Wednesday, 22 April 2015

BILIARY ATRESIA

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Persatuan Pediatrik Malaysia www.mpaweb.org.my- Dr Zakaria Zahari
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Biliary Atresia, adalah satu penyakit yang pernah dialami oleh arwah anak berbelas tahun yang lalu. Walaupun telah lama meninggal dunia namun segala kenangan manis semasa menjaga arwah tetap segar di dalam ingatan saya. Mana mungkin saya melupakannya begitu sahaja, kerana dialah anak yang istimewa yang Allah berikan saya kesempatan untuk menjaga dan juga merawatnya.

Namun sejak kebelakangan ini, terlalu ramai sekali bayi yang telah mengalami penyakit yang sama seperti arwah anak.
Penyakit Biliary Atresia ialah satu penyakit yang tidak mempunyai sistem hempedu luar dan menyebabkan seorang bayi itu akan mengalami kuning ataupun jaundis yang berpanjangan. Punca penyakit ini terjadi tidak dapat diketahui dengan pasti. Namun ada teori mengatakan bahawa ianya terjadi disebabkan oleh sistem hempedu luar telah diserang oleh antibodi badan pesakit.

Penyakit ini dapat dikesan seawal bayi berusia 2 ataupun 3 minggu dilahirkan. Tanda-tanda penyakit Biliary Atresia ini ialah seorang bayi itu akan mengalami keadaan-keadaan berikut. Antaranya ialah:
@ Masalah kuning ataupun jaundis yang berpanjangan.
@ Najis yang berwarna pucat.
@ Air kencing bayi akan berwarna kuning pekat.
@ Kerapkali menangis.
@ Seorang bayi itu sukar tidur lena.
@ Pembesaran hati dan juga limpa.

Penyakit ini dapat di kesan melalui ujian sinar x-ray, pemeriksaan darah ataupun biospi hati. Untuk pengetahuan semua tiada ubat untuk merawat penyakit Biliary Atresia. Ianya hanya dapat di rawat melalui satu pembedahan.

Pembedahan tersebut dipanggil pembedahan 'Kasai'. Di namakan pembedahan ' Kasai' adalah bersempena dengan nama doktor pertama yang membuat pembedahan tersebut. Melalui pembedahan ' Kasai' sistem hempedu luar bayi akan dibuang. Manakala usus kecil akan disambungkan ke porta hepatis. Umumnya pembedahan ini dilakukan ketika umur bayi tidak melebihi 60 hari. Pembedahan ini sepatutnya dijalankan di peringkat terjadinya kerosakan hati. Hanya dengan kaedah ini mampu merawat bayi namun ianya tidak terdapat di negara kita.

Kesan selepas pembedahan ' Kasai ' ini amatlah tipis. 1/3 daripada bayi yang pernah melalui pembedahan ini langsung tidak memberikan apa-apa kesan. Ada juga bayi yang terpaksa menanggung risiko akibat daripada pembedahan dan menjalani rawatan yang berpanjangan akibat daripada komplikasi yang timbul.
Tetapi ada juga 1/3 lagi bayi yang bebas daripada jaundis yang berpanjangan dan mampu melalui kehidupan yang normal seperti mana bayi-bayi yang lain.

Semuanya bergantung kepada keadaan dan juga nasib bayi tersebut. Antara komplikasi yang sering timbul akibat daripada kegagalan pembedahan tersebut ialah:
@ Bayi akan mengalami sesak nafas.
@ Deman yang berpanjangan.
@ Perut bayi akan membuncit dan mengandungi cecair di dalamnya.
@ Hujung jari kaki dan juga tangan akan membengkak.
@ Muntah darah dan juga ada bayi akan keluarkan darah melalui najisnya.

Ini semua adalah komplikasi yang bakal dilalui oleh bayi yang pembedahan ' Kasai' nya tidak berjaya ataupun gagal.
Jika ada ibubapa ataupun sesiapa sahaja yang mempunyai semua tanda-tanda penyakit Biliary Artesia, maka segeralah membawa bayi tersebut ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya.

Kemungkinan besar rawatan dapat dilakukan dengan segera ke atas bayi dan tidak menunggu hingga usia bayi melebihi 2 bulan. Itu adalah keadaan yang sama seperti mana arwah anak telah mengalaminya. Penyakitnya sukar dilihat oleh mata kasar kerana ianya terletak di dalam sistem hempedu bayi tersebut.

Walaupun telah berbelas tahun berlalu namun segala kenangan semasa arwah anak mendapatkan rawatan di Hospital Pediatrik Kuala Lumpur di wad KK4 masih segar dalam ingatan saya. Dengan layanan yang baik daripada jururawat-jururawat dan juga doktor pakar yang merawat arwah anak pada masa itu tidak dapat saya balas. Hanya ucapan dan tuhan sahaja yang dapat membalas segala jasa jururawat dan juga doktor pakar yang telah memberikan rawatan yang terbaik semasa arwah anak berada diwad tersebut hinggalah saat-saat akhir dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Al-Fatihah untuk arwah anak Siti Nurbalqis Bte Ahmad Roslan.

Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik

Nota : Maklumat tentang penyakit ini juga telah ditulis oleh doktor pakar yang pernah merawat arwah anak iaitu Dr Zakaria Zahari. Sekalung ucapan terima kasih kepada beliau kerana sudi berkongsi maklumat tentang penyakit Biliary Atresia.

PERJUANGAN BARU BERMULA

Teks : Sariah Awang Senik Sumber : Koleksi Peribadi Http://sariahawangsenik.blogspot.com Syukur alhamdulillah. Peperiksaan UPSR pun dah...