Friday 16 February 2024

SUMBER INSPIRASI

 

Jumaat

16 Februari 2024


Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musim cuti sekolah bukanlah satu perkara mudah. Walaupun pekerjaan ini bukanlah berdasarkan minat namun  lebih kepada mencari rezeki halal demi keluarga kecil ini. Jujur pada awalnya memang banyak cabaran. Namun tetap bersabar juga berusaha segigih mungkin belajar dan syukurlah semuanya berjalan lancar dan dimudahkan.

Namun yang paling tidak disangka-sangka segala cabaran bekerja di r&r ini menjadi salah satu sumber inspirasi untuk menulis dan berkongsi kisah kebaikan, pengajaran dan secara tidak langsung menjadi motivasi kepada diri sendiri akan tidak cepat berputus-asa ketika berhadapan dengan situasi yang senantiasa menguji kolam hati ini.

Adakalanya terfikir, adakah ada orang hendak mendengar ataupun membaca kisah-kisah di sebuah r&r, tambahan pula bekerja sebagai seorang pembantu gerai yang tidak segah pekerjaan lain. Apa pun jika tidak diceritakan, mana mungkin orang tahu bahawa kisah di r&r penuh dengan kisah unik dan mempunyai pengajaran tersendiri.

Kadang-kadang kisahnya nampak mudah juga ringkas tetapi ada juga yang tidak terfikir dek akal manusia. Contohnya kisah kematian di sebuah r&r. Kebiasaannya kita selalu mendengar kisah kematian akibat kemalangan jalan raya. Tetapi ada juga kisah kematian pelanggan r&r yang tiba-tiba rebah ketika pergi ke tandas untuk membuang air kecil. Kemungkinan pelanggan tersebut diserang sakit lemah jantung lalu pengsan dan terus tidak sedarkan diri. Ada juga pelanggan yang meninggal ketika sedang berbaris untuk membuat pesanan makanan dalam salah sebuah gerai r&r.

Walau apa pun kisahnya, semuanya berlaku di sebuah r&r dan mempunyai ibrah tersendiri. Kini sedang dalam proces penerbitan untuk memerbitkan sebuah buku solo tentang r&r dan berharap segala pengalaman tentang perkongsiaan kisah r&r ini dapat  memberi pengajaran kepada yang sudi membaca buku tentang r&r ini kelak. Selain daripada itu berharap juga agar minda ini tidak lupa akan segala kisah-kisah menarik dan tidak tenggelam dalam kelelahan ketika menjalankan segala tanggungjawab utama iaitu sebagai seorang pembantu gerai di sebuah r&r.


Mohon doakan segala kelancaran untuk proces penerbitan buku ini dan dalam masa yang sama berimpian juga agar buku ini kelak menjadi sebuah buku best seller satu masa nanti. Aamiin.

Sekian.


Wednesday 7 February 2024

JALANI DENGAN PENUH KESABARAN


 

7 Februari 2024


Alhamdulilah sudah sebulan lebih berada dalam tahun 2024. Awal tahun ini terlalu banyak ujian menguji kolam hati ini. Namun tetap juga bersabar dan memujuk diri agar tidak terlalu emosi dan berusaha sebaik mungkin bertenang dan banyakkan berdoa kepada-Nya. Adakalanya ujian itulah satu peringatan saat diri terlalu sibuk dengan urusan dunia yang tiada akhirnya. Memilih untuk terus bersabar sambil berusaha terbaik untuk selesaikan maasalah yang ada.

Adakalanya saat dilanda satu ujian, tak semua orang faham akan situasi yang kita hadapai. Kalaupun kita berusaha terangkan masalah yang ada, nescaya mereka juga tiada jalan penyelesaian yang terbaik. Kadang-kadang masalah yang kita hadapi itu hanya akan membebankan orang lain. Maka jalan terbaik adalah kembali semula kepada-Nya dan insya-Allah Tuhan akan kurniakan cara untuk selesaikan masalah dengan jalan paling kita tidak sangka.

Lagipun kesabaran itulah yang mematangkan diri dalam menjalani kehidupan seharian. Menjadikan diri lebih bijak membuat keputusan serta tidak berharap kepada makhluk Allah untuk setiap masalah yang kita hadapi. Lebih parah ada pihak yang mengambil kesempatan atas masalah yang kita hadapi dan mungkin juga menjatuhkan maruah kita tanpa kita sedari.

Kesabaran itu memang pada awalnya sangat payah dan perih. Namun pada akhirnya sangat berbaloi apabila kita semakin merasai akan segala hikmah yang Allah telah janjikan. Tidak perlu risau atau membuang tenaga memikirkan masalah yang ada. Sebaliknya ambillah pendekatan lebih baik dengan bertenang dan muhasabah diri sendiri.

Apa pun, paling penting adalah diri kita sendiri. Banyakkan berdoa dan berusaha terbaik sementara masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumi bertuah ini.


Sekian

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...