Thursday, 27 November 2025

HANYA BERHARAP KEPADA-NYA

Agak lama tidak menulis perkembangan terkini tentang kehidupan di ruangan blog ini. Hampir bersawang dan kini berusaha untuk jadikan seperti diari menulis tentang apa saja tentang rutin kehidupan.

Jujurnya hari ini berdebar-debar. Tambahan lagi perkembangan terkini tentang keadaan cuaca dan juga musibah banjir sedang melanda beberapa negeri sejak kebelakangan ini.

Siapalah yang tidak risau? 
Tinggal sendirian, anak-anak jauh belajar dan sudah pun mempunyai kehidupan sendiri.

Hendak mengadu apa saja, bimbang menjadi beban kepada anak-anak pula. Risau juga timbul salah pada anak menantu.
Namun sekarang keberkesanan terus kepada maha pencipta.
Dia yang berkuasa atas segala apa berlaku kini dan perkara yang akan datang.

Sebagai hamba yang banyak kekhilafan lagi kekurangan hanya mampu berdoa, solat, zikir dan juga selawat.

Itu sajalah jalan terakhir.
Setiap kali lintasan risau bertandang terus saja mulut zikir lantas berdoa.

Hanya itu kekuatan saat ini.
Perasaan hati senantiasa berdebar-debar.

Apa pun berserah hanya kepada-Nya.
Yakin tiada yang lebih berkuasa selain Allah maha esa.

Sebelum masuk beradu menadah tangan memohon atas segala kekurangan diri ini.
Dan semoga esok semua dilindungi dari apa saja musibah dan perkara yang tidak diingini.
Aamiin Ya Rabbialamiin.


Hulu Bernam
27 November
00.23 pagi.

Monday, 3 November 2025

SYUKURILAH

Alhamdulillah. Agak lama juga tidak menulis di ruangan yang mula-mula mengasah bakat menulis ini. Apa pun bersyukur Allah masih kurniakan kesempatan untuk ada ilham menulis walaupun sibuk dengan rutin kehidupan.

Sejak anak lelaki mendirikan rumahtangga juga anak perempuan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda, adakala perasaan sunyi bertandang juga di hati ini. Kerinduan mengenang momen-momen indah menguruskan anak-anak sekolah rendah dan juga menengah. Kemudian mereka melangkah menyambung pengajian di peringkat seterusnya.

Sangat sedar anak-anak sudah punyai kehidupan sendiri. Namun kadangkala teringin juga di hati ingin perhatian dari mereka sebagai seorang ibu.
Namun hasrat itu dipendam dan disimpan kemas sebaik mungkin dan hanya menadah tangan terus berdoa kepada-Nya.

Memadam keinginan seorang ibu kerana sedar anak sudah punyai tanggungjawab utama. Selayaknya utamakan apa yang lebih penting dari segala hal utama.

Jauh di sudut senantiasa tidak lelah berdoa maafkan kekhilafan anak-anak kerana tidak mahu Allah menghukum mereka pula. Cukuplah diri seorang ibu ini redha dan restui setiap perjalanan mereka. Dan perkara lebih penting berusaha isikan setiap masa terluang dengan anak perkara lebih berfaedah sekaligus menjadi tiket ke syurga di sana nanti.

Sementara masih ada ruang dan peluang banyaklah melihat diri dan membuat apa saja persediaan. Berusaha capai segala impian kecil dan meletakkan penghargaan terus kepada-Nya.
Insya-Allah.

Nota : Tersenyum dan tersengih ketika kenduri pernikahan anak lelaki pada bulan lepas.

Thursday, 9 January 2025

HARAPAN 2025


Jumaat

Hulu Bernam

8.51 pagi


Bagaikan tidak percaya berada dalam tahun 2025. Rasanya baru semalam menyambut tahun 2024.

Apa pun diri  sangat bersyukur kerana Allah masih izinkan diri bernafas dan mengharungi segala rutin kehidupan setiap hari. Walaupun hidup sendiri dengan anak-anak jauh mengejar impian masing-masing namun diri tetap bersyukur. Bertahun lamanya menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal setiap hari sibuk dengan tugas utama dan hal-hal lain.

Biarpun sendirian namun Tuhan senantiasa ada cara memudahkan  perjalanan kehidupan ini. Masalah atau ujian tidak pernah sunyi. Tetapi itulah kekuatan meneruskan perjalanan walau teramat perit.

Berasa lelah, kecewa dan marah itu perkara biasa. Dan manusia bukanlah sempurna dan tidak akan pernah sempurna. Terlalu banyak kekurangan. Kekurangan itulah yang saling melengkapkan sesama sendiri. Saat sakit, jatuh maka berehatlah sebentar. Usah dibandingkan perjalanan kehidupan sendiri dengan orang lain.

Kerana Allah menjadikan seseorang dengan lain dengan sikap berbeza,dan pastinya kehidupan lagilah banyak perbezaannya. Jika ditakdirkan sama, itu hanya secara kebetulan sahaja. Yang pasti jangan lelah melangkah, bangkitlah kembali berjuang kerana ada insan kesayangan yang senantiasa memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

Untuk tahun 2025, hanya mampu berserah, berusaha sebaik mungkin, berubah secara perlahan-lahan mengikut kesesuaian sendiri dan tenang saat berdepan ujian dan bersabar ketika sakit dan sebagainya. Sebagaimana tahun 2024, tidak terlalu mengharapkan sesuatu hanya terus menikmati segala proces kehidupan, berdoa dan lihatlah bagaimana Allah membalasnya dengan sesuatu lebih bermakna.

Semoga tahun 2025 diri dapat berusaha dengan lebih gigih, bersabar dengan apa saja ujian dan istiqamah menjalankan amal ibadah dan terus melangkah sehingga tercapai segala apa yang diimpikan selama ini.


Sekian 

HANYA BERHARAP KEPADA-NYA

Agak lama tidak menulis perkembangan terkini tentang kehidupan di ruangan blog ini. Hampir bersawang dan kini berusaha untuk jadikan seperti...