Thursday 28 February 2019

CLEARANCE SALE LAGI!!!!



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Group Telegram
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Dah masuk bulan Mac tahun 2019.
Bermakna masa itu sangat cepat berlalu. Alhamdulilah syukur juga Allah masih izinkan untuk bernafas lagi seperti biasa.
Semakin usia bertambah, maka perbanyakkan segala amalan bagi 
menuju sebuah kehidupan yang maha kekal disana lagi. Insha Allah.

Banyak sangat kejutan dari Dexandra Eau De Parfum.
Bukan sahaja satu wangian yang biasa-biasa malah lebih luar biasa.
Luar biasa dari segi produk, marketing dan juga founder Dexandra Eau De Parfum iaitu Puan Ernayanee Julaimi. Seorang wanita yang biasa-biasa dan kini merupakan seorang usahawan tempatan bumiputera yang sedang mengembangkan pasaran Dexandra Eau De Parfum di peringkat antarabangsa pula.

Kini Dexandra kembali lagi satu kejutan yang mampu membuatkan peminat-peminat perfume Dexandra Eau De Parfum tak tidur lena. Mana tak nya, demi untuk menghabiskan semua stok rare limited edition di hq Dexandra, maka terjadilah virus baru dalam Dexandra Eau De Parfum.

Harga sebotol Rare Limited Edition ialah RM 70. Tapi disebabkan Clearance Sale Dexandra secara besar-besaran maka harga 2 botol Rare Limited Edition ialah hanya RM 99 sahaja untuk 2 botol.

Best dan sangat menarik bukan??
Dan jikalau koleksi rare ini dah habis dari hq Dexandra maka tiada lagi hq Dexandra keluarkan lagi untuk koleksi Rare ini.

Jadinya sementara masih ada stok, jomlah cepat-cepat dapatkan koleksi Rare sebelum semuanya habis. Boleh juga terus wasap saya, Sariah http://sariahdexandratpg.wasap.my
Nak tunggu apa lagi ya?
Sampai semuanya licin??

Jangan menyesal dikemudian hari dahlah ya!!


Sekian
Sariah Awang Senik

CABARAN DAN MASALAH


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Cabaran dan masalah yang ada dalam kehidupan ini samalah juga dalam satu masakan.
Tanpa garam ataupun sedikit satu masakan itu takkan menjadi. Semakin banyak masalah atau cabaran dalam dalam kehidupan ini dapat menjadikan seseorang makin matang berfikir dan tahu setiap jalan penyelesaiannya.

Cabaran berumahtangga, mendidik anak-anak, bekerja atau apa sahaja membuatkan diri kita senantiasa teruji dari sifat kemarahan , sifat kesabaran dan sebagainya.
Berusahalah untuk terus kuat dan bersabar ketika sedang dilanda sesuatu masalah.

Perjalanan dan juga perjuangan ini masih panjang. 
Maka persiapkan diri dengan ilmu bukan sahaja ilmu keduniaan malah juga ilmu akhirat.

Semoga semua dari kita dapat bersabar dalam menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.


Sekian
Sariah Awang Senik

Wednesday 27 February 2019

BILA ANAK BUAT SILAP



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Satu perjalanan dan juga perjuangan yang amat panjang. Penuh duri dan ranjaunya yang tersendiri. Namun mengalah kepada apa juga cabaran yang mendatang. 
Alhamdulilah. Anak-anak makin membesar dan dewasa. Si abang tidak berapa lama lagi bakal menamatkan pengajian . Syukur sangat-sangat. Harapannya agar si abang dapat terus belajar berdikari dan juga bahagia dunia dan akhirat.

Manakala si anak dara yang comel dan agak tegas ini, sikapnya agak berlainan dari abangnya. Biarpun dah besar panjang, anak dara yang seorang sudah dibiasakan sejak kecil dengan panggilan adik.

Adik kini belajar di sekolah asrama menengah agama disebuah daerah di Slim River Perak.
Adik sejak dari kecil rapat dengan abahnya. Tetapi sejak saya dan abahnya berpisah hubungan adik dan abah semakin renggang. Hanya dua tahun kebelakangan ini barulah hubungan itu terjalin kembali.

Entah apa yang membuatkan abahnya berubah sikap sedemikian hanya Allah sahaja yang tahu. Seingat saya sejak abangnya sudah bersekolah menengah dan adik juga melangkah ke sekolah menengah, barulah hubungan anak dan abahnya kembali rapat.

Jujurnya saya tidak pernah sesekali memburuk-burukkan bekas pasangan. Memang bekas pasangan pernah mengaibkan diri saya dahulu sebagai isteri. Saya hanya mengambil langkah terbaik dengan memaafkan dan menyerahkan segalanya kepada Allah yang maha esa.

Semalam waktu saya dalam perjalanan balik ke rumah setelah bekerja, saya mendapat panggilan telefon dari adik. Terubat juga rindu walau tidak dapat bercakap lama dengannya.
Adik sempat bertanyakan khabar dan bertanya, adakah saya masih ditempat kerja atau sedang sibuk.

Saya menjawab pertanyaannya walau ada sedikit debaran bergetar dihati ini.
Rasa pelik juga kenapa tiba-tiba hati seorang ibu ini berdebar-debar. Rupa-rupanya terdengar ada suara esakan kecil si adik. Adik mengakui telah membuat satu kesilapan kecil dan juga berusaha memohon maaf dari saya. 
Apa yang termampu saya katakan hanyalah beristighfar dan berdoa terus kepada Allah agar rahmat Allah senantiasa melindungi abang dan juga adik.

Adik menyatakan rasa sesalnya dan bertanya sama ada saya marahkan dirinya ataupun tidak. Sebagai seorang ibu juga bergelar ayah dalam satu masa yang sama bukanlah perkara mudah. Agak marah juga. Namun saya melihat dari sudut penilaian yang lain.

Bukan mudah seorang anak untuk mengakui akan kesalahannya dan berani juga bertanggungjawab jawab atas kesilapan yang telah dilakukan. Memaafkan dan seterusnya memberi penjelasan yang sepatutnya adalah jalan yang paling terbaik.

Sebalik jika terus memarahi dan menghukum diri adik tidak akan membentuk jati diri sebagai seorang remaja. Sejal adik kecil sehinggalah dia telah meningkat remaja jarang dia berahsia apa-apa dari saya sebagai ibunya.  Adik gemar bercerita tentang sekolah, kawan-kawan dan juga cikgu- cikgunya. 

Tak pernah sunyi adik berkongsi apa saja dengan diri ini. Begitulah juga hal yang sama saya lalukan terhadap abang dan adik. Menerangkan apa saja perkara dan juga membuat segala keputusan. Keputusan yang nekad untuk saya korbankan kebahagiaan sendiri demi kebahagiaan dan masa depan anak-anak tersayang.

Disepanjang perjalanan ini saya sedar segalanya bukan mudah.
Mendidik dan membesar mereka berdua bersendirian. Menghukum juga perlulah merujuk kepada kesalahan apa yang telah mereka berdua lakukan.

Dengan berdoa kepada Allah secara istiqamah dan bersungguh-sungguh hanya itu sahajalah ikhtiar yang dapat saya lakukan saat mereka berdua berada jauh demi tuntutan ilmu bagi masa depan yang lebih terjamin. 
Insha Allah. Alhamdulilah.

Sekian
Sariah Awang Senik

NOSTALGIA SAMBAL ITAM PAHANG



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Tiap kali memasaknya dan buat segala proces, selalu teringatkan kepada arwah emak.

Masa itu kesihatan arwah emak dah tak berapa sihat.
Terpaksa berulang alik ke hospital Kuala Lumpur untuk rawatan kimoterapi bagi penyakit kanser payudara tahap 4.

Emak pernah berpesan, belajar dan buatlah.
Esok-esok emak dah tak de senang nak buat sendiri.
Kak Long hanya tersengih je masa itu.

Masih sekolah lagi masa itu.
Kalau tak silap dalam tingkatan 5.
Fikir Kak Long tak mungkin emak akan pergi secepat itu.

Sejak itu Kak Long usaha masak dan buat sambal ini sendiri.
Abah adalah pengkritik paling terbaik.
Paling cerewet tapi tahu dia nak kita berusaha sendiri sampai berjaya.

Alhamdulilah.
Dah berumur 45 tahun ini nostalgia ini takkan pernah pudar.
Mujurlah anak teruna pun berminat nak belajar macam mana nak buat sambal ini.

Maka tak mustahil segala skill dari arwah emak bakal diwarisi oleh anak-anak tersayang.
Ingat tadi nak tidur, tapi rasa tak lengkap kalau tak taip status ini.

Jomlah kita beradu dulu.
Takut nanti ada pulak yang rasa mengantuk baca posting Kak Long ini.


Sekian 
Sariah Awang Senik

Thursday 21 February 2019

BERAKHIR SUDAH COACHING PENULISAN TERAPI



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Facebook
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

Alhamdulilah berakhir sudah coaching penulisan terapi yang berdasarkan Al-Quran.
Sebenarnya pada permulaan kelas ini dulu taklah faham sangat. Tapi setelah beberapa lama barulah faham akan segala rentaknya. Kelas dikendalikan secara group wasap dibawah pimpinan Suzana Suliman.

Bagi yang khatam Al-Quran mungkin tak mempunyai masalah tentang memahami Al-Quran. Tapi tak bagi diri ini. Masih lagi dalam proses belajar membetulkan bacaan dalam Al-Quran dan perbaiki segala kelemahan yang ada.

Dalam kelas coaching terapi penulisan ini, kita dikehendaki menulis jurnal syukur selama 21 hari atas apa sahaja nikmat yang kita nikmati termasuk juga segala cabaran yang sedang kita lalui sekarang.

Kemudian dengan berpandukan ayat-ayat Al-Quran kita diminta menulis jurnal refleksi atas apa yang kita faham dari ayat Al-Quran tersebut dan dibandingkan dengan kehidupan yang kita lalui setiap hari.

Bagaikan rasa tak puas dan ada sesuatu yang membuatkan hati ini ingin terus sambung lagi belajar dan berada dalam coaching penulisan secara terapi dalam kelas yang bakal diadakan pada bulan Mac nanti.

Harapannya dengan kelas yang bakal dipelajari nanti akan membuatkan diri lebih memahami akan makna dalam segala ayat-ayat Al-Quran dan tak hanya setakat menghafalnya sahaja.

Mohon doa juga dari kalian yang sudi singgah membaca entri ini agar doakan saya terus istiqamah dalam menulis jurnal syukur dan juga jurnal refleksi dalam kelas coaching penulisan terapi ini.
Doakan saya ya.


Sekian
Sariah Awang Senik

Wednesday 20 February 2019

SABARLAH HATI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

(Abdullah Muhammad Basmeih)
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

-Sura Aal-E-Imran, Ayah 200


Sekejap sahaja masa berlalu. Hari ini dah pun 20 Februari 2019.
Semalam sahaja baru selesai aktiviti ' spring cleaning' yang diadakan setiap bulan demi
demi untuk memastikan segalanya bersih dan juga kemas.
Nampak sahaja bekerja dikedai tapi serba-serbi harus dijaga.

Ada beberapa dugaan yang sedang menguji ketabahan hati ini. Dan juga terdapat juga satu halangan yang amat besar yang bila-bila sahaja boleh melemahkan semangat ini untuk mencapai satu kejayaan.

Namun segala yang datang dan wujud itu hanyalah dari Allah. Maka kepada Allah jualah saya memohon agar segalanya dipermudahkan  dan berjalan dengan lancar. Apa yang termampu dilakukan saat ini hanyalah teruskan bersabar, berdoa dan juga berusaha sedaya untuk menghadapinya.

Hati ini juga agak terusik kerana sedang menanggung perasaan rindu kepada anak dara tersayang. Mujurlah lewat petang tadi dia call dan sempatlah meluahkan rasa rindu yang teramat sangat kepada anak dara tersayang.

Ya Allah, kau kurniakanlah kesabaran kepada hati ini untuk menghadapi apa jua cabaran dan juga rintangannya.


Sekian
Sariah Awang Senik 

Tuesday 19 February 2019

MENYUSURI WAKTU INI



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Segalanya bukan mudah. Nak capai satu kejayaan ada masa perlu mengambil satu risiko.
Dan setiap satu risiko ada cabarannya yang tersendiri. Namun hasrat untuk mencapai kejayaan ini tetap sahaja diteruskan walau terpaksa menempuh pelbagai halangan.

Kini menyusuri waktu-waktu ini harus memaksa diri untuk lebih fokus dan serius merancang akan sesuatu perjalanan bagi mencapai sebuah kejayaan.
Genap usia ini makin bertambah ke 45  tahun maka sesuatu perlu dilakukan. Ada masa perjuangan untuk capai satu kejayaan tidaklah semudah yang disangka.

Setiap waktu ada sahaja cabarannya. Makin besar akan sebuah kejayaan itu, maka secara automatiknya dugaannya pun besar. Dalam masa yang sama bermohon terus kepada Allah agar Allah permudahkan disetiap langkah untuk mencapai satu kejayaan yang paling bermakna ini.

Ada sedikit rahmat Allah turun ke bumi. 
Harapannya semoga rahmat Allah itu dapat membahagiakan setiap sekalian umat manusia.
Insha Allah.

Monday 18 February 2019

DAH PUN 45 TAHUN


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Ya, hari ini dah pun berumur 45 tahun. Terima kasih Ya Allah kau masih berikan lagi peluang untuk bernafas dan jalankan segala amanah yang dipertanggungjawabkan.
Walau kehidupan yang dinikmati sekarang taklah sehebat mana, namun jauh disudut hati ini tetap saja merasa bersyukur.

Semuanya anugerah dari Allah. Tanpa dengan izinNYA Allah yang maha esa, tak mungkin akan dapat merasai semua nikmat ini. Apa yang ada bukanlah tak berpuas hati tetapi mahu lebih berusaha gigih dan berikan yang terbaik buat anak-anak dan juga tersayang.

Kebetulan awal pagi ini, hujan pun turun selepas sekian lama rahmat Allah tak turun menyembah bumi. Syukur sangat dapat merasai dan menikmati semua nikmat itu.
Kemudiannya pergi kerja seperti biasa dan jalankan segala amanah seperti biasa.

Tak lama selepas itu, dapat pula hadiah kejutan dari adik tersayang dengan sejambak bunga dan juga sedikit makanan. Tak tahu nak digambarkan bagaimana perasaan ini.
Perasaan terharu ini terlalu menggunung dalam hati ini. Rasa sebak dan tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Sejujurnya rasa diri seakan berdosa kerana tak banyak pertolongan yang mampu dilakukan kepada adik-adik tersayang.

Hanya ucapan terima kasih dan juga yang tak pernah putus mendoakan akan kesejahteraan adik-adik dan semoga Allah senantiasa melindungi mereka selalu. 

Hadiah yang paling membuatkan diri ini merasa lebih terharu adalah ucapan Selamat Hari Jadi dari anak teruna tersayang. Dengan ucapan yang serba ringkas serta jujur dari hatinya, memberi satu kekuatan luar biasa untuk terus melangkah dan berjuang mencapai segala apa yang diimpikan selama ini.

Alhamdulilah
Subhanallah
Allahuakbar

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembira dan bermaknanya dengan segala ucapan-ucapan ringkas dari semua sahabat-sahabat fb, keluarga tersayang dan yang pastinya keluarga yang dikashi.
Terima Ya Allah atas segalanya.

Sekian
Sariah Awang Senik

Saturday 16 February 2019

TERIMA KASIH BUAT SEMUA


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Ada masanya kita ini selalu terlepas pandang. Dek sibuk dengan tanggungjawab dan juga kesibukan bekerja demi menyara kehidupan kita terlupa untuk mengucapkan rasa terima kasih buat semua insan-insan yang tersayang . Mereka semua senantiasa ada disisi walau apa keadaan saya sekaipun. 

Waktu melalui saat keperitan satu masa dahulu, merekalah yang tak putus-putus memberi dorongan dan juga membantu apa yang termampu. 
Rasa terima kasih tak terhingga buat abah tersayang, Awang Senik Bin Adam, mak cik Maimunah, adik-adik yang dikasihi Sarimah Awang Senik dan juga Mohd Roslan Bin Awang Senik . Juga tak lupa adik, Ramadan yang banyak membantu menjaga dan merawat abah semasa abah sakit di hospital kelmarin.

Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dan membesar sambil mendidik kedua anak tersayang bersendirian bukanlah satu perkara yang mudah.
Sokongan yang berterusan walau bukan dalam bentuk wang ringgit sangat membantu diri ini agar terus kuat mengharungi apa jua cabaran yang datang.

Sejujurnya segala apa yang mereka semua lakukan tak terbalas akan segala jasa-jasa mereka tersebut. Hanya mampu berdoa kepada Allah agar lindungilah mereka semua, permudahkan segala urusan dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah lagi banyak.

Memang ucapan terima kasih itu taklah sesusah mana, tapi kadang kita selalu lupa nak ucapkan buat orang-orang yang kita sayangi dan selalu setia bersama-sama dengan kehidupan kita.

Alhamdulilah. Terima kasih Ya Allah kau kurniakan orang- orang tersayang yang menerima diri ini seadanya dan juga segala kelemahan diri ini.
Syukurlah. 


Sekian 
Sariah Awang 

Friday 15 February 2019

PERANG ANEKDOT



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Segalanya bagai mimpi. Impian yang bakal jadi kenyataan tak lama lagi.
Inilah yang pertama dan juga pengalaman yang pertama. Sesempurna ataupun sebaliknya hanya Allah yang maha mengetahui. Jika menunggu lengkap dan sempurna takkan membawa arah ke mana-mana. Setidak-tidaknya berusaha dan memberikan yang paling terbaik dengan jujur dan seikhlasnya dari hati ini.

Alhamdulilah. Syukur Allah jodohkan ukhwah ini secara spontan. Tanpa mengenali siapa mereka yang sebenar, terus sahaja ukhwah terjalin dengan satu minat yang mengikat hati masing-masing menjadi satu dan berkembang menjadi satu bala tentera yang paling terhebat.

Peperangan ini bukanlah satu perang berebut kuasa dan siapa yang paling terhandal. Tapi satu peperangan yang memerah idea masing-masing menjadi suatu kisah yang sungguh mengusik jiwa.

Bergabung dan berkenalan secara rapat setiap hari dengan penulis yang berpengalaman dan baru serta bertukar -tukar idea membuat dan menambahkan lagi rasa teruja untuk melihat fizikal buku Mama Kopi Dan Wifi ini.
Seramai 22 orang penulis yang kebanyakannya terdiri dari mama dan juga ibu yang berniaga secara online. Juga dalam masa yang sama menguruskan rumahtangga dan juga bekerja.

Terdapat banyak cabaran dan cabaran yang paling utama haruslah mengutamakan keluarga, anak-anak dan kerja hakiki yang paling utama. Setelah semuanya selesai barulah boleh memberikan sepenuh tumpuan kepada perniagaan online yang diusahakan secara sampingan.

Semua ini tercetusnya ilham dari Puan Rubiatul Addawiyah dan melalui beliaulah terbukanya peluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan penulis yang lain.
Semua kisah dalam buku Mama Kopi Dan Wifi ini adalah ditulis secara anekdot ataupun cerita pendek. Kebanyakkan kisah adalah berunsur lucu dan tak kurang juga yang menyentuh jiwa dan raga.

Buku ini masih lagi dalam proces penerbitan dan bakal keluar bila-bila masa sahaja. Bakal memasuki Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 tak lama lagi.

Kini promosi tentang buku Mama Kopi Dan Wifi sedang berperang dengan hebatnya dilaman sosial facebook dan juga Instragram. Ada juga promosi tentang kisab buku Mama Kopi Dan Wifi dilaman-laman sosial yang lain, seperti group wasap, Telegram dan sebagainya. 

Menulis dalam genre anekdot adalah merupakan pengalaman yang pertama bagi diri ini.
Tak pernah terlintas atau terbayang dek fikiran ini untuk menulis dalam genre anekdot. Kadang puas juga memikirkan apakah anekdot ini sebenarnya. Melalui satu buku rujukan barulah nampak dengan jelas bayang-bayang bagaimana hendak menghasilkan cerita atau idea anekdot ini.

Dengan iklan dan serangan bertubi-tubi segala promo tentang kisah buku Mama Kopi Dan Wifi ini segala peperangan anekdot ini menjadi bertambah hangat membara. 

Doa dan harapan agak segala urusan penerbitan buku Mama Kopi Dan Wifi ini berjalan dengan lancar dan jayanya. 
Insha Allah. Aamiin Ya Mujib.


Sekian
Sariah Awang Senik

Thursday 14 February 2019

SATU TEGURAN





Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://www.facebook.com/sariahawangsenik.my

Sebagai anak, adakalanya kita terlepas pandang akan sesuatu perkara yang nampak remeh dan mudah. Asbab tuntutan hidup yang makin mendesak di tambah dengan perkembangan digital yang semakin laju dan pesat membangun, kita seolah-olah mengabaikan kedua orang tua yang kita sayangi dan hormati. Bekerja saban hari dan demi memenuhi pelbagak tanggungjawab adakalanya sangat melelah.

Sibuk dek semua tanggungjawab, sampai ada masanya lupa nak bertanya khabar dan juga bagaimana keadaan kedua orang tua tersayang.
Ayah dan ibu telah berusaha lakukan yang terbaik buat anak-anaknya. Cuma sebagai anak, kita selalu lalai akan tanggungjawab yang utama ini.

Itulah yang berlaku kepada abah aku baru-baru ini. Bukanlah mengabaikan mereka, cuma sebab terlampau sibuk lupa nak bertanya khabar tentang abah dan juga apa yang abah lakukan sejak kebelakangan ini. Hari Sabtu yang lepas abah mengalami kemalangan dan terjatuh dari tangga semasa membetulkan tangki air .

Semuanya berlaku sekelip mata sahaja. Mujurlah tiada apa yang serius dan tangan abah hanya mengalami sedikit keretakan dan doktor terpaksa memasang beberapa batang besi ditangan kanan abah.

Tapi abah tetap abah. Semangatnya untuk sembuh dari kecederaannya terlampau kuat. Habis sahaja ubat bius pada tangan abah, abab tetap ingin lakukan semuanya sendiri. Ingin bangun sendiri, ke bilik air mengambil wuduk dan sebagainya.

Kadang-kadang terlihat abah menahan kesakitan dari kecederaan tangannya. Namun abah tetap jua melawannya. Setiap kali doktor dan jururawat membuat pemeriksaan, pasti mereka akan bertanya sama ada abah dan ke bilik air sendiri dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, terus sahaja aki menjawab yang abah sudah lakukan semuanya pada hari ke dua abah berada dihospital.
Itulah abah tak pernah kenal erti duduk diam. Setiap hari ada sahaja perkara yang dibuatnya.
Menyapulah, bertukang, mengecat dan sebagainya.

Baru sekejal tadi aku menelefon abah dan alhamdulillah kesihatan abah makin bertambah pulih. Walau abah masih berada dihospital dia tetap jua berusaha memujuk dan memberitahu aku yang semuanya bebaik sahaja.

Bagi diri aku, apa yang berlaku kepada abah bagaikan satu teguran Allah terhadap aku sebagai anaknya. Terlampau sibuk fikirkan hal dunia sampai ada masanya aku terlepas pandang akan semua hal-hal yang sepatutnya aku lebih peka dan ambil berat.

Ya Allah ampunkan segala kekhilafan diri hambaMu yang hina ini.
Harapan aku semoga abah pulih seperti sediakala  dan dapat lakukan segala aktiviti yang abah suka seperti kebiasaannya.


Sekian 
Sariah Awang Senik

Tuesday 12 February 2019

NOTA DARI KERETAPI


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook .com/sariahawangsenik.my



Dalam perjalanan dari sebuah tanggungjawab yang besar. Syukur Allah titipkan satu dugaan sebagai satu teguran kasih sayang dariNYA.

Mengingatkan bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata dan dengan izinNYA. Satu peringatan bahawa bahawa lebih menghargai apa yang ada sekarang dari mengejar sesuatu yang tak pasti.

Dugaan ini mengingatkan akan segala kisah memori semalam.
Walau ada sedih dan gembira tapi itulah satu pengalaman yang lebih berharga dari segunung emas.

Alhamdulilah. Sedaya upaya dan apa yang termampu berusaha yang terbaik membahagiakan insan-insan yang tersayang.

Menyusuri perjalanan ini bersendirian bertemankan doa dan sebuah harapan tak pernah merasa satu kelelahan.
Ya, hakikatnya nampak bersendirian kerana tanpa seseorang yang bernama status suami.

Namun jauh disudut hati ini tetap jua rasa bersyukur kerana Allah telah aturkan setiap inci kehidupan ini dengan begitu cantik sekali.

Sesal tak pernah sesekali.
Kerana setiap hari belajar akan sesuatu perkara.
Menghargai makna kasih sayang sesama manusia dan tidak tertakluk kepada satu makna kasih sayang sahaja.

Ya, aku masih dalam perjalanan menuju satu destinasi.
Sampai masa akan tiba jua suatu hari nanti.


Sekian
Sariah Awang Senik

Thursday 7 February 2019

CABARAN MAKIN HEBAT



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariah.awangsenik


Alhamdulilah. Syukurlah masa yang ada walau tak panjang sempat dihabiskan bersama dengan anak-anak tersayang. Dari awal cuti untuk sambut raya Cina, rasa hati ini bagaikan tak sabar-sabar nak jumpa mereka berdua.

Syukurlah Allah aturkan semuanya dengan cantik sekali. Biarpun terikat dengan tanggungjawab kerja yang tak pernah habis, tapi berusaha untuk lakukan semua tanggungjawab yang diamanahkan sebaik yang mungkin.

Bekerja dan dalam masa yang sama berniaga secara online bukanlah satu perkara yang mudah. Tanggungjawab yang utama harus diselesaikan sebaik yang mungkin.
Cabaran yang paling utama berniaga secara online ini ialah apabila mesti membuat posting iklan dalam lebih dua atau tiga kali posting.

Dahulu boleh pakai Hootsuite dan Buffer untuk buat posting terus ke fb wall personal.
Kini tak lagi. Posting iklan harus dibuat secara normal dan kalau pakai software pun semuanya harus berbayar terlebih dahulu.

Di samping itu juga masa untuk buat posting iklan itu bagaikan suntuk sangat. Kena selesaikan tugas yang utama dahulu dan kalau ada masa free barulah boleh posting iklan itu.
Apa pun semua kerja yang utama harus diselesaikan sebaik yang mungkin.
Dugaan dan cabaran selalu ada. Maka apabila timbul apa sahaja masalah, maka berbaliklah dahulu kepada Allah yang maha esa.


Sekian
Sariah Awang Senik

Friday 1 February 2019

EPILOG BALQIS


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik

Jumaat ini hadir lagi.
Pagi inilah arwah anak tercinta pergi menemui penciptaNya.

Betapa kerinduan dan segala kenangan manis tak pernah lenyap dari fikiran ini.
Bagaimana arwah masih mampu mengukir senyuman saat setiap pagi diambil darah dan sebagainya.

Walau tubuhnya makin kurus, dengan perut yang membuncit angkara kegagalan hatinya berfungsi dia masih gagah untuk lakukan setiap aktiviti hariannya.

Buku, pensel dan juga buku nota adalah temannya yang paling setia.
Panggilan ibu dan abah itulah panggilan yang buatkan diri ini lebih bersemangat.

Melihatnya menjalani kehidupan senantiasa bersemangat tanpa rasa takut pada kesakitan banyak menyedarkan diri ini.

Pernah jua saat rasa lelah menjaganya, terlelap dan terasa ada tangan yang membelai pipi dan terdengar sayup-sayup panggilan keramat dipanggil.

" Ibu....ibu...ibu.." 

Apabila mata terbuka terlihat arwah sedang berusaha menarik botol air minumannya.

Rasa kesal bersarang dalam hati ini.
Betapa rasa lelah itu telah melalaikan tanggungjawabku sebagai seorang ibu.

Patutnya ku persiapkan dahulu botol air disisinya.
Asbab antibiotik yang diberi membuatkan arwah keletihan dan rasa dahaga.

Saat rasa nak lelap tadi, arwah sudah terlena.
Fikirku lenanya akan lama sedikit.
Rupanya tak sama sekali.

Entahlah, tiba-tiba kerinduan ini datang bertandang.
Tahu bidadari syurga menjaga lebih baik dari diri ini.

Ku panjatkan rasa syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk membina syurga disana nanti.

Al-Fatihah buat arwah anak tersayang Siti Nur Balgis dan insha Allah kita bertemu lagi suatu hari nanti.

Sekian
Sariah Awang Senik

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...