Thursday 27 January 2022

MENYUSURI HARI NAN INDAH

Teks : Sariah Awang Senik

Sumber : Koleksi Peribadi

 https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Alhamdulilah syukur Allah masih kurniakan peluang untuk bernafas dan menikmati segala nikmat yang diberi walaupun tidak hidup mewah dan serba ada seperti orang lain. Berpeluang untuk bernafas, menjalankan segala aktiviti adalah salah satu dari sumber rezeki juga. Mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap walaupun tidak banyak, jauh di sudut hati ini tetap berasa bersyukur.

Hidup bersendirian bersama anak-anak dan juga keluarga tersayang juga sangat bersyukur. Menghargai akan segala yang ada kerana hari esok tidak pasti bagaimana lagi. Hari ini memulakan rutin harian seperti biasa. Kaki masih lagi bengkak dan kadangkala berasa sakit. Entah apa penyakitnya hanya Allah sahajalah yang tahu akan segalanya. 

Pasti ada hikmat dan mesti lalui semua ujian ini dengan redha dan ikhlas. Hanya tuhan sajalah yang tahu apa yang terbaik buat hambanya. Esok bakal bertemu dengan doktor dan berdoa agar tiada penyakit yang serius dan berbahaya.

Apa pun tetap tidak lemah semangat dan juga berputus-asa. Sementara masih berkemampuan, lakukan segala pekerjaan seperti biasa, banyakkan berdoa dan tidak cepat menyerah kalah. Lalui setiap hari yang mendatang dengan penuh kesyukuran. Ketika menaip entri blog ini, tiba-tiba batuk menyerang. Kemungkinan terlalu banyak makan makanan yang berminyak. Berusaha untuk menambah baik dari segi pemakanan agar dapat mengelakkan diri dari penyakit yang kronik.


Namun jauh di sudut hati ini tetap berasa bersyukur akan segala ujian yang Allah hadiahkan. Tanda Allah masih sayang dan peduli akan diri ini serta tidak terus berada dalam kelalaian. Banyak perbaiki diri dan senantiasa berada dalam keadaan bersedia.

Pengajaran kepada diri sendiri akan tidak selalu berada dalam keadaan yang lemah dan tetap bersemangat melalui hari nan indah setiap hari.


Sekian


Wednesday 26 January 2022

HADIAH YANG PALING BERMAKNA

 Teks : Sariah Awang Senik

Sumber : Koleksi Peribadi

https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Sebenarnya semua perjalanan ini bukan mudah. Namun sejenis manusia yang degil tidak gemar menyerah kalah terlebih dahulu sebelum berjuang hingga ke titisan yang terakhir. Perjuangan menulis buku solo ini bukan mudah. Namun peluang ini tidak datang selalu dan tetap menerimanya walaupun terlalu banyak ujian yang harus dilalui.

Pelawaan salah seorang teman seperjuangan dalam penulisan yang 'dijodohkan' dalam projek buku Legasi Abah dibawah puan Sri Diah Shaharuddin, rupanya membuka satu lagi lembaran baru juga pengalaman yang paling terindah. Menyedari diri yang terlalu banyak kekurangannya, tetap juga mengharungi semua ujian.

Diuji dengan masa kerja yang tidak menentu, kesihatan dan juga kesibukan diri menguruskan keluarga dan juga anak-anak tersayang. Ketika menaip entri untuk blog ini juga masih lagi diuji dengan masalah kesihatan dan menunggu apakah keputusan doktor kelak. Apa pun keputusan yang diterima kelak, senantiasa yakinkan diri bahawa itulah yang terbaik dari Allah yang maha esa.

Sesekali hati ini terpedaya juga oleh hasutan syaitan. Pelbagai bayangan dan juga perkara negatif yang melintas di fikiran ini. Namun berusaha melenyapkan dan tidak membiarkan bayangan tersebut terus melekat di fikiran ini.

Harungi sahaja semua ujian dengan berbekal buah keimanan kepada Allah dan tidak sesekali membelakangkan yang maha esa. Selagi Allah kurniakan peluang untuk bernafas dibumi bertuah ini, buatlah yang terbaik dan berusaha menjauhkan diri segala perkara yang tidak disukai oleh Allah yang maha esa.

Barangkali kesakitan ini juga satu anugerah dan rezeki. Peluang yang Allah kurniakan sebagai satu ingatan, agar diri kekal istiqamah dan mencari penawar kesakitan dengan lebih banyak mendekatkan diri kepada-Nya.


Walau apa pun yang terjadi senantiasa berdoa agar diri tidak terus lalai dengan segala kenikmatan.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni segala dosa-dosa diri ini.


Sekian


Saturday 15 January 2022

TEGURAN KASIH

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
https://www.facebook.com/sariah.awangsenik


Masa berlalu, sangat pantas. Diam-diam sudah hendak sampai ke penghujung bulan Januari 2022. Di awal tahun ini, terlalu banyak dugaannya.

Diuji dari ujian dengan sedikit teguran kasih sayang. Ujian kesihatan dengan keadaan badan yang kurang sihat. Dihambat rasa kelesuan, walaupun kerja yang dilakukan setiap hari, tidaklah banyak mana.

Setelah selesai urusan berpindah rumah sewa yang baru, balik sekejap ke kampung menziarahi kedua orang tua. Disebabkan masalah banjir dan ramai kawasan termasuk jalan utama dinaiki air banjir, maka pulang ke kampung hanya setakat melihat kedua orang tua tersayang.

Tidak berpeluang, melawat saudara-mara yang lain. Insya-Allah, selepas hari raya Cina kelak bercadang untuk pulang sekali lagi ke kampung.

Balik sahaja dari kampung, Allah uji dengan keadaan kesihatan badan yang sangat merosot. Kedua belah kaki menbengkak dan tidak pasti apakah sebabnya.

Maka terus ke hospital terdekat membuat pemeriksaan dan terpaksa diambil darah sebanyak dua kali untuk mengenal sakitnya yang sebenarnya.

Tenaga pun sangat kurang membuatkan diri terhad untuk melakukan pelbagai aktiviti yang lain. Apa pun cukup bersyukur, walau diuji dengan ujian inj, Allah tidak pernah lupa untuk membahagiakan semua umat.

Hanya kepada-Nya terus berdoa agar tidak mengalami penyakit yang serius dan berbahaya. 

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...