Wednesday 21 January 2015

SEMUANYA DEMI ANAK-ANAK

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Mengharungi kehidupan sebagai seorang ibu tunggal bukanlah perkara yang mudah bagi kehidupan seorang yang bergelar perempuan. Itulah kenyataannya apabila ibu terpaksa menerima gelaran ini tanpa kerelaan hati ibu. Semua permasalahan sudah ibu usaha sedaya upaya untuk memulihkan keharmonian rumahtangga ini, namun jodoh ibu dan abah hanya setakat ini. Segala-galanya ibu terima dengan hati yang redha walaupun perit.

Jauh di sudut hati ibu ini, telah pun membuat keputusan untuk membina kembali kehidupan ini bersama abang dan juga adik. Kalau ikutkan hati ibu mahu sediakan segala keperluan abang dan adik dengan secukupnya, tetapi apakan daya, ibu hanya mampu sediakannya setakat yang ibu mampu. Ibu sanggup dan nekad telah membuat keputusan untuk ketepikan dahulu kemahuan dan kebahagiaan ibu kerana abang dan juga adik. Dari riak wajah abang dan adik, ibu tahu anak-anak ibu tidak suka ada insan lain yang hadir mengantikan tempat abah. Jangan risau abang dan adik, ibu juga tidak rela memikirkan tentang hal sedemikian. Biarlah semuanya tuhan sahaja yang menentukannya kerana dia sahaja yang tahu apakah yang terbaik buat ibu dan juga anak-anak ibu semua.

Menghadapi pelbagai cabaran dan juga dugaan tidak pernah melemahkan semangat ibu untuk membina kembali ini seperti mana sebelumnya. Kadang-kadang sebelum melelapkan mata ini, ibu selalu berfikir adakah ibu sudah buat yang terbaik untuk abang dan juga adik. Ibu selalu risau, takut segala tindakan dan juga perbuatan ibu akan menyinggung hati dan juga perasaan anak-anak ibu.

Untuk pengetahunan abang dan adik, saat yang paling membahagiakan bagi diri ibu adalah apabila kita bersama-sama menghabiskan masa bersantai dan juga melihat senyumn manis terukir di wajah anak-anak ibu yang tersayang. Percayalah ibu akan tetap terus berdoa di setiap langkah-langkah yang bakal abang dan juga adik lalui.

Apabila abang dan adik sudah berjaya kelak, janganlah lupa segala pengorbanan dan juga kasih sayang ibu. Ibu tidak minta di balas, cuma cukuplah ingatan dan juga kasih sayang abang dan adik terhadap ibu. Buat abang Muhamad Aiman Hakimi dan juga adik Nur Damia Rifqah, kalian berdua adalah anugerah paling indah dari Allah untuk ibu. Ibu terlalu menyayangi abang dan juga adik melebihi nyawa ibu sendiri. Hanya kebahagiaan dan kejayaan abang dan adiklah yang paling bermakna dan berharga bagi diri ibu ini.

Coretan Kasih Sayang
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...