Tuesday 29 September 2015

SUATU KEINGINAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Keinginan adalah suatu sifat manusia yang terlalu menginginkan sesuatu. Perasaan ini terlalu membuak-buak di dalam diri seseorang dan kadangkalanya agak sukar di bendung. Namun perasaan keinginan yang wujud dalam diri ini bukanlah yang membawa kepada keburukan.

Setiap hari menjalankan segala tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Hampir sepuluh tahun mencari rezeki yang halal dan juga berkat untuk anak-anak tersayang di rumah. Tidak pernah sesekali mengalah dengan segala dugaan. Dan menganggap setiap ujian dan masalah bagaikan ada rahmat yang tersembunyi disebaliknya.
Menghadapi karenah manusia yang pelbagai ragam membuatkan kesabaran diri bagaikan teruji. Kiri dan kanan, depan dan belakang semuanya ada kisahnya yang tersendiri.

Kisah hamba-hamba Allah yang merasakan diri terabai dan tidak diperlukan lagi. Punyai mahligai yang dibina hampir berpuluh tahun lamanya. Ada anak, menantu dan juga cucu-cucu yang comel bagaikan penyeri kehidupan. Tapi sifat manusia tidak pernah merasa puas. Keinginan untuk sentiasa kekal cantik dan menawan bagaikan merasuk pemikiran. Tetapi adakah ianya berbaloi?
Adakah ini semua yang dikejar dan boleh memastikan tempatnya di syurga nanti?

Untuk berkata lebih rasanya tidak terluah. Memikirkan diri ini juga terlalu banyak kekhilafan diri. Masih setiap hari berjuang menentang semua aura negatif dan kekal berada di landasan yang sepatutnya. Cuma mampu mendengar dan mengangguk tanpa sebarang penjelasan. Diam sambil dalam hati tidak putus berdoa moga insan-insan ini terus bahagia dan tidak hidup porak peranda.
Mereka rancak bercerita tentang cantik, kekal langsing dan kekal anggun.

Walau apa pun, keadaan mereka jauh perbezaan dengan perjalanan kehidupan ini. Siapa yang tidak ingin cantik dan menjadi perhatian, bukan. Tapi kalau semuanya itu membuatkan diri menjadi sombong dan leka, maka biarkanlah ianya berlalu sahaja. Masih banyak keinginan lain yang paling utama.
Suatu keinginan untuk melihat anak-anak tersayang berjaya dunia dan akhirat nanti.

Anak-anak yang dapat mendoakan apabila sudah tiada nanti. Anak yang dapat menumpang kisah susah dan senang. Juga yang paling utama kasih sayang anak-anak tidak terhenti walaupun diri ini tidak segagah dahulu di dalam menjalani kehidupan seharian. Itulah suatu keinginan yang sebenarnya.
Keinginan yang telah sekian lama tersemat pada hari pertama bergelar gelaran keramatnya iaitu seorang ibu.

Semoga dapat melihat keinginan ini menjadi kenyataan sebelum ajal menjemput tiba suatu hari nanti. Aamiin.

Coretan Keinginan
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...