Wednesday, 28 August 2024

AKHIRNYA

26 Ogos 2024
Selasa

Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua.
Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai impan dan bahagia tersendiri.

Jujurnya setelah berpisah perjalanan kehidupan ini bukanlah mudah. Dalam keadaan diri yang tidak serba ada, segalanya bukan mudah.

Memulakan sebuah kehidupan bersama anak-anak jauh bezanya ketika berstatus bujang. 

Mengambil keputusan untuk membesarkan anak-anak jauh dari pusat bandar, itulah paling sesuai. Paling tidak lupa terpaksa menumpang hidup sendiri di sebuah bilik kecil bersama dengan anak-anak.

Menumpang di rumah majikan sendiri, itulah paling tidak dapat dilupakan. Walau ada saudara-mara sebelah pihak sebelah sana, namun tiada seorang tampil bertanya ataupun membantu.

Syukurlah tidak lama selepas itu dapat menyewa sebuah rumah yang telah kosong selama hampir setahun. Di rumah sewa itulah kehidupan baru pun bermula.

Mujurlah rumah sewa itu tidak jauh dari sekolah kebangsaan. Walaupun sekolah agamanya jauh, namun itu bukanlah alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah agama.

Selesai saja sekolah kebangsaan, maka bersiap-siap pula menghantar anak ke sekolah rendah agama. Setiap hari berulang-alik hanya berjalan kaki termasuklah ke tempat kerja yang terpaksa melalui sebuah estet.

Berpanas berhujan, tetap meredah semua keadaan berbekalkan doa kepada-Nya. Itulah saja kekuatan utama dan tidak mahu menyusahkan kehidupan orang lain.

Demi anak-anak semua ujian walau sakit tetap harungi juga.

Jeda masa, kini anak-anak sudah dewasa. Yang abang bakal bergelar seorang pegawai imigresen. Adiknya pula sedang tekun menyambung pengajian di sebuah kolej matrikulasi di Banting.

Melihat mereka berdua bersyukur Allah mudahkan setiap perjalanan biarpun tempuhi pelbagai cabaran.

Membuat keputusan nekad berkorban dengan mengutamakan anak-anak terlebih dahulu, Allah balas dengan nikmat yang tidak
 dapat dibayangkan selama ini.

Kini berdoa untuk kesejahteraan dan kebahagian semua. Berimpian memiliki rumah sendiri dan mengerjakan umrah dan juga haji.

Semoga Allah merestui setiap perjalanan juga impian dan dikurniakan kesihatan baik untuk mencapainya.


Sekian

Friday, 28 June 2024

SABAR ITU INDAH

 

Jumaat 28 2024

11 pm


Sabar itu memang perit dan memakan masa yang panjang. Namun sangat berbaloi kerana balasan di sana nanti sangatlah lumayan dan Allah telah menjanjikan syurga bagi orang-orang bersabar mengharungi setiap ujian dari-Nya. 


"Wahai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kalian menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kalian lebih daripada kesabaran musuh di medan peperangan dan bersedialah dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan serta bertaqwalah kalian kepada Allah supaya kalian berjaya mencapai kemenangan".

Surah Ali Imran ayat 200.

Jujurnya bukan mudah mengharungi sebuah kehidupan setelah melalui sebuah perpisahan. Apa pun sebab perpisahan tersebut, kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Menyalahkan diri, orang lain tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Malah menambahkan beban perasaan serta membuatkan diri lebih berdosa.

Kehidupan maha singkat dan usahlah bersedih terlalu lama. Itulah yang telah berlaku dalam kehidupan diri ini. Siapa sangka satu perhubungan berlandaskan cinta akhirnya terputus jua di tengah jalan. Tidak mahu terus tenggelam dalam sebuah kesedihan, lalu diri nekad berkorban kebahagiaan sendiri demi anak-anak tersayang. Mengambil keputusan untuk membina kehidupan sendiri walau pada awalnya sangat sukar. Tambahan pula tidak mempunyai kenderaan juga rumah sendiri. Yang ada hanyalah lesen memandu dan kebiasannya terpaksa menyewa kereta untuk pulang ke kampung dan sebagainya. 

Apa pun diri tetap tidak menyerah kalah dan terus bersabar menjalani setiap kesukaran berbekalkan keimanan kepada-Nya. Momen paling indah dan menjadi kenangan adalah ketika menghantar anak bujang menyambung pengajiannya di Politeknik Kuantan. Syukur ketika itu ada adik sudi menghulur bantuan dengan menghantar terus anak bujang mendaftar di Politeknik tersebut, Setelah hampir tiga tahun belajar serta berulang-alik dari Kuantan ke Hulu Bernam Selangor akhirnya anak bujang pun selesai menduduki pengajiannya. 

Masih ingat ketika anak bujang tamat pengajiannya, pelbagai kerja dilakukannya demi meneruskan kelangsungan hidup. Dari pekerjaan susah sehinggalah pekerjaan sekarang. Paling tidak lupa kenangan ketika melihat anak bujang mengambil skrol diplomanya dahulu. Ketika itu hanya diri ini dan juga adiknya seorang lagi. 

Alhamdulilah kini anak bujang bakal melapor diri berkursus sebagai pegawai imigresen di Port Dickson kelak. Apa pun semua perjalanan ini bukan mudah. Terlalu banyak ujian dan perlu pengorbanan untuk sampai ke tahap ini. Doa dan harapan ini semoga anak bujang berjaya selesaikan kursusnya dengan cemerlang dan menjadi seorang pegawai imigresen yang jujur serta berdisplin kepada Jabatan Imigresen nanti.

Begitulah semua perjalanan indah ini perlukan kesabaran yang bukan sedikit. Malah memakan masa yang lama. Walaupun adakalanya kesabaran ini teruji namun percayalah Tuhan tidak kurniakan ujian kepada hambanya begitu saja. Setiap ujian yang dianugerahkan kerana Tuhan tahu hambanya mampu mengharungi semua ujian tersebut. 


Akhirnya kesabaran walau perit dan pahit, namun tetap indah jua akhirnya. Paling utama jangan lelah terus berdoa dan berharap kepada-Nya.


Sekian

Friday, 16 February 2024

SUMBER INSPIRASI

 

Jumaat

16 Februari 2024


Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musim cuti sekolah bukanlah satu perkara mudah. Walaupun pekerjaan ini bukanlah berdasarkan minat namun  lebih kepada mencari rezeki halal demi keluarga kecil ini. Jujur pada awalnya memang banyak cabaran. Namun tetap bersabar juga berusaha segigih mungkin belajar dan syukurlah semuanya berjalan lancar dan dimudahkan.

Namun yang paling tidak disangka-sangka segala cabaran bekerja di r&r ini menjadi salah satu sumber inspirasi untuk menulis dan berkongsi kisah kebaikan, pengajaran dan secara tidak langsung menjadi motivasi kepada diri sendiri akan tidak cepat berputus-asa ketika berhadapan dengan situasi yang senantiasa menguji kolam hati ini.

Adakalanya terfikir, adakah ada orang hendak mendengar ataupun membaca kisah-kisah di sebuah r&r, tambahan pula bekerja sebagai seorang pembantu gerai yang tidak segah pekerjaan lain. Apa pun jika tidak diceritakan, mana mungkin orang tahu bahawa kisah di r&r penuh dengan kisah unik dan mempunyai pengajaran tersendiri.

Kadang-kadang kisahnya nampak mudah juga ringkas tetapi ada juga yang tidak terfikir dek akal manusia. Contohnya kisah kematian di sebuah r&r. Kebiasaannya kita selalu mendengar kisah kematian akibat kemalangan jalan raya. Tetapi ada juga kisah kematian pelanggan r&r yang tiba-tiba rebah ketika pergi ke tandas untuk membuang air kecil. Kemungkinan pelanggan tersebut diserang sakit lemah jantung lalu pengsan dan terus tidak sedarkan diri. Ada juga pelanggan yang meninggal ketika sedang berbaris untuk membuat pesanan makanan dalam salah sebuah gerai r&r.

Walau apa pun kisahnya, semuanya berlaku di sebuah r&r dan mempunyai ibrah tersendiri. Kini sedang dalam proces penerbitan untuk memerbitkan sebuah buku solo tentang r&r dan berharap segala pengalaman tentang perkongsiaan kisah r&r ini dapat  memberi pengajaran kepada yang sudi membaca buku tentang r&r ini kelak. Selain daripada itu berharap juga agar minda ini tidak lupa akan segala kisah-kisah menarik dan tidak tenggelam dalam kelelahan ketika menjalankan segala tanggungjawab utama iaitu sebagai seorang pembantu gerai di sebuah r&r.


Mohon doakan segala kelancaran untuk proces penerbitan buku ini dan dalam masa yang sama berimpian juga agar buku ini kelak menjadi sebuah buku best seller satu masa nanti. Aamiin.

Sekian.


Wednesday, 7 February 2024

JALANI DENGAN PENUH KESABARAN


 

7 Februari 2024


Alhamdulilah sudah sebulan lebih berada dalam tahun 2024. Awal tahun ini terlalu banyak ujian menguji kolam hati ini. Namun tetap juga bersabar dan memujuk diri agar tidak terlalu emosi dan berusaha sebaik mungkin bertenang dan banyakkan berdoa kepada-Nya. Adakalanya ujian itulah satu peringatan saat diri terlalu sibuk dengan urusan dunia yang tiada akhirnya. Memilih untuk terus bersabar sambil berusaha terbaik untuk selesaikan maasalah yang ada.

Adakalanya saat dilanda satu ujian, tak semua orang faham akan situasi yang kita hadapai. Kalaupun kita berusaha terangkan masalah yang ada, nescaya mereka juga tiada jalan penyelesaian yang terbaik. Kadang-kadang masalah yang kita hadapi itu hanya akan membebankan orang lain. Maka jalan terbaik adalah kembali semula kepada-Nya dan insya-Allah Tuhan akan kurniakan cara untuk selesaikan masalah dengan jalan paling kita tidak sangka.

Lagipun kesabaran itulah yang mematangkan diri dalam menjalani kehidupan seharian. Menjadikan diri lebih bijak membuat keputusan serta tidak berharap kepada makhluk Allah untuk setiap masalah yang kita hadapi. Lebih parah ada pihak yang mengambil kesempatan atas masalah yang kita hadapi dan mungkin juga menjatuhkan maruah kita tanpa kita sedari.

Kesabaran itu memang pada awalnya sangat payah dan perih. Namun pada akhirnya sangat berbaloi apabila kita semakin merasai akan segala hikmah yang Allah telah janjikan. Tidak perlu risau atau membuang tenaga memikirkan masalah yang ada. Sebaliknya ambillah pendekatan lebih baik dengan bertenang dan muhasabah diri sendiri.

Apa pun, paling penting adalah diri kita sendiri. Banyakkan berdoa dan berusaha terbaik sementara masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumi bertuah ini.


Sekian

Saturday, 9 December 2023

BAHAGIA SEADANYA

9 Disember 2023
Sabtu

Terlalu cepat masa berlalu. Lagi beberapa minggu berakhirlah tahun 2023.
Umur pun bakal genap 50 tahun.
Tak sedar semakin berakhir lewat 40an. Jujurnya masih tidak banyak pencapaian diri ini. 

Yang bezanya anak-anak semakin meningkat dewasa. 
Si abang dah berumur 24 tahun. Adik pula sudah 18 tahun dan kini menyambung pengajian di kolej Matrikulasi Selangor.

Sudah agak lama juga hidup bersendirian dengan anak-anak. Tetapi tidak menyesal sama sekali. Malah berasa bersyukur. Ujian yang Allah kurniakan rupanya bukan satu bebanan, malah memberikan seribu hikmah tanpa diri ini sedari. Tanpa ujian ini tidak mungkin diri berada di tahap ini. 

Wednesday, 22 November 2023

TETAP SETIA DI SINI


23 November 2023


Hanya sebulan lagi tahun 2023 bakal berakhir. Diri masih lagi setia di sini selesaikan apa yang sepatutnya. Walaupun terpaksa melalui pelbagai halangan juga kepayahan, namun tidak berputus-asa selesaikan semuanya satu persatu.

Sedar tak sedar sudah berbelas tahun hidup sendiri bersama dengan anak-anak dan hanya fokus kepada kerja , minat dan juga hal-hal lain. Memilih untuk hidup sendiri dan alhandulilah semakin selesa dan tidak perlu memaksa diri menerima insan lain dalam kehidupan ini.

Jujurnya diri belum bersedia ke arah itu. 

Apa pun tidak pernah menyesali malah bersyukur apa yang Allah aturkan, itulah paling terbaik. Keluarga, saudara-mara, anak-anak juga rakan adalah kekuatan utama. Bersendiri begini membuatkan diri lebih fokus dan dapat memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencapai sebuah cita-cita yang tertangguh satu ketika dahulu.

Kini dengan masa, ruang dan juga peluang berusaha untuk manfaatkan sebaik mungkin dan berusaha menepis semua sifat-sifat negatif demi cita-cita kecil ini.

Bergelar seorang ibu tunggal tidak pernah berasakan satu bebanan malah bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada diri untuk perbaiki beberapa kelemahan.

Dengan sebab itulah diri mesti istiqamah dan dan dalam masa yang sama melatih diri berdisplin dan fokus kepada matlamat yang mahu dicapai. Lagipun masa berlalu tersangat pantas dan tidak boleh lagi membazirkan masa yang ada.

Semoga Allah mengampunkan segala kekhilafan diri dan berdoa segala apa yang dirancang berjalan lancar dan dimudahkan. Aamin.


Sekian.



 

Wednesday, 9 August 2023

BERDIRINYA DI SINI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Pinterest
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/

Semakin hari masa berlalu sangat pantas. Tak sangka juga anak-anak bakal ada kehidupan sendiri. Dan aku sebagai seorang ibu tidak mampu menahan mereka berdua untuk senantiasa berada di depan mata.
Mereka punyai impian dan juga kehidupan tersendiri. Sebagai seorang ibu dan juga ayah, hanya mampu memberi nasihat, dorongan dan juga berdoa terbaik buat mereka berdua.

Namun mengimbas sejenak tak sangka sama sekali dapat berada di kedudukan sekarang. Satu masa dahulu, merasakan akulah perempuan termalang di dunia kerana kegagalan menjadi seorang isteri dambaan sang suami. Merasakan diri tak berguna dan adakala bagai sampah terbuang begitu sahaja. Kekurangan diri menjadi asbab punca sebuah perpisahan tanpa kerelaan. Dalam masa yang sama dicurangi tanpa sedar menjadi antara sebab perpisahan ini.

Walaupun perit dan sukarnya sebuah perpisahan itu, aku tetap nekad meneruskan kehidupan dengan anak-anak tersayang. Keluarga dan rakan-rakan tak pernah lelah memberi kata-kata semangat untuk membina sebuah kehidupan baru bersama dengan anak-anak. Tiga tahun awal hidup bersama dengan anak-anak semuanya menjadi kucar-kacir. Mengambil keputusan membesar dan mendidik anak-anak sendiri tanpa menyusahkan kedua orang tua. Setiap kesusahan juga kesenangan tetap bersama dengan anak-anak. 

Tidak mahu terus hanyut dalam sebuah kesedihan, maka berusaha segigih mungkin untuk bangkit dan motivasikan diri sendiri. Tiada guna hidup dalam kesedihan juga kekecewaan sedangkan ada anak-anak yang sangat perlukan perhatian juga kasih-sayang yang secukupnya.

Alhamdulilah berkat doa insan-insan tersayang, semua keperitan dan kesusahan berjaya harungi satu persatu. Dari anak masih sekolah rendah, sekolah menengah, berasrama sehinggalah ke pusat pengajian tinggi berusaha segigih mungkin demi kesejahteraan anak-anak tersayang. Sakit dan sihat tetap anak-anak bersama.

Kini tetap berusaha segigih mungkin walau kehidupan tidaklah sesenang mana. Tetap memanjatkan segala kesyukuran juga doa tersendiri bersama dengan anak-anak sehingga ke akhirnya. Nekad lepaskan bahagia sendiri demi kebahagiaan anak-anak tersayang. Nyata sebuah pengorbanan itu bakal membuahkan hasilnya tidak lama lagi. Tak pernah menyesal malah bersyukur Allah pilih diri ini untuk ujian yang hikmahnya terlalu mahal.

Saat diri bagai insan tak berguna kerana hilang kasih sayang hamba Allah, rupanya Allah gantikan kasih dan sayang tanpa tiada sempadannya. Hanya diri saja, selalu lalai serta leka dalam keasyikan tersendiri.

Apa pun  sesekali menoleh kebelakang bagai tidak percaya dapat melepasi semua ujian dari-Nya. Dahulu bagai mustahil untuk harunginya, kini tidak lagi berasa gentar untuk apa saja ujian. Yang pasti setiap kali ada ujian tidak lelah diri berdoa agar dikurniakan segala kemudahan dan tidak menyalahkan Tuhan akan kehadiran segala ujian dari-Nya.

Berdiri di sini lagi tetap gagah bersemangat menyantuni setiap ujian demi sebuah syurga idaman di sana nanti dan berusaha sedaya-upaya bersabar dengan hadiah-hadiah dari Allah maha esa.


Sekian.


 

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...