Monday 25 April 2016

TIDURLAH SAYANG

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamualaikum.
Alhamdulilah. Turun juga rahmat Allah ke bumi yang semakin panas petang tadi. Hanya Allah sahaja yang tahu, betapa leganya rasa dihati, kerana masih dapat mengecapi semua nikmat duniawi yang maha sementara ini.

Hari ini kedua anak tersayang tidak ke sekolah. Si anak dara mengadu kepenatan setelah menghadiri satu kursus kepimpinan berhampiran dengan daerah yang berdekatan. Mungkin penat ataupun tidak cukup tidur. Saya pula tidak sampai hati mendengar segala rayuannya yang selalu menduga kesabaran saya sebagai seorang ibu.

Alhamdulilah, semua rutin harian saya berjalan dengan lancar dan jayanya. Walaupun si anak teruna juga tidak ke sekolah kerana tidak berapa sihat, dia tetap menghantar adiknya ke sekolah rendah agama yang berhampiran. Lewat petang dia menjemput adiknya di sekolah dan seterusnya pulang ke rumah.

Begitulah dia begitu komitednya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang abang. Ketika menulis entri ini, kedua anak tersayang sudah pun lena dibuai mimpi yang sangat indah. Melihat mereka berdua membesar, bagaikan masa yang berlalu pergi.

Mengandung, melahirkan mereka berdua ke dunia yang serba indah ini dan membesarkan dan mendidik mereka berdua bersendirian. Namun saya tidak.pernah menyesal dengan apa yang terjadi. Mengeluh dan menyalahkan takdir tidak sama sekali. Saya bersyukur dengan segala yang telah ditetapkan dan akan berusaha sedaya upaya membina kehidupan yang lebih bahagia dunia dan akhirat bersama-sama anak tersayang. Tidurlah anak-anak tersayang. Semoga hari esok akan lebih bermakna dan bersinar menerangi kehidupan yang serba indah ini.

Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik


Friday 15 April 2016

RAHMAT MENYEMBAH BUMI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang maha esa. Segala doa-doaku selama ini termakbul jua. Rahmatmu turun menyembah bumi, mengubat seluruh alam yang semakin gersang dek sinaran pancaran sang suria yang sungguh luar biasa. Dalam hati tetap berdoa perkara yang sama ke daerah kedua ayah dan juga bondaku yang tersayang.

Beberapa hari yang lepas, sempat bertanyakan khabar dari kedua orang tua tersayang yang menyatakan bekalan air bersih semakin berada di tahap yang kritikal. Siapa sangka sebegitu banyak sungai yang berada di daerah ayah dan bondaku tetapi masih tidak mampu mengatasi masalah bekalan air di kampung halamaku.

Aku berdoa dan tetap terus berdoa agar semua permasalahan ini akan selesai tidak lama lagi. Semua ini berpunca dari masalah peredaran musim panas yang sungguh luar biasa atau dinamakan El Nino. Mengikut ramalan keadaan ini akan berakhir pada bulan Jun nanti. Namun semuanya bergantung kepada kuasa Allah yang maha esa.

Semua ini adalah petunjuk yang amat nyata bahawa Allah sedang memberitahu umat-umat akan sesuatu. Mungkin selama ini kita semakin lalai akan tanggungjawab dan juga mungkin tidak bersyukur dengan segala rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selama ini. Saat hujan melanda, kita asyik mengeluh dan begitulah sebaliknya.

Apa pun semua yang terjadi ada sebabnya yang tersendiri. Betapa yang lebih berkuasa hanyalah Allah dan tiada selain daripadanya. Di kesempatan ini hati ini tetap sahaja berdoa dan terus berdoa agar rahmatmu tidak terhenti setakat ini sahaja.

Ya, Allah teruskanlah rahmatmu menyembah bumi ini, agar segala kehidupan bakal bersinar dan berseri kembali.
Aamiin ya raabialami.

Yang Benar
Sariah Awang Senik


Tuesday 12 April 2016

HADAPI KEHIDUPAN DENGAN LEBIH CERIA DAN BERSEMANGAT

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamualaikum.

Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillah, agak lama juga saya tidak menulis sebarang entri baru untuk blog kesayangan ini. Apa pun memang tidak dapat dinafikan bahawa alasan adalah sebagai jalan yang terbaik dan penyelamat sebagai menutup kelemahan diri.

Akur akan semua kekesalan itu, saya sedar dan sangat-sangat sedar, bahawasanya saya perlu mengorak langkah agak lebih aktif dan tidak terlalu lama memikirkan akan kelemahan diri sendiri. Lantaran daripada itu semua, saya bersyukur mempunyai apa yang miliki sekarang. Walaupun kehidupan tidak semewah mana dan tidak mempunyai seseorang yang bergelar suami disisi, saya bersyukur kerana masih ada Allah, keluarga, anak-anak tersayang dan juga sahabat handai.

Saya mesti menghargai mereka ini dan bersyukur atas segala rahmat yang Allah kurniakan. Sesungguhnya kehidupan ini terlalu singkat dan tidak harus dipenuhi oleh semua perkara-perkara negatif yang boleh melemahkan seluruh kehidupan ini.

Kehidupan harus dilalui dengan lebih ceria dan bersemangat. Jika ada satu bisikan kecil yang berbisik di hati, maka abaikan sahaja dan percayalah setiap masalah yang wujud adalah datang dalam satu pakej yang lengkap daripada Allah yang maha esa.

Dia ingin kita harus luangkan lebih banyak masa memuji dan mengadu seluruh rasa resah dijiwa dan hanya terus menadah tangan berdoa kepadanya. Hadapi kehidupan agar lebih bersemangat dan usah terpengaruh dengan segala bisikan kecil dihati kita.
Bisikan yang meniupkan unsur-unsur positif tidak mengapa. Tetapi jika sel-sel negatif, secepat mungkin abaikan sahaja dan terus lupakannya dengan serta merta.

Kehidupan ini teramat singkat dan wajarlah setiap detik yang berlalu terasa amat berharga dan tidak akan berulang lagi. Jadi teruslah mengorak langkah, ceriakan diri anda dan hiasilah dirimu dengan semua sel-sel kebaikan.
Semoga kehidupan sahabat-sahabat yang lain juga akan lebih ceria dan tetap bersemangat menjalani seluruh kehidupan.

Yang Benar
Sariah Awang Senik


SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...