Wednesday 28 January 2015

ANTARA PAPER CUP DAN BUNGKUSAN PLASTIK

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Semalam adalah hari yang paling membuatkan aku keliru dan perasaan tidak faham senantiasa membuatkan aku tertanya-tanya. Bekerja sebagai seorang tukang pembancuh air ini juga nampak senang semudah yang di ucapkan namun hakikatnya banyak cabarannya. Walaupun cabarannya tidakkah sehebat dan sebesar mana namun apa jua bentuk pekerjaannya pasti ada sahaja yang terpaksa di lalui.

Mempunyai majikan yang tidak banyak karenah tetapi orang bawahannya pula yang bertindak lebih isi dari kuku. Kebelakangan ini ada peraturan baru yang telah di kuatkuasakan oleh PLUS bahawa tidak membenarkan penggunaan plastik bagi membungkus air minuman para pelanggan. Entah apa sebabnya aku pun kurang pasti. PLUS akan mengenakan mata demerit kepada pengendali kedai makanan dan minuman jika masih menggunakan cara yang lama. Jadi sistem pembungkusan air di kedai pun berubah. Sama ada air minuman sejuk ataupun panas semuanya terpaksa menggunakan paper cup.

Segala kerja nampak remeh dan menyusahkan apabila para pelanggan ramai dan ada yang tidak sabar-sabar. Sebagai salah seorang pekerja dan hanya menurut arahan tiada apa yang dapat dilakukan. Dengan harga minumam yang mahal dan saiz paper cup yang kecil semuanya bagai ada yang tidak kena. Majikan tidak banyak cerewet tetapi yang menjaga perniagaan yang di amanahkan tanggungjawabnya kepada hamba Allah ini, cerewetnya hanya tuhan yang maha esa tahu.

Sudah berumur dan memang sepatutnya berehat daripada terus bekerja. Tetapi kebelakangannya sikapnya semakin buatkan pekerja yang lain sesak nafas. Sikapnya yang suka pilih kasih menyusahkan ramai pekerja yang ingin membuat kerja dengan lebih cepat dan pantas. Selalunya memang aku tidak berapa ambil tahu sangat akan hal ini. Tetapi apabila sudah habis tahap kesabaran seseorang maka segala rasa akan diluahkan begitu sahaja. Kadangkala apabila dia marah dan merungut akan sesuatu hal aku biarkan sahaja dan langsung tidak mahu fikirkannya dengan lebih lanjut lagi.

Sesuatu hal yang membuatkan aku rasa tersangat keliru ialah apabila semalam ada pekerja yang juga sama bekerja memesan minuman untuk di bungkus. Seperti biasa aku membancuh minuman tersebut dengan di dalam paper cup yang telah disediakan. Dengan secara tiba-tiba dia marah lalu melarang keras membancuh minuman tersebut di dalam paper cup. Katanya paper cup tersebut mahal dan bermacam alasan yang lain. Dalam hati aku berkata-kata, segala perbelanjaan semua diuruskan oleh majikan dan bukan mengeluarkan duitnya sendiri.

Dia menyuruh pekerja tersebut minum sahaja tanpa membungkusnya. Aku menjadi semakin keliru kerana takut cawan tersebut hilang dan sebagainya. Aku pun menerangkan nanti cawan tidak cukup dan sebagainya. Lagilah dia marah dan terus membebel-bebel. Tiada kata yang dapat aku katakan dan aku malas nak bertengkar dengannya. Kalau minuman tersebut tidak boleh dimasukkan ke dalam paper cup habis hendak dibungkus pakai apa .

Bila aku tengok kedai-kedai yang lain semuanya biasa sahaja. Tidak kira pelanggan ataupun pekerja highway semuanya menggunakan paper cup ataupun plastik. Tidak nampak pulak wujudnya soal pilih kasih dan sebagainya. Maknanya cara mereka konsisten dan teratur dan tidak kelam kabut sebagaimana keadaan di dalam kedai aku ini.

Esok lusa, entah bagaimana lagilah perangai hamba Allah ini. Memikirkan keadaan dirinya aku semakin kasihan akan dirinya. Bekerja bersungguh-sungguh tanpa memikirkan akan keadaan orang yang lain. Aku selalu berdoa moga hamba Allah seperti ini diberikan petunjuk dan juga hidayah untuk berubah. Kalau aku terus bertengkar dengannya keadaan bukan bertambah elok tetapi akan bertambah buruk. Jalan yang paling terbaik ialah aku senantiasa kekalkan semangat positif dan hanya menganggap sikapnya itu sebagai salah satu cabaran di dalam menjalani tugasan harian. Semoga aku akan terus kekalkan semangat positif dan juga dapat mencapai kejayaan yang diinginkan suatu hari nanti.

Coretan Paper Cup
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...