Wednesday 23 November 2022

MASALAH BUKANLAH ALASAN

Teks ; Sariah Awang Senik

Sumber ; Pinterest

 https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Dalam berhadapan dengan pelbagai masalah dan juga kesakitan, diri tidak mahu cepat mengalah. Apa pun berlaku. perjuangan ini harus diteruskan sehingga ke akhirnya. Masalah dan juga kesakitan bukanlah penghalang sebuah impian dan juga kejayaan. Bergelar seorang ibu tunggal ini memberi peluang untuk perbaiki diri dan menghabiskan sisa masa yang ada dengan seberapa banyak kebaikan dan juga amalan.

Senantiasa memujuk diri bahawa ada ramai lagi insan yang lebih susah kehidupannya tetapi tetap bersyukur atas segala anugerah tuhan. Usah bersedih jika tidak bertemu pasangan di dunia ini, kerana pastinya Tuhan akan mengantikan pasangan di akhirat kelak.

Yang pasti adalah diri sendiri. Kuat ataupun tidak ketika berdepan dengan amukan ujian yang datang tanpa dijangka . Adakalanya diri goyang dan sebaliknya. Begitulah diri tidak sempurna selalu tergoda dek perasaan yang tidak sepatutnya.

Namun diri sedar perasaan itu hanyalah sementara dan tidak kekal lama. Suka ataupun tidak harus melawan perasaan tersebut dan fokus syurga nan abadi. Memang sukar untuk melawannya. Tetapi harus ingat semua itu hanyalah sebahagian dari ujian kehidupan. 


Yang pasti adalah diri sendiri. Kuatkan diri dengan segala pendinding juga semarakan sentiasa semangat agar tidak lelah untuk berjuang setiap hari, Alasan demi alasan yang direka itu hanya akan memusnahkan segala impian dan juga cita-cita. 

Jika lelah, berehatlah sebentar lalu jangan lupa berdoa kepada-Nya agar kurniakan jalan untuk semua kesulitan yang dihadapi. Dunia hanya sementara dan akhirat jualah tempat abadi. Masalah dan ujian adalah penyeri sebuah kehidupan dan tidak harus cepat mengalah dan lelah pada setiap keletihan yang dilalui.

Kuatlah wahai diri dan teruskan perjuangan ini sehingga ke mercu kejayaan. Setiap perjalanan walau sukar dan perit tetapi penuh kemanisan tersendiri.


Sekian

 

Monday 14 November 2022

5 PANDUAN UNTUK IBU TUNGGAL HIDUP LEBIH BAHAGIA

Teks : Sariah Awang Senik

Sumber ; Koleksi Peribadi

 https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Dalam sebulan lagi, berakhirlah tahun 2022. Bersyukur sejak dari awal tahun 2022, begitu banyak ujian yang kita harungi dan dengan izin Allah kita berjaya melepasi semua dugaan tersebut. Dan diri ini juga bakal memasuki usia 50 tahun tidak lama lagi. Tahun 2023, bakal berumur 49 tahun dan seterusnya 50 tahun.

Bergelar seorang ibu tunggal, melayari kehidupan bersama anak-anak adalah perkara utama yang diri lakukan setelah berpisah dahulu. Mengambil keputusan menjaga anak sendiri serta membina kembali sebuah kehidupan baru dengan anak-anak tersayang.

Namun tidak semua dugaan  dilalui oleh seorang ibu tunggal sama dengan ibu tunggal yang lain. Semuanya bergantung kepada pengalaman dan keadaan seorang ibu tunggal tersebut.  Ujian tidak akan pernah lelah menjengah hidup kita, malah ujian itulah kekuatan juga peluang keemasan terbaik untuk kembali kepada Allah yang maha esa.

Ada beberapa panduan , mungkin boleh digunakan bagi wanita yang baru menyandang gelaran ibu tunggal atau bakal memegang status  paling ditakuti oleh kaum wanita lain. Apa pun diri tidaklah mengalakkan sebuah perpisahan dan berusahalah segigih mungkin untuk menyelamatkan sebuah rumahtangga bahagia satu masa dahulu.

Jika anda seorang ibu tunggal dan mahu hidup lebih bahagia dan tidak mahu berterusan menyimpan perasaan sedih dan kecewa mungkin panduan ini boleh diguna pakai untuk membina kembali sebuah kehidupan baru.

Antara panduan tersebut adalah; 

1) Belajar menerima sebuah perpisahan dan terimalah kenyataan bahawa diri bukan lagi bergelar seorang isteri. Menerima satu perpisahan memang agak sukar. Tambahan perpisahan tersebut tidak pernah terlintas dek pemikiran kita. Selama hampir bertahun hidup bersama dan secara tiba-tiba berpisah tanpa dijangka. Perit dan sakit tetapi kita tidak dapat lari dari satu hakikat. 

2) Usah sibuk mencari kesalahan diri dan juga bekas pasangan. Sebaliknya jadikan apa yang berlaku sebagai salah satu panduan juga pengajaran. Masing-masing ada kelemahan dan tidak sempurna. Dan jodoh yang Allah pertemukan itu bukanlah satu kesilapan. 

3) Berhenti membandingkan hidup sendiri dengan orang lain. Apa yang Allah aturkan dalam kehidupan kita ada hikmah tersendiri. Maka berhentilah membanding dan gunakan masa tersebut untuk belajar ilmu baru ataupun perbaiki segala kelemahan diri sendiri.

4) Cari 'cirle' yang positif dan dapat mengingatkan diri dari terus leka dalam sebuah kesedihan dan kekecewaan. Kumpulan sokongan dan tidak semestinya ibu tunggal, malah mungkin dari kalangan rakan ataupun kumpulan profesional yang tahu bagaimana hendak memberi semangat dan juga inspirasi untuk membina sebuah kehidupan baharu.

5) Sibukkan diri dengan aktiviti sihat dan juga bermanfaat. Mungkin inilah masanya untuk kita lebih fokus kepada diri dan juga anak-anak tersayang. Lakukan aktiviti yang kita tidak sempat hendak lakukan ketika bergelar seorang isteri dahulu. Contohnya seperti pergi bercuti, pulang ke kampung dan juga bertemu dengan rakan-rakan persekolahan. Selain itu lakukan sesuatu yang baru ataupun mencapai kembali cita-cita yang belum tercapai satu masa dahulu. 

Apa yang dikongsikan ini berdasarkan pengalaman ketika diri bersusah-payah membina kembali sebuah kehidupan baru bersama anak-anak tersayang dan setiap usaha bukanlah mudah dan memerlukan sebuah kesabaran tinggi untuk mengharungi apa saja ujian demi kehidupan lebih bermakna.

Syukurlah selepas hampir 11 tahun hidup bersama anak-anak dan melepasi apa saja ujian mendatang sambil tidak lelah berdoa berusaha terbaik demi kehidupan lebih bermakna.

Kini diri berimpian untuk mencapai segala impian serta dapat menunaikan umrah atau haji bersama anak-anak tersayang. Semoga Allah kurniakan kesihatan juga kemudahan bagi segala kesulitan serta kesakitan.


Sekian.


Wednesday 2 November 2022

KUATLAH WAHAI ANAKKU



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Mujur tidak bersawang blog kesayangan ini. Agak lama juga tidak menulis apa-apa entri terbaru. Berkongsi kisah kehidupan yang tiada akhirnya kecuali ajal. Menyusuri hidup yang penuh dengan cabaran hebat setiap hari, senantiasa menguji kolam hati ini. Namun jika penat, berehatlah sebentar. Panjatkan  doa sebanyak mungkin kepada Allah yang maha esa.

Perlu diingat Tuhan adalah penulis terbesar dalam kehidupan seorang mukmin. Pantas masa berlalu sehinggakan anak dara bakal mengakhiri alam persekolahan menengahnya tidak lama lagi. Dia bakal menduduki peperiksaan SPM awal tahun 2023. Kini sedang sibuk menduduki peperiksaan percubaan SPM dan pastilah diri ini tidak mahu ketinggalan berdoa dan melakukan seberapa banyak amalan supaya dia dapat menjawab semua soalannya dengan lancar dan betul.

Namun semua ditangan Allah. Berusaha dan berdoa selagi mampu buat dia dan abangnya. Terasa baru semalam menghantar anak dara ke asrama di tingkatan 1. Kini bakal menduduki peperiksaan SPM pula. Berusia 17 tahun dan abangnya sudah berumur 23 tahun. Keduanya semakin membesar dan meningkat dewasa.

Diri ini pula kini diuji dengan beberapa kesakitan. Apa pun tidak akan mengalah dan akan berusaha untuk terus fokus kepada kehidupan serta membina tabung buat bekalan di sana nanti. Hanya kepada Tuhan gigih berdoa agar masih dikurniakan kesempatan untuk semua yang dirancang. Sementara diri tidak boleh leka dan fokus pada syurga abadi di sana nanti.

Apa pun berdoa agar diri pulih dari apa saja kesakitan dan dapat kekal sepenuh masa bekerja dari rumah dengan aktiviti-aktiviti penulisan serta perniagaan wangian dan juga produk kesihatan. 

Ya Allah mudahkanlah segala apa yang dirancang dan berdoa juga tunggakan dengan majikan dapat dilunaskan secepat mungkin sebelum usia memasuki 50 tahun.



Sekian 
Sariah Awang Senik

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...