membuat onar tanpa ada perasaan bersalah. 

Itulah yang diri ini semakin tidak faham. Paling tidak boleh diterima meletakkan alasan nafsu sebagai sebuah jaminan kebahagiaan dalam rumahtangga masing-masing. Maksudnya, isteri sudah lagi tidak mampu melayan tuntutan nafkah batin kepada suaminya. Mulalah pihak suami sibuk ke sana sini memasang umpan ' memancing' ikan yang baru. Namun tidak semua perkahwinan baru itu memenuhi apa yang seorang suami mahukan. Malah menjadi satu bebanan pula kepada suami kerana terpaksa asyik menjaga hati iseri barunya itu.

Akibatnya kucar kacirlah sebuah rumahtangga. Hancur berkecai dalam usia suami dan isteri semakin bertambah, Terakhir tinggallah suami semakin lanjut usia dan sakit juga tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan lagi.

Walaupun tidak semua rumahtangga begitu, tetapi itulah hakikatnya. Sepatutnya semakin bertambah usia sebuah rumahtangga makin menghargai sesama sendiri kerana pasangan masing-masing bukanlah lagi muda dan bertenaga. Bertahun melayari sebuah rumahtangga patutnya semakin cerdik dan matang dalam memahami istilah sebuah rumahtangga. Diri bukanlah seorang pakar motivasi, tetapi rasanya tidak salah memberi sedikit pandangan berdasarkan apa yang berlaku dalam rumahtangga sendiri. 

Kurang berkomunaksi sesama sendiri, kurang memberi perhatian, berbincang dan kurang menjalankan aktviti bersama. Maka runtuhlah sebuah rumahtangga yang dibina atas nama cinta dan juga kasih sayang. Sebagai seorang wanita senantiasa berharap lagi berdoa agar tiada lagi wujud kejadian seumpama lagi.

Hargailah sebuah rumahtangga dan belajarlah memahami pasangan masing-masing. Semakin bertambah usia suami dan isteri maka banyaklah bersabar melayani kehendak pasangan. Saling bertolak-ansur, saling membantu dan berterus teranglah jika ada yang tidak berkenaan di hati masing-masing. 


Sekian
Sariah 
Hulu Bernam 
10 malam
2 Disember 2025

Monday, 1 December 2025

BERTABAHLAH DUHAI HATI


Sekian lama berkorban segalanya demi anak-anak. Bila anak-anak sudah dewasa punyai kehidupan sendiri perlahan-lahan berada diri terabai.

Adakah salah perasaan itu?
Adakah itu menampakkan ikhlas atau tidak peranan kita sebagai seorang ibu?
Adakah berdosa kepada Tuhan mempunyai perasaan begitu?

Namun hanya Tuhan maha tahu segalanya.
Mungkin ada sesuatu yang Allah sampaikan.
Atau memang khilaf diri masih mengharapkan manusia seperti satu masa dahulu.

Bukanlah selalu perasaan itu ada.
Tetapi hadir sesekali. Normal jiwa seorang ibu.
Bergelar seorang ibu mentua pun, bukanlah dalam kategori ibu mentua cerewet.
Memandang diri tiada harta, pangkat dan duit ringgit maka tiada berharap apa-apa kepada menantu.

Cukuplah tidak pisahkan kasih sayang seorang ibu dengan anak lelakinya itu saja.
Namun sesekali bagai disalah erti. Apa pun tidak mengapa.
Percaya Tuhan maha melihat dan menilai segala.
Kerana hati manusia Tuhan yang pegang dan bukannya manusia.

Kelak sebesar hama pun kejahatan pasti ada balasannya.
Tambahan lagi kejahatan kepada seorang bergelar ibu yang seluruh hidup berkorban demi anak-anak tersayang.

Tidak minta dibalas cukup sekadar kasih sayang walaupun tidak selalu.
Bakal berakhir tahun 2025 dan tirai bulan Disember berlabuh kelak senantiasa berdoa agar diri sihat dan tidak menyusahkan anak-anak.

Jikalau ditimpa kesusahan ataupun kesakitan, biarlah diri sendiri menanggungnya.
Wahai hati, bersabarlah mengharungi kehidupan singkat lagi sementara.

Pujuklah hati untuk memaafkan segala kekhilafan dan berdoalah agar Tuhan ampunkan segalanya.
Aamiin Ya Rabbialamiin.



Hulu Bernam
2.04 petang.

SAHABAT

Masa ingat ketika sekolah dahulu ada beberapa orang sahabat sejati. Namun bila usia semakin bertambah, tiada lagi wujud sahabat sejati. Masi...