Saturday 26 February 2022

JIKA ALLAH INGIN MENDUGA

 Teks : Sariah Awang Senik

Sumber ; Koleksi Peribadi

https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Benarlah, syurga itu teramal mahal. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada ujian Allah yang maha esa. Dan kita tidak akan tahu dan belajar jika tanpa ujian dalam kehidupan kita. Ujian umpama garam dalam sebuah masakan. Tanpa garam dalam sesebuah masakan, masakan akan berasa tawar dan tiada rasa.

Yang ada berkemungkinan hanya pedas dan juga tawar. Tidak boleh tidak, perlu diletakkan sedikit bagi menambahkan lagi rasa dalam masakan tersebut. Begitulah dalam apa yang berlaku sejak dua hari ini. Berusaha kita mengelakkan diri dan berjaga dari jangkitan virus C19, tetapi jika Allah berkehendakkan kita untuk melaluinya, siapalah kita untuk menentangnya.

Hari ke dua dalam masa tempoh kurantin.Bersyukur masih ada selera makan, walau deria bau semakin menjauh. Berdoa juga agar virus ini tidak menjangkiti kedua anak-anak tersayang. Allah itu maha baik. Dikurniakan tempoh kurantin ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dan berpeluang menambah tabung amal sebanyak yang mungkin. 

Apabila disoal di mana mendapat virus ini, hati ini tiada jawapan yang pasti. Takutnya kita kepada virus ini, hingga terlupa bahawa Allah maha berkuasa akan segalanya. Banyakkan berdoa kepada Allah dan bertawakallah kepada-Nya.

Bukan hendak menyalahkan sesiapa, hanya sebagai satu pengajaran buat diri ini. Virus ini berkebolehan menyangkiti sesiapa sahaja. Tidak kira usia, agama dan sebagainya. Usah menyalahkan orang lain dan ingatlah semuanya dari tuhan yang maha esa.

Jauh disudut hati ini berdoa agar Allah kurniakan segala kesembuhan supaya dapat turut serta untuk melihat majlis konvoksyen anak tidak lama lagi. Semua ujian ini adalah satu kekuatan dan diri ini tidak akan mengalah sebelum berjuang hingga ke akhirnya.

Bertanya kepada diri sendiri, jika benar percaya dan yakin kepada Allah, pasti dia sedang mengaturkan suatu hal yang lebih baik buat diri dan juga anak-anak tersayang. Dalam masa yang sama juga berdoa, agar dapat mencari seberapa banyak keuntungan melaui penjual buku-buku dakwah secara dalam talian.

Tempoh kurantin ini, akan dimanfaatkan sebaik yang mungkin dengan mengisi masa dengan aktiviti yang membawa kebaikan dan juga pahala. Apa yang dilalui bukan mudah, tetapi tetap nekad untuk melalui semua rintangan ini.

Ujian yang datang, dihadapi dan ditepis dengan benteng keimanan dan juga takwa. Sedar diri tidaklah sebaik mana dan hanya inilah sahaja peluang keemasan dari tuhan yang maha esa.


Sekian


No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...