Tuesday 1 September 2015

KISAH HATI YANG SEDANG TERLUKA

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Pagi ini nyaman sekali. Terasa sejuk bagaikan berada di Genting Highlands. Kabus hampir menguasai seluruh daerah ini. Namun ada lagi kisah hati yang terluka. Kisah sedih sang isteri yang sedang berperang dengan perasaan sendiri. Sedang menghadapi gelagat sang suami yang sedang bermain cinta dengan seorang lagi wanita yang juga bergelar seorang isteri.

Hati dan minda sudah dikuasai oleh gelodak nafsu yang sukar membezakan mana yang buruk dan juga baiknya. Betapa pun kisah cinta sang suami begitu agung terhadap wanita itu, namun ianya seakan tidak akan pernah bersatu. Si wanita sudah pun bergelar seorang isteri dan harus berpisah dengan suaminya jika benar-benar ingin jadikan ikatan kisah cinta mereka halal daripada segalanya. Apa pun talak terletak di tangan suami. Jika suaminya mahu melepaskannya, maka tiada masalah. Akan tetapi jika kasih sayang suaminya masih terikat dihatinya maka tidak akan wujud sebarang ikatan.

Tiada apa yang dapat dilakukan saat berdepan dengan semua musibah ini. Hujahnya lagi, kisah sang suami bermain cinta ini bukanlah yang pertama kali. Hampir berpuluh tahun ikatan perkahwinan sudah termeterai dan telah melalui pelbagai onak dan juga duri. Sang suami walaupun bermain cinta diluar namun tidak penah sesekali mengabaikan sang isteri dan juga anak-anak. Walaupun begitu jauh kaki sang suami itu melangkah, ianya akan tetap pulang juga ke pangkuan sang isteri.

Maka hanya sedikit nasihat buat pengubat segala lara sang isteri. Fikirkan kenapa semua musibah ini terjadi lagi. Pasti ada sesuatu yang Allah ingin sampaikan sebagai satu pesanan kasih dan sayang darinya. Dia ingin kita kembali berdoa dan juga bercakap kepadanya. Mengharap dan bergantung sepenuhnya pada yang maha kuasa dan tidak sesekali yang lainnya. Dia rindu segala puji-pujian dari bibir yang selalu mengukir senyuman saat menyambut kepulangan sang suami. Dan yang pasti disebalik musibah itu janganlah lupa ada hikmah yang tersurat.

Sukar diluahkan dengan kata-kata dan hanya hati yang mampu berbicara tentang semuanya. Sang kekasih katanya mempunyai ilmu yang mampu menundukkan segala-galanya. Tetapi janganlah lupa siapa yang tuan punya alam semesta ini. Siapa yang memegang hati setiap makhluk yang bernama manusia, sudah tentulah yang maha kuasa Allah yang maha esa.

Dia mampu tukarkan segala-galanya termasuk juga hati sang suami. Maka janganlah sesekali berputus asa berdoa dan berserah semuanya pada yang lebih berkuasa. Hati ini tidak mampu berkata apa lagi. Hanya nasihat serta doa agar sang isteri kembali bersujud pada yang maha kuasa. Agar diberikan petunjuk dan dipermudahkan segala urusan dan juga masalah.

Akhir perbicaraan, hanya doa agar sang isteri terus tabah menghadapi saat getir ini. Jangan sesekali terleka daripada berdoa setiap masa. Hati kecilku berkata dan berdoa lagi, moga mahligainya kembali bersinar dengan cahaya kebahagiaan dan berkekalan hingga ke jannah. Amin. Alhamdulilah.

Kisah Sedih Hati
Sariah Awang Senik.

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...