Sunday 25 April 2021

BELAJAR MENULIS DEMI MEMANDAIKAN DIRI DAN GENERASI.

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Facebook
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik


Dari jauh, aku hanya memerhatikan saja. Namun dalam masa yang sama, niat haruslah diperbetulkan. Melakukan sesuatu, dengan tujuan mendapat ganjaran sesama makhluk Allah, bukanlah satu niat yang baik.

Lakukan demi Allah, juga mintalah dari DIA agar mudahkan semua pembelajaran kau. Allah kurniakan sedikit kepandaian agar dapat digunakan kepada jalan yang sepatutnya.

Begitulah juga halnya dalam perjuangan kau untuk terus belajar menulis dengan baik lenggok tatabahasa dan iramanya.

Sudah masuk kuliah yang ke 8 dalam Sekolah Penulisan Ramadan 2021. Panel yang diketengahkan pada tahun ini, semuanya hebat belaka. 

Antaranya sasterawan negara professor Dato' Dr Siti Zainon Ismail dan juga ustaz Pahrol yang terkenal dengan buku-buku Islamiknya.

Kelas penulisan ini diketuai oleh Tuan Hafiz Latif dan juga Tuan Zamri Muhammad. 

Sungguh segala pembelajaran bukanlah mudah. Tambah diri sendiri tiada latar belakang belajar tentang penulisan yang formal.

Hanya berbekalkan minat yang suka menulis diari , menulis blog dan juga di laman sosial Facebook dan sebagainya.

Itulah medan menukang askara, selain masih meneruskan catatan di buku nota dan diari sehinggalah kini. Berusaha memperbaiki penulisan dengan banyakkan lagi membaca karya penulis yang lain.

Sehingga kini hanya beberapa buah antologi sahaja yang terhasil. Belum lagi ada buku solo dan bercadang menerbitkan sebuah buku solo kelak.

Hajat dihati ingin menulis kisah perjuangan sendiri yang membina kehidupan baru dari kekecewaan yang lalu. Indahnya aturan Allah, dari ujian itulah bermulanya secara lebih serius dalam bidang penulisan dan dipertemukan jodoh pula berkenalan dengan orang-orang yang hebat dalam bidang penulisan.

Namun masih ada lagi satu hasrat dalam hati ini. Bercita-cita menyambung pengajian secara lebih serius dalam bidang penulisan sehinggalah ke peringkat lebih tinggi.

Ya, diri ini hanyalah seorang ibu yang bekerja sebagai seorang pembantu kedai. Tetapi menyimpan cita-cita yang tertinggal ini setelah sekian lama.

Melalui pembelajaran secara online inilah menggunakan masa yang untuk belajar menulis dengan baik tanpa ada langsung rasa satu ketakutan.

Kelas-kelas yang disampaikan oleh semua barisan panel, kita boleh menontonnya berkali-kali sehingga faham apa yang ahli panel cuba sampaikan.

Masih lagi terbuka untuk pendaftaran melalui link ini. Dan semua kelas dapat diakses mengikut masa anda sendiri.


Jika ada sebarang pertanyaan, boleh juga hubungi saya di sini.


Sekarang semua kelas masih lagi berlangsung dan banyak ilmu dan juga tips menarik hasil dari semua pembelajaran ini.

Marilah kita belajar menulis demi memandaikan diri dan juga memaknakan lagi kehidupan yang serba mencabar sebagai salah satu rujukan pada masa yang akan datang.


Sekian 

Friday 9 April 2021

TERUS KEKAL MENULIS

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Pinterest
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik


Siang tadi, aku memerhatikan saja dari jauh. Dengan doa dan harapan, agar satu hari nanti, diri ini bakal juga berada sebaris dengan insan-insan yang hebat seperti mereka.

Walau sesekali terbit rasa cemburu, namun aku pantas saja memadamkan semua nyalarasa itu. Bimbang dengan sedetik lintasan hati, bakal menambah dosa yang tersedia ada.

Memang mulut dan bibir ini tidak meluahkannya, namun Allah itu maha tahu. Kepada Allah aku mohon kemaafan atas perasaan yang tidak sepatutnya itu.

Ada baiknya, aku berdoa untuk mereka, agar doa yang sama berbalik kepada diri ini. 

Ya. Aku sedar diri ini terlalu banyak kekurangan dan masih banyak yang aku perlu pelajari dalam penulisan ini. Berbekalkan semangat, minat dan pengalaman kehidupan yang ada, mungkin ada yang sudi membaca kisah-kisahku ini.

Terdetik dalam hati ini, bahawa dugaan yang dihadapi selama ini tidaklah sesusah seperti insan yang lain.

Ada insan lain yang lebih susah dan menderita kehidupannya. Namun tetap bersemangat menghadapi apa jua dugaan.

Memandangkan terlalu banyak dugaan yang dihadapi setiap hari, maka dengan menulis inilah dapat berkongsi, memberi manfaat dan juga panduan kepada yang lain.

Tidak akan pernah lelah untuk terus menulis, selagi ada kudrat dan diizinkan Allah yang maha esa.

Kepada Allah yang maha esa, mohon dikurniakan kemudahan dan juga rezeki agar dikurniakan idea-idea yang baik dan bermanfaat untuk terus menulis dan kekal menulis buat selamanya.


Sekian

Monday 5 April 2021

GENAP UMUR 16 TAHUN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik


Semalam menghantarnya balik ke asrama. Setelah hampir 5 bulan berada di rumah akibat pandemik Covid-19.

Sudah terbiasa, dia ada bersama, maka tidaklah berasa sunyi. Bergaduh, tidak sama pendapat namun hobi menyatukan kami dua beranak. 

Dia dilahirkan 16 tahun yang lalu di hospital Selayang. Lahir tepat pada pukul 12 tengahari. Sejak kecil, syukur dia anak yang tidak banyak karenah. 

Seorang yang agak berani dan suka mencuba sesuatu yang baru. Hari ini genaplah umurnya 16 tahun. Walau baru sahaja menghantarnya balik ke asrama semalam, perasaan rindu sudah membuak-buak dalam hati ini. 

Semoga Allah senantiasa melindungi dan merahmati dirinya dan dijauhkan dari semua perkara yang tidak diingini. 

Berdoa juga agar Allah jadikannya seorang muslimah yang kuat keimanannya , menjaga aurat dan maruah keluarga. Juga berjaya di dunia dan juga akhirat.


SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...