Monday 12 November 2018

TETAP DOAKAN ABAH


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Bismillahirahmanirahim.
Al-Fatihah untuk abah.

Inilah abah. Syukur dia masih sihat  dan alhamdulilah telah pun bergelar seorang haji pada tahun yang lepas. Akhirnya tercapai juga niat abah dan mak cik ingin mengerjakan ibadah haji setelah beberapa tahun menunggu giliran.

Jujurnya waktu aku sekolah, hubungan aku dengan abah taklah rapat mana. Mungkin waktu itu abah sibuk bekerja dan juga menjaga arwah emak yang sedang menghidap kancer payudara. 

Masa itu keadaan agak sukar. Apa pun setelah arwah emak meninggal dan aku telah bekerja sendiri, barulah hubungan aku dan abah agak rapat. Abah seorang yang agak cerewet dan kreatif. Abah juga kreatif mengubah sesuatu benda menjadi lebih menarik. Dia juga suka melakukan semua aktivitinya sendiri. Termasuklah mengemas dan memasak. 

Sejak kecil abah tak pernah berkira akan segala tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Masih aku ingat sewaktu aku masih bersekolah, jika arwah emak lambat balik dari kerja, abah sendiri akan memasak dan juga mengemas rumah seadanya. 

Tidak pernah abah sesuka hati marah ataupun melakukan hal yang tak sepatutnya kepada arwah emak tersayang. Abah paling tidak suka orang yang mungkir janji ataupun menipunya.

Apa pun abah agak tegas orangnya. Paling tak suka rumah bersepah dan mungkin juga sebab itulah kami tiga beradik telah dilatih menguruskan hal rumahtangga sedari kecil lagi.

Namun petang tadi sebaik balik sahaja dari kerja, hati ini tiba-tiba teringatkan abah. Apa lagi, aku terus mendial nombor abah dan bertanya serta minta doa dan restu dari abah dalam apa yang aku lakukan sekarang.

Sekarang usia abah semakin meningkat. Ada masa tak banyak aku dapat beri wang ringgit kepada abah. Semuanya hanya apa yang termampu sahaja.
Paling utama setiap hari aku tak akan sesekali lupa untuk doakan abah, arwah emak dan juga mak cik aku.

Kini walau ada masanya aku dalam keadaan yang sukar jarang aku luahkan kepada abah. Aku tak mahu dia risau dan hanya minta abah doakan aku dan juga keluarga aku yang kecil ini.
Biarpun abah pernah memarahi dan juga memukul aku satu masa dahulu, tak akan sesekali aku berkecil hati terhadap abah.

Jikalau wujud sahaja perasaan itu, terus aku berdoa agar Allah ampunkan dosa-dosa aku dengan perasaan yang tak sepatutnya itu.
Abah tetap abah. 
Tiada yang sempurna begitu juga dengan diri aku sendiri.
Aku akan selalu dan tetap doakan abah walau apa pun keadaannya.

Sekian 
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...