Tuesday 31 May 2022

TETAP TERUS BERJUANG

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik

Agak lama juga tidak menulis diruangan kesayangan ini. Padahal, di blog inilah dahulu digunakan untuk menulis tentang apa saja perkongsiaan. Seumpama sebuah diari, begitulah diri terus gigih menulis hingga mampu menulis antologi cerpen, puisi dan juga anekdot.

Sesungguhnya bukan mudah berjuang dalam dunia penulisan. Tambahan diri juga tidak mempunyai pelajaran yang tinggi dan semuanya hanya berpandukan kepada minat dalam dunia penulisan.

Dalam masa yang sama, gigih mengikuti kursus penulisan yang banyak diadakan secara dalam talian. Rentetan daripada itulah menggunakan ilmu yang ada untuk terus menulis dan juga berkongsi pengalaman dan juga kebaikan.

Tidak lama lagi bakal diadakan pesta buku tersohor acara PBKL 2022 yang bakal diadakan di PWTC Kuala Lumpur tidak lama lagi . Hati bersyukur dapat merancang untuk menyertai beberapa kursus penulisan secara bersemuka kerana sudah sekian lama tidak diadakan memandangkan wabak Covid-19 melanda negara dahulu.

Selain itu menyimpan juga cita-cita menyambung pengajian dalam bidang penulisan walaupun sudah agak terlewat untuk melakukannya. Harapan ini semoga Allah makbulkan dan berjalan lancar dan semua ini dilakukan sebagai persediaan buat diri sendiri, ketika anak-anak semakin sibuk dengan urusan tersendiri.

Walau apa pun kesusahan yang bakal singgah dikehidupan ini, tidak akan pernah sesekali mengalah untuk mengharunginya.

Hanya kepada Allah tetap berdoa dan berharap semoga apa yang bakal dilakukan direstui oleh Allah yang maha esa.


Sekian

Saturday 14 May 2022

HANYA KERANA TUTUP AWAL

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik


Hari ini berehat dari kepenatan bekerja. Sebaik habis bercuti hari raya, terus masuk bekerja. Bekerja pula dari pagi sehinggalah ke malam.

Tutup awal sedikit kedai daripada biasa, sudah mendapat rungutan dari pada pelanggan yang singgah berehat di hentian R&R.

Agaknya hanya pelanggan saja yang berhak berehat. Yang si pengendali gerai ini, macam mana pulak ya?

Patutnya fahamlah suasana bekerja di musim perayaan ini. Bukan semua pengendali gerai berbangsa cina dan juga india. Rata-rata semuanya berbangsa melayu dan beragama islam.

Mengunung harapan ini agar kelak di masa hadapan ada jalan penyelesaian yang paling terbaik. Lagipun gerai pun sudah beroperasi sejak malam raya lagi.

Tak akanlah tutup awal sedikit pihak yang berwajib tidak pandai menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Di musim perayaan dan masih lagi dalam bulan syawal ini, belajarlah memahami dan bertolak ansur.

Tenaga yang digunakan adalah tenaga manusia dan bukan robot. Ada rasa penat dan juga perlu berehat. Maka setelah bertukus lumus bekerja, memang wajib untuk berehat sebentar.

Apa pun diharapkan perkara yang sedemikian tidak berlaku lagi. Dan dalam masa yang sama berdoa juga dapat berhenti kerja dan menumpukan perhatian kepada pekerjaan sampingan pula.



Sekian

Friday 13 May 2022

HARI RAYA HURU-HARA DALAM KENANGAN

 Teks : Sariah Awang Senik

Sumber : Koleksi Peribadi

https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Selama hampir berpuluh tahun kita menyambut perayaan hari raya Aidilfitri mengikuti apa yang dicatat pada kalendar. Namun semua itu tidak seperti yang dijangka pada hari raya Aidilfitri pada tahun 2022. Setelah hampir dua tahun tidak dapat pulang ke kampung berhari-raya disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara, tahun ini semua rakyat Malaysia berpeluang untuk pulang ke kampung untuk meraikannya bersama keluarga tersayang.

Rata-rata diri ini menjangkakan yang hari-raya jatuh pada 3 haribulan 5 tahun 2022. Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali. Hari raya Aidilfiitri tahun 2022, telah ditetapkan pada hari Isnin tahun 2022. Maka kelam-kabutlah diri ini dan juga anak-anak bersiap dan juga berkemas untuk pulang ke kampung berhari-raya.

Syukur juga, kereta sewa telah dibooking sejak dari awal bulan puasa lagi. Hari yang sama, sebaik habis bekerja terus mengambil kereta sewa untuk pulang berhari raya di kampung halaman yang sangat dirindui. Malam tersebut sempat lagi anak-anak mengambil kesempatan untuk ke pekan terdekat membeli tudung dan juga samping. Kata anak-anak lagi, bukanlah hari raya kalau shopping awal-awal. Bila shopping disaat terakhir, barulah terasa kemeriahan berhari raya itu.

Mendengar sahaja penerangan anak-anak dan mereka nampaknya tidaklah berasa sangat risau. Selain itu, kelihatan ramai lagi orang lain yang berpusu-pusu membuat persiapan disaat terakhir. Semua pasaraya penuh sesak dengan orang ramai yang hendak membeli ayam, daging dan juga sebagainya.

Keadaan menjadi agak kelam-kabut. Sebab yang utama adalah pekan terdekat bukanlah besar mana. Hanya ada beberapa buah sahaja pasaraya dan semuanya sesak dengan orang ramai. Huru-hara juga setelah dua tahun tidak dapat pulang berhari raya.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, sempat memberitahu abah dikampung yang terpaksa pulang malam raya dan tidak dapat menolong abah dan juga mak cik membuat persiapan hari raya yang lain. Syukur juga abah dan mak cik memahami dan berpesan agar berhati-hati memandu dan tidak tergopoh-gapah.

Setelah bersiap berkemas, kami anak beranak memulakan perjalanan pukul 1 pagi dari Hulu Bernam Selangor ke kampung Kuala Lipis Pahang. Kelihatan ramai juga orang lain yang memulakan perjalanan yang sama seperti kami.

Sebaik sampai sahaja di lebuh raya Karak berhampiran dengan Genting Sempah, kelihatan lebih banyak kereta bersusun panjang dan semuanya menuju ke kampung halaman masing-masing. Ada juga yang terpaksa berhenti berehat sebentar kerana berasa letih kerana terpaksa menempuh kesesakan jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Apa pun bersyukur juga anak bujang sudah boleh memandu kereta dan dapatlah bertukar-tukar memandu kereta dan terpaksa beberapa kali berhenti berehat kerana berasa mengantuk dan juga letih.

Sepanjang 48 tahun usia ini, inilah kenangan yang paling tidak dapat dilupakan.

Kenangan yang manis menyambut hari raya sehari awal daripada yang dijangkakan. Paling indah dapat meraikan keadaan huru-hara tersebut bersama dengan anak-anak tersayang, Anak teruna yang sudah bekerja dan juga anak dara yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Dan tahun 2022 adalah tahun yang terakhir dia berada di alam persekolahan menengah agama.

Harapannya semoga dia memprolehi keputusan yang cemerlang serta dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tahun 2022 ini kenangan berhari raya huru-hara yang indah dan manis dalam kehidupan ini.


Sekian 




SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...