Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Whatshapp dan koleksi sendiri.
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Kecacatan bukanlah halangan di dalam mencapai suatu kejayaan. Tidak kiralah bagaimana keadaan kita sama ada sempurna ataupun tidak. Selagi bernama manusia dan hamba Allah di muka bumi ini, pasti akan mempunyai cita-cita dan juga impian yang tersendiri.
Inilah aku, Zulhelmi Fazrul Bin Jasimi. Bergelar 'oku' ataupun orang kurang upaya. Kini aku berumur 27 tahun dan mempunyai seorang adik dan juga abang. Abangku juga ada mempunyai sedikit kecacatan di bahagian kakinya dan juga adikku yang perempuan adalah seorang yang sempurna dan juga cukup sifatnya. Aku dilahirkan lemas sewaktu bersalin dan disahkan mempunyai penyakit ' Cerebral Palsy'. Dengan penyakit tersebutlah aku cacat dan tidak berupaya untuk berjalan dan juga menjalani kehidupan seperti mana insan yang lain.
Namun aku tidak pernah merasa terpencil ataupun disisihkan oleh ahli keluarga dan juga saudara mara yang lain. Sejak aku lahir hinggalah berumur 20 tahun aku menjalani rawatan fisioterapi bagi membolehkan aku bergerak dan juga menguruskan diri aku sendiri. Sungguhpun begitu aku berusaha belajar hidup berdikari tanpa selalu mengharapkan pertolongan daripada oranglain. Ibu dan abahlah orang yang banyak memberikan aku dorongan untuk meneruskan segala cita-cita dan juga impian aku.
Sepertimana insan yang lain, aku punyai impian dan cita-citaku sendiri. Segala kelemahan diri dan juga kecacatan ini tidak pernah sesekali pun melemahkan semangat aku untuk menghadapi segala cabaran kehidupan. Kini aku mempunyai perniagaan sendiri. Dengan berniaga secara kecil-kecilan aku dapat membantu kedua orang tuaku dan sekaligus meraih pendapatan aku sendiri. Memang aku tahu ibu, abah dan juga adik beradik senantiasa akan membantu diriku tetapi aku juga perlu untuk berusaha membuat sesuatu untuk diriku dan juga dapat membahagiakan kedua ibubapaku yang tersayang.
Pada tahun 2011, aku membuka sebuah kedai yang menjual makanan ringan, buah-buahan dan juga topup handphone. Kedai yang aku maksudkan itu ialah kedaiku sendiri yang dinamakan Setia Jaya Bersatu. Walaupun kedai ini tidak sebesar mana namun aku sangat berpuas hati. Melalui kedai yang kecil inilah aku belajar berniaga dan juga berurusan dengan para pelanggan. Pelanggan yang singgah di kedai datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kebanyakannya kanak-kanak dan juga jiran-jiran terdekat yang mengenali diriku dan juga keluarga. Hatiku merasa sangat gembria dengan kesudian mereka berkunjung ke kedaiku yang tidak seberapa ini.
Cabaran dan juga pelbagai rintangan tetap ada. Ada juga yang memandang rendah akan keupayaan diriku. Sesekalipun aku tidak pernah rasa lemah semangat atas segala pandangan mereka semua terhadap diriku. Selain daripada itu, aku juga ada ramai kawan yang cukup sempurna sifat mereka. Mereka tetap melayani diriku seadanya dan tidak pernah membezakan diriku dengan rakan-rakan yang lain.
Impianku suatu hari nanti akan dapat membuka sebuah lagi kedai runcit yang menjual barang keperluan harian dan juga sebuah kedai handphone suatu hari nanti. Apapun aku akan tetap berusaha dan juga terus menimba ilmu pengetahuanan di dalam dunia perniagaan ini.
Pesanku pada para sahabat yang mempunyai nasib seperti diriku ialah kuatkan semangat. Jangan mudah berputus asa. Usah peduli apa pandangan orang lain terhadap segala kekurangan diri kita. Dan yang pastinya kenalah rajin belajar dan juga berusaha bersungguh-sungguh mencapai segala kejayaan.
Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik
Nota : Aku yang dimaksudkan di atas ialah Zulhelmi Fazrul Bin Jasimi. Seorang anak 'OKU' di sebelah salah seorang saudara kakak sepupu saya. Hati merasa sangat kagum dengan kebolehannya menguruskan sebuah perniagaan yang sangat sederhana walaupun keadaannya fizikalnya tidak sempurna seperti mana insan yang lain. Hanya cacat fizikal tetapi tidak mental. Sudahpun mempunyai kenderaan sendiri dan gigih berusaha menguruskan perniagaannya.
No comments:
Post a Comment