Friday 29 March 2019

BANGKIT DARI UJIAN


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik




Ya Allah, syukur alhamdulillah atas segala rahmatNYA dan juga kasih sayang terhadap semua umatnya hari ini.

Untuk bertahan bukan mudah. Kekal saat dilanda ombak dugaan juga bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan.
Namun disebalik celahan dugaan itu terselit berjuta hikmah yang sukar dijelaskan.

Ini bukan pertama kali diuji.

Sudah berkali-kali juga diuji dengan dugaan yang hebat.
Diduga untuk kali yang ketiga, terasa dunia bagai sudah kiamat.

Dahan untuk berpaut dan berlindung dari segalanya kini bukan lagi tempat yang serasi untuk bertahan lagi.
Tak mampu mempertahankannya, maka serahkan segalanya kepada Allah yang maha esa.

Segala usaha-usaha telah dilakukan sedaya yang termampu.
Namun jodoh hanya setakat itu sahaja.

Pasrah dan redha atas segala ketentuan.
Dan tidak mahu terus tenggelam dalam arus kesedihan.

Biarkanlah segalanya berlalu.
Suka ataupun tak, kehidupan harus diteruskan seperti biasa.
Ada tanggungjawab dan juga perjuangan yang belum selesai.

Ikatan yang sah ini, memang telah terlerai.
Tapi ikatan yang lain hanya maut yang memisahkannya.

Bukan mudah untuk membina kembali  satu impian walau impian seorang bergelar isteri telah hancur berkecai.
Tak mahu kalah dengan dugaan dan tak menyesal atas apa yang terjadi, maka mengambil satu keputusan yang nekad.

Nekad untuk korbankan dahulu kebahagiaan sendiri dan tumpukan sepenuhnya kepada kedua anak-anak tersayang. Bina kembali satu impian yang baru bersama anak-anak dan ikhlas dalam melaksanakan pengorbanan ini.

Mereka, anak-anak telah terjejas teruk dari segi emosi . Bukan mudah juga untuk terangkan segalanya akan kedudukan yang sebenarnya.

Dengan berbekalkan semangat yang baru, akhirnya bangkit dan melupakan semua kisah-kisah sedih itu. Semua yang terjadi adalah sebahagian dari salah satu proces kehidupan.

Dan usah membuang masa untuk jelaskan semuanya kepada orang lain.
Biarkan Allah jalankan tugas sebaik yang mungkin.
Paling penting memaafkan semuanya dan anggap makhluk Allah takkan pernah sempurna.

Satu kesempurnaan asalnya adalah dari satu kekurangan dan bersedia dengan hati yang terbuka untuk menerima segala kekurangan dan juga kelebihan diri masing-masing.

Kini dengan memaafkan semuanya dan mendoakan yang terbaik, hati lebih tenteram dan dapat fokus untuk mencapai satu impian bersama anak-anak tersayang.
Alhamdulilah.


Sekian
Sariah Awang Senik

Monday 25 March 2019

SEMUA PEKERJAAN ADALAH MULIA


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Terima kasih Ya Allah atas segala dugaan ini.
Terima kasih kau hadirkan insan-insan untuk terus mendidik hati ini untuk terus bersabar dalam apa jua keadaan.

Untuk terus kuat dan bersabar, selalu ingatkan diri bahawa ada lagi insan yang lebih susah dan menderita.
Hanya itu sahaja motivasi paling terbaik.

Setiap hari berdepan dengan ragam manusia, buatkan diri selalu terfikir dan muhasabah diri.
Sikap manusia zaman ini amat menakutkan.
Adakala rasa ngeri.

Bagaimana dek desakan keadaan, manusia hilang kewarasan.
Mereka hanya mahukan keinginan sendiri didahulukan. Tanpa mengira susah payah insan yang lain.

Suka memandang mudah pekerjaan orang lain.
Tahu, sebut sahaja kerja cuci tandas, pembantu kedai, jurujual semuanya nampak mudah semudah perkataannya.

Tapi sedarkah atau pernah tak terbayang, kalau kita berada dalam kasut yang sama?

Mungkin kerja yang dilakukan tak sebaik dari apa yang kita lihat setiap hari.
Entah-entah lagi kelam kabut.

Harap jangan salah faham.
Tak terniat juga dalam hati mengatakan kerja sebagai doktor, peguam dan seumpamanya senang.
Semuanya ada cabaran tersendiri.

Maka walau apa pun pekerjaan kita, hormatilah jua pekerjaan insan yang lain.
Sesekali janganlah terus menghukum jika layanan yang diberikan agar kurang sedikit.

Begitulah golongan semacam itu termasuk diri ini sendiri.


Sekian
Sariah Awang Senik

AKTIVITI CUTI SEKOLAH


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Cuti sekolah ini, Kak Long biasanya akan bekerja sahaja macam biasa.
Mana si anak dara Kak Long pulak banyak habiskan masa dirumah.

Masa inilah nak latih anak dara seorang tu, kerja-kerja rumahtangga.
Jangan nak asyik dia main hphone dan bergurau dengan kucing jer.

Kadang kucing kat rumah tu naik menyampah dengan anak dara Kak Long tu. Asyik sibuk nak ' make over' kucing jer!

Kalau tak anak dara sibuk lancarkan opearsi pembersihan cari kutu, dicucinya pulak mata,hidung dan telinga.

Penah sekali Kak Long,cakap, macam ini adik jadi doktor veterinar kucing jelah.
Asyik mengentel kucing jer.

Dah penat ngadap kucing, sibuklah dia baca segala koleksi buku novelnya tu.
Ada cerita seram, kisah orang putus asa dan sebagainya.

Sekarang paling tak sabar, anak dara nak tunggu pameran buku PBKL 2019.😊😊
Siap dah plan nak beli buku apa.
Bersabarlah wahai dikk.
Insyaallah adalah rezeki nanti.
Aamiin Mu Ya Mujib


Sekian
Sariah Awang Senik

NOSTALGIA MASA KECIL



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

Amboi, lenanya tidur pepagi Ahad ini ya?
Anak-anak pun sama.
Topup tidur, mentang-mentanglah duduk asrama.

Musim cuti sekolah ini, teringat Kak Long masa kecil-kecil.
Dalam keluarga Kak Long, hanya ada sepupu-sepupu lelaki yang hampir sebaya. Tapi kebanyakannya tualah dari Kak Long.

Bila tiba sahaja waktu cuti, sepupu Kak Long yang duduk di Kl tu pun baliklah ke kampung.
Masa itu meriahnya macam nak berhari raya. Arwah emak pun masih ada ketika itu. Kak Long pulak duduk dirumah quarters hospital.

Korang faham-faham jelah rumah quarters,hospital macam mana kan?
Ke korang semua duduk banglow mewah?
Opps! Janganlah marah, Kak Long gurau jer.
Faham-faham jelah rumah quarters tu.
Bilik hanya satu. Dan ada satu bilik air dan juga tandas yang kecil sahaja.

Sepupu Kak Long pulak semuanya lelaki. Mana ada yang sebaya.
Faham jelah kalau lelaki. Kau perempuan takkan nak duduk rumah je, kalau diaorang semua keluar bermain, sah-sahlah mesti nak ikut.

Mana best.
Sepupu dahlah jarang berjumpa. Dah tu nak terperuk dalam rumah je.
Memang taklah, kan?

Dari bangun pagi, makan tengahari, mengaji dan juga minum petang semuanya berebut-rebut.
Kiranya apa sahaja yang arwah emak masak walaupun, rasa seronok sangat.

Itu belum cerita bab bermain lagi.

Ada seorang sepupu Kak Long agak muda sikit, yang perangainya pantang jumpa pokok.
Disebabkan sepupu ini, pada waktu itu hanya duduk di flat, makan nak jumpa pokok itu memanglah agak terhad.

Bila sepupu itu jumpa pokok, terus dipanjatnya.
Kebetulan ada pokok jambu , pokok belimbing dan juga pokok rambutan.
Bayangkanlah macam mana rupanya kalau orang jarang jumpa pokok ini.
Sebijik macam monyet yang berkeliaran di belakang rumah Kak Long tau.

Dari panjat pokok, bermain perang-perang, tarik upih penang dan juga main sorok-sorok.
Happeningnya masa tu, tuhan sahaja yang tahu.

Tu belum lagi mandi sungai dan sebagainya.
Lagi best gila!!
Paling Kak Long tak lupa, bila masa panjat je pokok kena gigit dengan kerengga.
Bila lewat je masuk rumah, alamat kena rotanlah Kak Long dan semua sepupu Kak Long itu.

Ambik kau main sampai tak ingat dunia. Yang selalu marah pada masa ialah arwah pak saudara Kak Long, atau Kak Long panggil Pak Ngah.

Rasanya kalau time rotan, mahunya boleh jadi kes dera.

Itulah nostalgia masa Kak Long kecik-kecik dulu.
Kenangan pahit dan juga manis yang sangat berharga lagi mahal dari emas permata.

Zaman sekarang nak-nak zaman digital ini, mana dah semua permainan cam tu. Rata-rata anak-anak sibuk dengan benda alah gajet tu yang tak habis-habis. Setiap kali Kak Long cerita dengan anak-anak, confirm diaorang tanya balik, lah ibu main perang-perang!

Yalah, dah berkawan dengan semua sepupu lelaki.
Nak buat macam mana!

Kini semua sepupu dah nikah dan ada anak-anak masing-masing.
Ikutkan lama jugak tak jumpa diaorang semua. Raya yang lepas pun susah nak jumpa.
Harapan moga semua sepupu-sepupu Kak Long tu sihat walafiatlah ya.

Apa nostalgia zaman kanak-kanak sahabat semua ya??
Ada tak sama permainan dengan apa yang Kak Long dan sepupu Kak Long main?

Kalau ada memang klasik gilalah!


Sekian
Sariah Awang Senik

Saturday 23 March 2019

PARLIMEN #SrikandiInspirasi


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Alhamdulilah.
Hari Sabtu dan permulaan hari pertama cuti sekolah.
Alkisahnya plan nak cuti, tapi last minute tak jadi.

Tak de rezekilah nampaknya.
Bertabahlah ya.
Mana tahu ada rezeki yang lebih terbaik ke?
Ni dah asyik gatal-gatal tapak tangan je ni? Nak close salelah tu kut.

Setiap hari ada sahaja topik-topik hebat yang dibincangkan dalam group #SrikandiInspirasi. Kira macam bersidang di Parlimenlah jugak.
Masing-masing tak pernah kering dengan idea. Ada je idea untuk topik penulisan.

Bijak-bijak belaka diaorang semua ini. Kira bolehlah tarbiah diri yang tak berapa nak bijak ini. Antara topik yang dibangkitkan adalah tentang apabila dah bernikah, rezeki makin bertambah.

Ada benar jugaklah itu. Biasa orang-orang baru bernikah kan?
Murah je rezekinya. Tapi kalau sebaliknya janganlah panik ya. Sebabnya rezeki, maut, jodoh dan sebagainya bukanlah tugas kita nak tentukan.

Hanya berusaha, bertawakal dan berdoa yang terbaik.
Masa mula lainlah. Sebab hidup seorang. Bila dah nikah kena pepandai bawak diri.

Tak gitu?

Selain topik itu, ada juga topik yang dicadangkan.
Tentang bagaimana kita nak kenal sikap seseorang yang dah bersungguh serta yakin, memaafkan walau pernah hati kita satu masa dulu.

Apa pun kalau berdasarkan pengalaman sendiri, ada baiknya memaafkan sahaja. Dan bila dah lepaskan segala yang terbuku, barulah rasa lebih yakin untuk menyahut apa jua cabaran yang mendatang.
Insyaallah.


Sekian
Sariah Awang Senik

Friday 22 March 2019

STATUS

 Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Alhamdulilah. Rahmat Allah mengatasi segalanya. Agak sedih dengan kejadian yang telah berlaku di negara New Zealand. Saat jemaah sedang sibuk menunaikan solat Jumaat, mereka ditembak tanpa belas kasihan begitu sahaja.

Anggara tindakan seorang pengganas yang terlalu taksub dengan ideologinya.
Mengikut satu sumber yang lain, serangan itu telah dirancang hampir bertahun lamanya. Jelas si pengganas bukanlah penduduk asal New Zealand.

Hampir 50 orang terkorban dalam kejadian tersebut. Dan ada seramai 40 lebih yang lain masih di rawat disebuah hospital.

Dengan kejadian tersebut, secara automatik Islam makin dikenali di masayarakat dunia. Bagaimana Islam itu bukanlah satu agama yang mengalakkan satu keganasan. Yang terkorban agak ramai. Namun ukhwah yang terjalin selepas daripada tragedi Jumaat itu sungguh menakjubkan.

Rata-rata rakyat tempatan semakin ingin tahu lebih lagi tentang agama suci Allah yang maha esa. Lebih terharu, keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang, mengambil keputusan memaafkan sahaja si pengganas. Mungkin ada benarnya. Siapa tahu pengganas seorang yang kurang kasih sayang dan hidup dalam keadaan yang mendesak ataupun mungkin juga ketakutan.

Semua faktor-faktor itu menyumbang kepada satu tindakan yang diluar batasan manusia sejagat. Berdoalah semoga Allah tunjukkan hidayah untuknya dan kembali ke pangkal jalan.

Rata-rata status yang terkorban disisi Allah telah diketahui nasibnya.
Bagaimanakah nanti status kita di samping Allah yang esa?

Sukar untuk kita jelaskan semuanya. Yang tahu hanya Allah dan sesungguhnya hanya tuhan sahaja yang dapat membaca segala isi hati kita.

Jujurnya status kita antara sesama manusia usahlah terlalu dirisaukan. Ambil sahaja yang positif dan yang negatif abaikan begitu sahaja. Patut kita lebih ambil berat akan status disamping dengan Allah.

Bagaimana ibadah dan juga hal-hal yang lain untuk menjadi hamba yang disukai oleh Allah yang maha esa. Perbaiki kelemahan diri dan sibukkan diri dengan amal kebajikan. Bukan memikirkan hal lain yang tak pernah ada kesudahannya.

Itulah sebaik-baik status seorang yang bergelar hamba Allah. Berdoalah agar senantiasa dapat memberi manfaat kepada insan-insan yang lain.
Insyaallah.

Sekian
Sariah Awang Senik

ROMOE DAN JULIET


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Hai!! Ikin? Lama tak nampak? Susah dah nak jumpa Ikin sejak Ikin tak kerja kat Delifresh ini! Sapa akak membawang.

Amboi, akak! Macam saya pergi jauh sangat. Saya ada je keje kat kedai makcik saya ini! Bukan jauh pun. Nun jauh di Agro Bazaar je. Adik manis menjawab

Sesambil bersembang tu, sempat lagi kami berdua bersalam, macamlah 10 tahun tak jumpa.😅😅

Puihh!! Akak, mengancam betul magik kat tangan akak ini! Salam sikit jer tangan dah tergoda aroma yang akak pakai itu!! Tegur adik manis.

Sambil tersengih akak membawang menjawab.
Lah, ya ke? Akak pakai biasa-biasa je. Bukan banyak mana pun. Sikit je. Tu pun kat tempat yang ‘ Hot Spot’ ( Dalam hati macam kucinglah pulak, ada port ‘ Hot Spot’. Akak membawang bermonolog didalam hati.

Akak pakai apa hari ini? Bau rasa tergoda dan terancam! Soal adik manis lagi.

Disebabkan akak ni dah agak otai, jadi feeling nak muda sikitlah, walau sedar diri tak berapa nak muda!
Hari ini akak pakai Juliet. Dengan harapan berserilah lagi macam Juliet walau tak tahu sangatlah muka si Juliet tu acaner!! Surelah Juliet tu jelita anggun. Sebab kalau tak, tak akanlah si Romoe tu anggau semacam kat si Juliet.
Penuh mukadimah akak bawang menjelaskan.

Tapi jangan Ikin tanya mana si Romeonya kat akak, dahlah ya!!
Takat perfumenya adalah.
Si Romeo dan Si Juliet hanya dari Dexandra Eau De Parfum.

Okeylah, macam itu saya nak Romeo dan juga Julietnya. Mana tahu dapat jodoh hensem cam Romeo!! Doakan saya ya akak!! Bersemangat adik manis menjawab.

Alkisah petang Jumaat semalam. Sesambil membawang, sempat lagi nak close sale.

Mesti korang nak tahu bau Romeo dan Juliet tu macam mana kan?

Kalau nak tahu, kenalah miliki keduanya dari Dexandra Eau De Parfum. Sebotol hanya RM 70. Beli 2 botol baru RM 130. Jimat RM 10.
Dapat free gift dan peluang menang lucky draw lagi.

Wasap tau jangan lupa!!!


Sekian
Sariah Awang Senik

Thursday 21 March 2019

LEBIH BAIK JANDA DARI TERSEKSA


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

LEBIH BAIK JANDA DARI TERSEKSA

Yang bernama wanita dan perempuan, khususnya isteri pasti risau kan kalau bergelar JANDA?

Tiada wanita pun yang berangan-angan nak status itu. Lagi-lagilah walau seorang isteri. Sah-sahlah kalau bernikah dulu, nakkan sebuah rumahtangga yang aman bahagia hingga ke jannah.

Tapi ingat, kita ini hanya merancang, tapi tuhan yang tentukan.
Allah takkan duga hambanya tanpa Allah tahu kemampuan hambanya tersebut.

Kepada para isteri jangan takut atau risau kepada seorang perempuan lain yang bergelar janda. Tak semua janda nakkan suami orang. Dan seorang janda juga berhak untuk hidup bahagia macam hamba Allah yang lain atas bumi bertuah ini. Seorang janda juga punyai tanggungjawab yang maha besar kerana mereka memikul tanggungjawab seorang ibu dan ayah sekaligus.

Bukan senang ya menggalas tanggungjawab itu.
Ada masa seorang janda juga berkorban kebahagiaan sendiri demi anak-anak yang tersayang.
Bila seorang janda sudah nekad berkorban demi anak-anak, jujur apa sahaja cabaran mereka harungi semuanya dan telan segala kepahitan.

Mengimbas pengalaman berumahtangga dulu, ada masa terkilan juga. Yalah, sudah berusaha yang terbaik menyelamatkan mahligai sendiri, tapi takdir Allah mengatasi segalanya.

Sepanjang perkahwinan terpaksa memendam pelbagai rasa. Setiap kali kalau bersuara agak lantang, bimbang pipi ini menjadi mangsa amarahnya. Tak putus juga berdoa kepada Allah agar dia berubah dan kembali ke pangkal jalan. Pernah jua berbincang dari hati ke hati, tapi akhirnya dia tetap menyalahkan diri ini atas semuanya.

Berusaha untuk memahami minat atau hobinya. Juga memberinya ruang untuk berkawan dan percaya dia tak akan mencurangi diri ini.
Namun Allah tetap jua menduga diri ini dan juga dirinya. Mungkin juga Allah ingin tahu sejauh mana tingginya kesabaran dan kasih sayang ini.

Bukan itu sahaja, ekoran dari ekonomi rumahtangga yang tak stabil juga menjadi salah satu punca paling utama.
Dia berhenti kerja tanpa berbincang terlebih dahulu akan segala masalah yang bakal dihadapi. Suka membuat keputusan sendiri atas alasan tak mahu diri ini risau dan juga yang suka membebel.

Agaknya mungkin dia tak pernah tertikir.

Bahawa dengan bebelan inilah, berusaha untuk memberitahu dia akan apa yang berlaku dalam rumahtangga ini sebenarnya.
Adakalanya terlintas jua di fikiran, sikapnya yang tak pernah mengambil berat akan diri, mungkin petanda sayangnya sudah semakin pudar.

Selalu rasa itu timbul dihati ini. Terpadam rasa ini jika sibuk dengan tugasan harian dan juga kehidupan.
Terfikir juga jika begini berterusan, lebih baik hidup bersendiri atau janda lagi memberikan keselesaan. Dosa tak bertambah terhadap seorang yang bergelar seorang suami.

Setiap kali awal persekolahan, atau hari perayaan itulah yang paling membimbangkan. Kalau dia berusaha walau bekerja sendiri, pasti dia dapat tangani segala masalah. Bertolak ansur dan bukannya terus menyalahkan diri ini dan menghukum.

Apabila sudah tahap yang paling kritikal, maka akhirnya dia melepaskan diri ini. Alasannya diri ini dah tak pandai melayan dirinya dan terlalu sibuk dengan kerja. Sebenarnya asalnya dulu bekerja adalah tujuan utama untuk meringankan bebannya sebagai seorang suami. Tapi lain pula pemahaman dirinya.

Paling sedih dalam kekusutan itu sempat jua dia menjalin hubungan sulit. Setiap kali bertanya, alamat bergegar rumah dan tercetuslah pertengkaran. Gementarnya tiap kali pertengkaran, tangannya yang besar itu selalu sahaja diacahkan ke pipi ini.

Sedih tak terkata.
Bagaimana seorang insan yang paling disayang, sanggup lakukan hal yang sedemikian.
Lupakah dia atas segala pengorbanan ini?

Akhirnya dia melafazkan jua talak itu.
Waktu itu wajahnya penuh dengan kebencian. Tiada langsung serinya.
Langsung tak rasa kesal atau kasihan kepada anak-anak yang masih kecil.

Si abang baru melangkah ke sekolah menengah. Adik baru sahaja nak ke sekolah rendah. Permulaan memang semuanya perit. Tiada yang memahami. Ipar duai menjauhkan diri. Tak kurang menyalahkan diri ini.

Mujur kawan-kawan dan adik beradik memahami. Memberi kata-kata semangat agar bangkit membina kembali kehidupan demi kedua anakanda tercinta.

Ya, impian seorang yang bergelar isteri dah hancur. Tapi masih ada peluang yang lain untuk menyusun kembali sebuah impian yang baru.

Jika rasa disakiti, rasa terabai, bersusah payah memendam perasaan, baik sahaja hidup sendiri sebagai seorang janda dari terus rasa terseksa.Biar masyarakat mengata kerana mereka semua tak tahu situasi dan keperitan yang sebenarnya.

Selama hampir bertahun, alhamdulillah segalanya telah berlalu.
Bersama anak-anak, melakar impian untuk bahagia dalam acuan yang tersendiri. Tak perlu mendesak diri untuk bernikah lagi jika belum bersedia.
Fokus sahaja pada anak-anak dan juga segala cita dan juga cinta terhadap keluarga.

Masih ingat pesanan seorang sahabat yang mengingatkan diri untuk memaafkan sahaja dirinya.
Dendam dan rasa kecewa lepaskan sahaja. Tiada guna menyimpan dendam. Serahkan semuanya kepada Allah dan biarlah Allah yang jalankan tugasnya.

Kini, segalanya beransur berubah.
Setelah anak-anak menyambung pengajian, dia kembali dekat kepada anak-anak. Kuasa Allah tiada siapa tahu.
Tetap terus berfikiran positif dan tak jua menghasut anak-anak untuk membenci abah mereka.

Hanya doa dan terus berdoa agar semuanya baik-baik sahaja.
Sehingga kini masih lagi bergelar seorang janda dan tak rasa malu mengakui akan status itu.

Buat apa malu kalau status yang ada bagaikan satu rahmat untuk memperbaiki kelemahan diri, kembali kepada Allah dan mencapai segala cita-cita. Bukan menolak jodoh, cuma masa yang ada sekarang terlalu penuh dengan komitmen yang ada.

Insyaallah.
Tak akan pernah rasa kesal dan alhamdulillah makin tenang dan fokus kepada cinta hati tersayang kini dan selamanya.


Sekian
Sariah Awang Senik

SANTUNI ORANG-ORANG TUA


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Alhamdulilah.
Syukur dah pun sampai hari Jumaat.
Syukur juga masih bernafas pada pagi ini. Patutnya posting ini ditulis semalam. Asbab sibuk yang tak pernah habis, maka ditulislah pada pagi Jumaat ini dan semoga mendapat barakah menulis pepagi Jumaat ini.

Biasanya kalau Kak Long tengah sibuk kerja ini, sesekali sempat juga memerhati setiap ragam pelanggan yang singgah dikedai ini.

Ada yang muda, kanak-kanak ribena dan juga orang tua. Paling tersentuh hati kalau ada yang masih gagah berjalan walaupun usia pak cik atau mak cik dah berumur 70 tahun keatas.

Jarang yang berumur dalam lingkungan umur begitu yang masih sihat dan aktif kesana dan ke mari. Cuma hati agak berkenaan dengan pasangan suami dan isteri yang memasing dah berumur 70 tahun ke atas.

Lihat wajah mereka sejuk hati dan damai yang terkata.
Walau ditemani anak dan cucu tapi pasangan ini tetap bersama ke mana sahaja. Menyapa mereka berdua dan berborak seketika membuatkan hati tambah tertarik untuk bertanya apakah rahsia mereka berdua tetap hidup bersama sehingga kini.

Dalam hati ini teringat pula pada abah dikampung. Rasanya jika arwah emak masih hidup, pasti arwah emak dan abah pun jadi seperti pasangan loving couple pak cik dan mak cik ini.

Kata mak cik ini, nak hidup bahagia suami dan isteri, paling penting, bertolak-ansur, memaafkan dan berkerjasama dalam menguruskan rumahtangga.

Tambah pak cik ini lagi jangan biarkan isteri seorang yang uruskan rumahtangga. Ada baiknya, lakukan semuanya bersama.

Dalam hati, amboi, sweetnyalah pak cik dan mak cik ini. Jujurnya sejak dahulu kalau lihat sahaja orang-orang tua, tak kira lelaki atau perempuan juga tak kira bangsa dan agama hati mesti nak rasa menegur mereka.
Bukanlah sebab nak tunjuk baik, tapi mungkin dengan cara menegur mereka semua dapat hilangkan rasa rindu pada arwah emak dan juga arwah emak mertua.( Al-Fatihah untuk mereka berdua)

Dalam hidup ini walau tinggal bersendirian membesar dan mendidik anak-anak, memori tentang mereka berdualah yang segar dalam lipatan hidup ini.
Kepada anak-anak selalu bercerita kisah arwah nenek dan juga arwah Wan mereka.

Kalau keduanya masih hidup, pasti tak akan dibiarkan Kak Long harungi semuanya bersendirian. Apa pun takdir Allah mengatasi segalanya. Yang telah berlaku, itulah yang terbaik dan ada hikmah disebaliknya.

Usah rasa menyesal. Nanti menjemput pula murka Allah terhadap kehidupan ini.

Yang pasti, dan tak lama lagi, Kak Long bakal jua melalui keadaan yang sama. Tua, berkedut, beruban dan sebagainya. Kulit wajah dah tak setegang dahulu. Semuanya akan berubah dan harapanya segala aktiviti dan semangat yang ada ini tak berubah.

Semoga semangat terus berkobar-kobar walau dah nak melangkah ke penghujung usia. Melihat pak cik dan mak cik tadi, mereka nikmati setiap detik yang ada walau usia dah meningkat.

Masih lagi minum ais, makan apa adanya dan senantiasa tersenyum. Kalau Kak Long ada masa berangin susah juga nak tersenyum.
Bahagianya lihat pak cik dan mak cik tadi.

Kelak Kak Long dah seusia mereka semoga layanan yang Kak Long dapat juga sama seperti mereka. Allah kan dah kata kalau buat baik, nanti baiklah juga. Bila buat jahat, alamat tak selamat dunia dan akhirat.

Semoga pasangan pak cik dan mak cik terus bahagia hingga ke jannah. Maaf tak sempat nak ambil gambar mereka berdua semalam.

Sekian
Sariah Awang Senik

Wednesday 20 March 2019

BAIK BURUK GAJET KEPADA ANAK-ANAK


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Entah bilalah nak hujan ya!
Panasnya hanya Allah yang tahu.
Asyik nak minum ais batu je, alamat nanti demam dan batu pulak.
Jadi sementara masih tak de apa-apa sakit ini, tak reti-reti nak rasa bersyukur dan berdoa?

Ya, Allah kau lindungilah diri, anak-anak, adik-beradik, saudara-mara, rakan-taulan dari segala penyakit yang merbahaya.
Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulilah. Masih juga lagi sempat nak menulis walau sedar tak ramai yang nak baca.
Tak pe. Tulis sahaja.
Pasakkan niat dihati kau yang cantik-cantik itu elok-elok.

Orang tak nampak tak pe!

Biar Allah sahja yang tahu segala niat kita itu kan.
Nak puaskan hati semua pihak, alamat berubanlah rambut kau yang hitam itu.

Nak tanya, semua dah makan ke?
Kak Long dan anak dara dah selamat bersantap tadi.
Makan dikedai saja.
Bila rasa letih dah merasuk hampir seluruh jiwa dan raga kau, macam tulah jadinya.

Hari itu ada satu topik menarik dari group penulisan #SrikandiInspirasi.
Topik tentang gajet dan baik buruknya kepada anak-anak kita.
Dan sebagai ibubapa, semua ini kena ambil berat.

Pengaruh gajet kepada anak-anak sangat besar impak dia.
Kalau ibubapa, bijak atau cerdik mengawalnya, insyaallah semuanya bebaik sahaja.

Kalau ibubapa tak cerdik, alamatnya banyaklah perkara yang buruk berlaku.
Antaranya:

1) Hubungan ibubapa dan anak anak makin renggang. Baik dari segi fizikal dan juga mental.
2) Tidak dapat mengasah skil dan pembesaran anak-anak. Sekaligus menyebabkan pembesaran anak-anak terbantut.
3) Terdedah kepada gejala-gejala sosial seperti menonton video porno, bermain game yang berkaitan dengan judi.
4) Berkemungkinan berkenalan dengan orang-orang yang tidak dikenali atau lebih parah lagi kepada penjenayah.
5) Tidak fokus dalam pelajaran dan apa sahaja bidang yang lain seperti sukan dan sebagainya.
6) Menyebabkan anak-anak menjadi murung atau marah apabila tidak dapat bermain dengan alat-alat gajet.
7) Menyebabkan anak-anak atau remaja menjadi tak aktif.

Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang negatif.
Maka usahalah wahai ibubapa agar sedikan aktiviti yang lebih sihat dan juga merangsang minda dan juga perkembangan anak-anak.

Kalau dari segi baiknya pulak dengan adanya gajet ini, maka senanglah anak-anak untuk mencari maklumat.
Yalah, tekan saya keywords di google, dah tersedia macam-macam maklumat dihujung jari.

Apa pun, sebagai ibu, bukanlah tiada masalah gajet ini dengan anak-anak. Cuma kalau anak-anak dah terlalu asyik, siaplah mulut Kak Long ini membebel sambil menasihati kedua anak-anak tersayang.

Yang paling penting, pandai bahagikan masa dan tidak hanya kemaruk dengan gajet-gajet yang ada. Nak bermain gajet pun, ada masanya yang tertentu dan jangan sampai segala yang sepatutnya dibuat terabai.

Itu yang paling penting dan muktamad!

Ini pun masa tengah taip posting ini, anak dara dok khayal dengan hphonenya.
Jika masih asyik lagi, siaplah bunyi trompet sekejap lagi.


Sekian
Sariah Awang Senik

PENTINGNYA MASA ' ME TIME'


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

Kalau dilayan segala rasa stress yang ada ini, mahunya dah lama masuk rumah sakit jiwa.
Yalah, bukan senang tau nak bertahan dengan stress yang ada.

Dengan bekerja lagi, nak hadap pelanggan yang kekadang manja-manja macam kucing dan ada pulak yang macam tsunami.

Tak de angin ribut, tetiba sahaja nak marah tak tentu pasal kepada diri kita ini.
Ada masalah dirumah, kita pulak yang jadi bahan amarahnya.

Nak membalas segala amarah yang bagai lahar gunung berapi, memang taklah kan?

Tak untung mana pun.
Dikumpul rasa marah pun, bukan jadi duit ringgit . Jadi dosa adalah!!
Jika boleh ditukar jadi duit ringgit dah lama topup semua perasaan marah tu. Entah-entah dah makin kaya Mak Jemah sorang ini, kan?

Kenyataannya hidup ini memanglah wajib ada rasa stress.
Tanpa rasa stress, tak berserilah kehidupan seseorang.
Kira macam makan atau minumlah.
Salah satu tak de, mahunya jatuh sakit.
Nak-nak dimusim panas ya amat ini.

Kena marah, kena makin dan apa saja dugaan yang mendatang, pujuk dan rayulah hati sendiri agar terus bersabar.
Katakan pada diri setiap dugaan itu ada hikmahnya. Bila fikir macam itu, taklah rasa macam ada batu hempap atas kepala kita itu.

Biar dilanda stress atau apa sahaja dugaan, ada sahaja jalan untuk kita redakan stress yang ada.
Ada waktu ' Me Time' nya yang tersendiri.
Yanglah biarkan rasa stress itu duduk bersarang lama dalam tubuh badan kita itu.

Macam diri sendirilah, bila rasa stress selalu suka duduk di dalam rumah dan lakukan segala kerja rumah yang ada.
Selain dari berbalik kepada Allah yang maha esa, suka habiskan masa melayan segala anak-anak bulus.

Tengok gelagat si bulus yang kelakar dan comel itu, hilang segala stress yang ada.
Kucing pulak seakan-akan memahami apa yang tuannya bebelkan.

Yalah, nak balas balik apa yang tuannya cakapkan mahunya terkejut beruk pulak, tuannya nanti.
Selain dari melayan kucing-kucing kesayangan, menulis dan membaca juga dapat lenyapkan segala stress.

Apa pun ikutlah minat masing-masing.Kalau minatnya memasak lagi untung.
Tak makan sendiri, boleh tambah pahala dengan mengajak kawan-kawan ataupun saudara-mara merasa masakan kita.

Kenyataannya walau stress tahap gaban mana pun, jangan dipendam rasa stress macam buah jeruk.
Sebabnya kalau buah jeruk, makin lama diperam lagi sedap.

Stress pulak lelama jadi penyakit.
Sesilap hari bulan mendapatlah sakit tiga beradik yang popular itu.
Tak gitu?

Nota: Alhamdulillah. Merecik peluh mak Jemah nak taip posting ini. Banyak sangat dugaannya.
Syukurlah.

Sekian
Sariah Awang Senik

Monday 18 March 2019

BERKONGSI ILMU STORY TELLING

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

Kalau ilmu yang free kos marketing pun kau tak boleh nak serap, inikan lagilah yang berbayar!!
Dah banyak kali belajar tentang Story Telling ini.
Tapi tak pernah ambik serius!

Kali ini suka atau tak kau kena hadam dan buat terus!!

Alhamdulillah.
Sekalung ucapan terima kasih untuk Puan Anys Idayu Zakaria aka Cikgu Blog, Cikgu Ebook yang sudi berkongsi ilmu di group sebelah #SrikandiInspirasi.

Bukan sahaja gitu-gitu menulis je.
Tapi sesambil tulis itu bolehlah pratis buat Story Telling.
Adoii, rasa tak boleh nak lelap lagi asbab dah dapat sikit input ataupun ulangkaji balik pasal Story Telling .

Apa pun sebelum nak tidur dan rehat ini, mohon doa juga dari kalian yang baca status ini agar Kak Long istiqamah dalam menulis posting dalam bentuk Story Telling ya.

Opps !!!
Sebelum terlupa Cikgu Anys Idayu Zakaria juga adalah cikgu penulisan Kak Long tau.
Jadi sebenarnya dah lama juga kenal dengan Cikgu Anys Idayu Zakaria ini walau hanya secara online sahaja.

Apa pun segala ilmu yang diajar itu sangat bermanfaat dan semoga dengan ilmu yang serba sedikit itu dapat memantapkan penulisan secara storu telling ini.


Sekian
Sariah Awang Senik



Sunday 17 March 2019

KEISTIMEWAAN ANAK LELAKI DAN ANAK PEREMPUAN



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Ya Allah itu maha kaya.
Diambilnya Siti Nurbalqis Ahmad Roslan dan dikurniakan dengan dua cahaya istimewa Muhamad Aiman Hakimi dan Nur Damia Rifqah.

Sesungguhnya mereka berdualah hadiah terindah dari Allah yang maha esa. Sumber inspirasi dan juga tunggak kekuatan paling utama.

Kini kakaknya Siti Nurbalqis Ahmad Roslan sedang setia menunggu disana nanti.

Alhamdulillah.
Si abang Muhamad Aiman Hakimi, paling mesra dipanggil abang dan Aiman dikalangan rakan-rakan baiknya.
Perbezaan antara abang dan adik sangat ketara.
Abang seorang yang agak pendiam, kreatif dan juga sangat berbakat dalam bidang sukan. Olahraga dan ping pong adalah acara sukan yang paling abang gemari.

Seorang yang agak kemas dan jimat.
Maka tak hairanlah kalau seluar dalam pun akan abang gosok supaya lebih rasa selesa.
Entahlah tak pasti pulak tahap keselesaan dimana.
Itulah yang si adiknya cakap kalau bercerita tentang abangnya.
Abang kini bakal berumur 20 tahun dan jarak antara adik dan abang agak jauh juga.

Masih ingat waktu adiknya baru lahir, abang paling takut kalau orang datang dan ambil ambil adiknya.
Apa pun biarpun nampak pendiam, abang seorang yang agak tegas.
Sesekali kalau marah adiknya, mahu mengalir juga air mata si adik.
Dalam segala segi si abang agak sukar meluahkan rasa sayangnya. Tapi selalu memastikan keperluan adiknya dahulu melebihi dirinya sendiri.

===================================================================

Nur Damia Rifqah

Si anak dara seorang ini lahirnya agak lain dari si abang dan juga arwah kakaknya.
Lahir tepat pada pukul 12 tengahari. Masih ingat sebaik sahaja selesai bersalin terus memulas perut ini kelaparan.
Yalah, bersalin tepat pada waktu tengahari.
Mestilah rasa lapar.

Seorang yang agak lasak, berani dan pantang dicabar. Lantang sahaja bersuara kalau tak kena gayanya.
Sejak kecil dari segi pelajaran memang dia agak cepat berbanding abangnya. Dan dialah satu-satunya anak yang menyusu badan sepenuhnya.

Jarang kena penyakit dan kalau dah kena demam, maka agak lamalah sikit. Mata pelajaran kegemarannya adalah Matematik dan juga Sains.

Kini anak dara sedang menyambung pelajaran di sebuah sekolah asrama menengah agama di salah satu daerah di Perak.
Biarpun antara abang dan juga adik agak jauh berbeza, namun hakikatnya merekalah yang memberi semangat untuk mengharungi apa jua cabarannya.

Dan yang seronoknya kami berkongsi minat yang sama iaitu membaca dan juga berkawan dengan si bulus-bulus kesayangan.
Maka kalau timbul sahaja salah faham antara kami, hobi itulah yang menyatukan kembali hati kami 3 beranak.

Buat Muhamad Aiman Hakimi dan Nur Damia Rifqah, semoga kalian berdua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah juga berjaya dunia dan akhirat.
Aamiin


Sekian
Sariah Awang Senik

Saturday 16 March 2019

NILAI SEBUAH KEAMANAN


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Tiada yang lebih bernilai dari sebuah keamanan dan juga kesejahteraan yang kita nikmati selama ini.

Maka peliharalah dan hargailah keamanan ini sebaiknya dan jangan dicemari oleh hasad dengki dan elakkan melakukan perkara-perkara yang Allah tidak suka.

Cubalah berusaha mengambil pengajaran atas apa yang berlaku di Palu, Indonesia, kejadian ribut petir yang berlaku, cuaca panas membara, kejadian pencemaran gas beracun di Pasir Gudang Johor dan yang terbaru serangan pengganas yang menembak mati jemaah yang sedang bersolat Jumaat di New Zealand.

Sesungguhnya segala rasa ketidakpuasan hati ada jalan penyelesaiannya.
Jangan membahayakan nyawa orang lain dek kerakusan rasa amarah dan juga dendam yang membara.

Walau apa pun yang terjadi negara Malaysia dan rakyatnya tetap senantiasa dihati.
Sayangi negara kita sendiri dan senantiasa berdoa agar negara kita, Malaysia dilindungi dari anasir jahat juga segala musibah.
Al-Fatihah.


Sekian
Sariah Awang Senik

IBU MAAFKAN ADIK


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

" Ibu, adik mintak maaf. Adik dah buat salah sikit.!

Pertama kali mendengar suara anak meminta maaf dalam nada tangis macam itu, hati diburu rasa sayu dan tertanya-tanya.

Pertama, apakah kesalahan serius yang telah dia lakukan?
Adakah patut terus menghukum dirinya atau mendengar dulu segala penjelasan dari mulut nya sendiri?

Pelbagai rasa ada dalam diri seorang yang bernama ibu ini.
Tambah berat kerana selama ini memikul tanggungjawab sebagai ibu dan juga ayah.

Bukan mudah sebenarnya.
Tapi jika orang lain yang berstatus yang sama boleh mendidik anak-anak sehingga berjaya, kenapa tidak diri ini tidak boleh.

Apa pun segalanya ada cabaran yang tersendiri.
Memiliki sepasang cahayamata lelaki dan perempuan kedua berbeza cara pendekatan dalam menegur setiap kesalahan mereka.

Menggunakan kaedah merotan, rasanya tidak lagi boleh diguna pakai.
Mendekati dan menjadikan diri ini sebagai rakan, itulah yang paling terbaik.

Setelah mendengar segala penjelasan dari si anak, barulah sedar, mungkin juga dia melakukan kesalahan tersebut secara tak sengaja.

Memberikan penjelasan mengapa satu kesalahan itu tidak dilakukan lagi daripada terus menghukum, itulah yang paling terbaik.

Dari segi yang lain mengakui akan satu kesalahan juga bukanlah perkara yang mudah.
Dengan cabaran dan pengaruh dari faktor-faktor tertentu, harus diambil kira sebaiknya.

Anak, sama dengan kita ibubapa.
Seorang hamba Allah yang tak akan pernah sempurna.
Dari kesilapan kita belajar dan memperbaiki apa yang patut.

Sebagai ibu dan bapa berusahalah bersama-sama anak-anak untuk memupuk rasa kasih sayang, bertimbang-rasa dan juga memaafkan.

Yang semaikan benih-benih dendam dan juga aura-aura negatif dalam seorang insan yang bernama anak-anak.

Untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia, maka perlu saling bertolak ansur dan berusaha memahami apakah sebenarnya dugaan yang telah anak-anak kita harungi.

Alhamdulillah. Memaafkan dan mendengar secara terbuka luahan membuat si anak lebih terbuka dan berani untuk menghadapi apa jua dugaan dan juga kegagalan.


Sekian
Sariah Awang Senik

LELAKI DAN PEREMPUAN , BFF?


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Sabar jelah panas terik macam ini.
Terasa tekak ini nak minum ais jer.
Tapi tak boleh minum ais, nanti berangin pulak satu badan.

Tadi dalam group #SrikandiInspirasi ada satu topik hangat di TV3 dalam rancangan Wanita Hari Ini.
Topiknya ialah adakah lelaki ataupun perempuan boleh menjadi bff?

Kalau tanya pada diri Kak Long sendiri, secara jujur memang agak janggal.
Sebab setakat ini bff Kak Long hampir semuanya adalah perempuan.

Kalau lelaki pun setakat berkawan biasa itu adalah.
Cuma ada batas-batasnya sahaja.
Yang pastinya bff Kak Long adalah anak bujang dan juga abah.

Banyak kisah hidup Kak Long share dengan anak bujang seorang ini, termasuklah hal peribadi.
Apa pun yang paling utama anak-anaklah bff Kak Long yang terbaik.

Kemana-mana Kak Long usaha pergi kami 3 beranak.
Kalau gaduh pun taklah lama mana.
Sekejap dah sejuk.
Masing-masing dah faham perangai macam mana.

Jika bff lelaki banyak mengundang perkara yang tak elok.
Nak cerita kisah yang sulit-sulit pun tak boleh.
Nanti lagi banyak dapat dosa dari pahala.

Jenuh pulak nak berjawab kat sana nanti.
Tapi taklah bermakna tak boleh berkawan dengan lelaki langsung.
Berkawan je, cuma jaga batasan dan juga adabnya.
Betul kan?

Sekian
Sariah Awang Senik

Thursday 14 March 2019

LIPATAN MISTERI


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Bila tengok anak-anak sekolah baru ambil keputusan SPM, teringat zaman masa sekolah menengah dahulu. Kalau diikutkan saya tergolong dalam kategori anak-anak yang agak nakal dan juga degil.
Banyak kali jugalah keluar masuk bilik kaunseling itu.
Sampaikan abah pun dah tidak tahu nak cakap mana.

Masalah disiplin dan juga masalah mendapat keputusan yang agak lemah di dalam sesuatu pelajaran. Apa pun syukurlah habis sahaja peperiksaan dan mendapat result SPM, keputusan SPM saya lulus dan tidaklah teruk sangat.

Sebenarnya masa sekolah menengah dahulu ada satu kisah misteri yang sehingga kini saya tak pasti siapa dan apakah yang berlaku sebenarnya.
Hatta hamba Allah tersebut pun saya tak pasti bagaimana rupanya.

Kisahnya bermula sewaktu saya baru sahaja melangkah ke tingkatan 1. Kebetulan pula sekolah saya menengah itu adalah salah satu sekolah yang agak terkenal di daerah saya.
Terkenal dengan muridnya, sukan dan pelbagai perkara lagi.

Satu hari saya mendapat sepucuk surat yang diletakkan dibawah meja tulis dalam kelas saya itu. Isi surat itu biasa sahaja. Tidak memperkenalkan nama dan hanya menyatakan niat untuk menjadi sahabat saya sahaja.

Saya tak langsung membalas surat itu, dan terus membuang surat itu ke dalam tong sampah dan langsung tiada masa memikirkannya.
Fikir saya, esok mesti surat itu tiada lagi kerana saya tak membalas surat tersebut.

Apa pun sangkaan saya meleset. Keesokan harinya saya mendapat sepucuk lagi surat dan bertanya khabar serta memberi nasihat agar saya rajin belajar, jangan ponteng kelas dan fokus pada segala cita-cita.

Yang peliknya saya langsung tidak tahu siapa dia, belajar di tingkatan berapa dan juga duduk dimana. Dan yang menghairankan lagi, hamba Allah ini telah tahu alamat penuh rumah dan menghantar suratnya ke rumah saya.

Saya hanya tahu yang dia berasal dari Johor dan tinggal di asrama disekolah saya itu. Sejak itu saya hanya berbalas surat sahaja. Hinggalah dia melanjutkan pelajaran dan saya berpindah, sibuk dengan pelajaran dan terputus hubungan begitu sahaja.
Hamba Allah itu hanya membiasakan dirinya dengan nama pendek sahaja.

Apa pun sampailah sekarang saya masih tidak tahu siapa hamba Allah sebenarnya dan bagaimana dengan kehidupannya sekarang. Mungkin dia telah bernikah, ada anak-anak dan juga keluarga sendiri.

Atau mungkin juga ingatan diri saya telah pun lenyap seiring dengan arus kehidupan yang sangat mencabar ini.
Berdoa didalam hati ini, agar dapat tahu dan mengenali siapa dia yang sebenarnya.


Sekian
Sariah Awang Senik

Wednesday 13 March 2019

DUNIA MAKIN SAKIT


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Group Wasap
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Agak sibuk hari ini.
Tapi bukan bermakna tak tahu apa yang terjadi kepada dunia khususnya rakyat Malaysia.

Kadang terfikir juga, kita ini manusia terlalu mengikut rasa hati.
Bertindak tanpa berfikir panjang dan tak tahu apa akibatnya kepada orang lain.

Lihat sahaja kes gas beracun yang makin kecoh berlaku di Pasir Gudang Johor. Yang terbaru kes pencemaran juga berlaku di Cameron Highlands.

Aduh!
Tak sanggup nak lihat semuanya hancur dek kerakusan manusia mengejar keuntungan dan juga kekayaan.

Belum lagi masalah sosial remaja berumur 13 tahun yang membunuh diri gara-gara gagal bercinta. Remaja tersebut muda setahun sahaja dari anak dara sendiri.

Itu yang baru Kak Long baca hasil perkongsian rakan #SrikandiInspirasi iaitu Wan Saliha Wan Husin.
Bagaimana anak- anak remaja sekarang terlalu taksub dengan pengaruh gajet.

Begitulah hal yang sama berlaku kepada ibubapa sekarang.
Asyik sibuk berbalas wasap sampaikan anak-anak terabai.

Nampak macam mustahil bukan?

Tapi sebagai ibubapa anak-anak zaman sekarang memang sangat cerdik menilai kita ibubapa mereka.

Kadang sepatah yang kita cakap berpuluh patah perkataanlah anak-anak membalas balik.

Membesar dan mendidik anak-anak remaja zaman digital bukanlah satu perkara yang mudah.
Lebih hebat kalau mereka adalah seorang ibu tunggal ataupun bapa tunggal.

Memainkan dua peranan dalam satu masa bukanlah perkara yang mudah.

Apa pun dicelah-celah cabaran dan musibah yang berlaku masih jua terselit nilai-nilai kasih sayang yang masih lagi segar bercambah dalam sebuah rumahtangga.

Bagaimana menjadi sepasang suami atau isteri yang bahagia, silalah baca segala tips  dari Puan Effy Sueffy.

Membaca perkongsian beliau terasa aura bahagia itu bagaikan ada dan terbayang di depan mata.
Indah dan semoga rumahtangga Puan Effy Sueffy bahagia hingga ke jannah.

Kalau nak tahu apa lagi isu-isu menarik yang bakal menjadi bahan penulisan nanti, silalah follow rakan-rakan #SrikandiInspirasi yang menulis berdasarkan apa yang telah mereka lalui.

Jangan lupa follow diaorang semua ya.


Sekian
Sariah Awang Senik

Sunday 10 March 2019

STRESS! APA NAK BUAT?


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

Alhamdulilah.
Syukur Ya Allah atas segala ikatan ukhwah. Sejak bertemu jodoh dengan kawan-kawan penulis ini idea nak menulis itu tak pernah kering. Ada saja nak ditulis walaupun taklah panjang mana.
Asalnya topik ini dipilih untuk posting fb. Tapi boleh juga dijadikan sebagai salah satu entri untuk blog kesayangan iaitu Travelog Kehidupan.

Berkongsi pengalaman bagaimana nak menghadapi stress yang ada.
Berdasarkan pengalaman sendiri dengan harapan menjadi panduan buat semua, jika ianya sesuai.

Penyakit stress ini bukan boleh nampak macam sakit darah tinggi atau kencing manis.
Kadang-kadang kita sendiri pun tak perasan ada gejala-gejala stress ini.

Alih-alih ada je benih-benih stress itu bercambah dan membesar dalam diri kita.
Jika tak dikawal sebaiknya bimbang memakan diri.

Paling teruk orang-orang tersayang boleh rasa impak stress kita itu.

Biasanya bila Kak Long stress, Kak Long suka buat sesuatu kerja.
Macam kemas rumah, layan kucing kesayangan dan sebagainya.

Tapi itu terpulanglah pada hobi memasing.
Jangan hobi membawang sudahlah ya.
Kalau hobi memasak, kita masak dan ajaklah kekawan merasa masakan kita itu.

Setidak-tidak dapatlah pahala walaupun tak banyak.
Selain dari semua aktiviti yang Kak Long biasa buat itu, Kak Long suka tulis semua rasa stress dalam satu buku nota atau diari.

Belasah jelah nak tulis rasa marah, sedih, kecewa dan sebagainya.
Selepas dah tulis barulah rasa lega sangat.
Taklah rasa terbeban macam ada batu hempap kat kepala kita itu.

Apa pun lain orang lainlah caranya.
Cuma jangan dibiarkan rasa stress itu bersarang lama sangat dalam badan dan minda kita itu.

Ingat stress boleh menjadi pembunuh senyap dalam hidup kita tanpa kita sedari.
Jadi berhati-hati dan rawatlah sebelum menjadi parah.
Dan yang paling penting menjadi satu halangan untuk mencapai segala cita-cita yang kita impikan selama ini.


Sekian
Sariah Awang Senik




Saturday 2 March 2019

TEMAN SETIA SELAMANYA

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Bila balik sahaja dari kerja, pasti ada tunggu dihadapan rumah.
Apa lagi si bulus kesayanganlah. Biar macam mana nakal pun bulus-bulus ini tapi tetap sahaja balik ke rumah apabila tepat pada masanya.

Dah jadi rutin dan semua bulus yang ada dirumah itu memang dah Kak Long latih sejak bulus-bulus itu masih kecil lagi.

Ketika abang dan adik tiada  dirumah, si dia inilah yang setia menemani.

Dah hampir 3 tahun jadi sebahagian dari syurga kecil Kak Long ini.
Setia mendengar segala keluh-kesah dan sesekali merenung tajam ke arah Kak Long.

Adakalanya dibalas dengan suara serak-serak  basah yang hanya kaum bulus sahaja yang memahami.

Hanya seekor kucing kampung dan tidaklah segagah kucing siam, parsi atau sewaktu dengannya.

Kak Longlah yang banyak menumpang kasih dengan si bulus kesayangan.
Dan juga menumpang rezeki bersama-sama.

Ada masa terfikir jugak, kalau Kak Long dah tidak duduk di rumah sewa ini nanti macam manalah nasib semua bulus kesayangan ini ya??

Siapalah yang akan memberi bulus makan?
Siapalah yang akan sibuk bercerita dan mengadu begitu-begini lagi???😢😢😢


Sekian
Sariah Awang Senik

Friday 1 March 2019

UJIAN PENYERI KEHIDUPAN


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ

(Abdullah Muhammad Basmeih)
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

-Sura Al-Ankabut, Ayah 3


Alhamdulilah. Cepat sungguh masa berlalu.
Hari ini dah pun hari Jumaat. Jumaat pertama pada bulan Mac yang tersangat indah ini.
Kebetulan pula hari ini saya bercuti. Setiap hari pergi dan balik kerja berjalan kaki bukanlah satu perkara yang mudah. Tiada pilihan melainkan redha atas segala kesukaran dan berusaha laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik yang mungkin.

Berdasarkan ayat yang saya ambil dari Al-Quran dapatlah lebih motivasikan diri sendiri agar tak kalah dalam apa jua cabaran dan ujian yang mendatang.

Kalau difikirkan zaman Nabi Muhammad SAW dahulu ujian-ujian yang Nabi Muhamad serta semua sahabat nabi dalam mengembangkan agama Islam terlalu hebat ujiannya. Malah nabi dan juga semua sahabat-sahabatnya tetap jua bersabar dan tenang dalam menghadapi apa jua cabarannya.

Jika berdasarkan pada ayat-ayat suci diatas nyata Allah tidak akan menduga hambanya kecuali Allah tahu akan kemampuan hambanya untuk melalui setiap ujian yang Allah berikan.

Percayalah setiap ujian dalam kehidupan itu bagaikan satu penyeri dalam sebuah kehidupan. Nabi Muhammad diuji dengan ujian-ujian yang maha hebat. Namun tetap saja nabi berasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang maha esa.

Inikan pulak kita yang langsung tidak mempunyai keperibadian terpuji seperti baginda Nabi Muhammad SAW.


Allah turunkan setiap ujian dan juga cabaran hanya semata untuk menguji sejauh mana tahal keimanan hambanya kepada Allah. 
Adakah benar hambanya beriman kepada Allah dan menyerahkan segalanya kepada Allah yang maha esa.

Semoga kita semua terus bersabar dan berdoa terus kepada Allah setiap kali diuji dengan ujian yang maha hebat dan yakin bahawa ada hikmat disebalik semua ujian tersebut.


Sekian
Sariah Awang Senik

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...