Sunday 31 January 2016

SEMALAMAN DI KAMPUNG HALAMAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah. Syukur segalanya berjalan dengan lancar. Hari Sabtu yang lepas berpeluang pulang ke kampung halaman menziarahi kedua orangtua tersayang. Apa pun lega sangat apabila semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah sampai ke kampung halaman.

Ayah dan juga ibu tiri berada dalam keadaan yang sihat. Sementara ayah selalu sibuk dengan kegiatannya yang tersendiri. Ayah memang gemar mengambil upah membaiki rumah dan juga membuat kabinet dapur. Anak-anak buah saya juga seronok sangat apabila sampai dikampung. Mereka suka melihat ayam-ayam kampung peliharaan ayah saya.

Setelah sibuk mereka menghabiskan masa bermain diluar, anak-anak buah nampak berselera menjamu makan malam. Walaupun hidangan tidak semewah mana, namun anak-anak buah tersayang tetap akan makan dengan berselera sekali. Selesai mengemas semua pinggan mangkuk, saya berehat dan menghabiskan masa melihat kawasan sekeliling rumah ayah dan juga makcik saya. Jauh disudut hati saya sangat kagum akan kebersihan dan juga kekemasan kawasan disekeliling rumah ayah saya. Ada reban ayam, tumbuhan yang menghijau seperti pokok cili, pokok serai, daun pandan, pokok limau kasturi, pokok bunga kantan dan bermacam-macam pokok tumbuhan yang lain.

Saya juga sempat melawat anak buah yang sedang belajar MRSM di daerah saya. Alhamdulilah dia sihat dan ceria dan sedang sibuk mengulangkaji pelajaran yang akan menduduki ujian dalam beberapa hari lagi. Terasa cepat sangat masa berlalu. Selain menghabiskan masa berbual bersama ayah dan makcik, ayah tidak pernah lupa menasihati saya tentang pelbagai perkara dan sering mengingatkan saya agar senantiasa bersabar dalam menghadapi pelbagai dugaan.

Saya, adik dan juga keluarganya berangkat pulang semula selepas solat Asar. Lebih kurang pukul 8 malam saya sampai di hentian pekeliling dan meneruskan perjalanan pulang ke Tanjung Malim dengan menaiki keretapi komuter dari hentian Bank Negara terus ke Tanjung Malim. Sangat berpuas hati dengan segala perjalanan yang dirancang secara spontan.

Sekian
Sariah Awang Senik


Thursday 28 January 2016

KOLEKSI TERBARU SHAHRIZAD'S COTTON

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Shahrizad Cotton
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamualaikum.

Alhamdulilah. Syukur atas segala rahmat. Kini ada keluaran terbaru kain cotton dari Shahrizad Cotton. Kain yang sejuk dan senang digosok.

Tidak mudah remuk dan sangat selesa.
Tidak semestinya ambil sepasang, tetapi boleh juga dipotong-potong mengikut berapa meter yang pelanggan inginkan.

Harga RM 75 sudah termasuk postage.
Berminat boleh hubungi saya :
Sariah Awang Senik
019-4075634
sariah.awangsenik@gmail.com

Sekian
Sariah Awang Senik


Tuesday 26 January 2016

MERANGKUL MASA DEPAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Buku Personal Power -Hasil Tulisan Dr Ibrahim Elfiky
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Saat kupejamkan mata, aku melihat cahaya masa depan, dan langit dipenuhi bintang-bintang sepanjang malam.

Saat aku memikirkan 10 tahun mendatang, jelas kulihat bahawa masa depan adalah milikku.

Orang-orang berkata hidup kita akan berakhir, tapi ku katakan hidupku baru saja bermula.

Aku akan melukiskan gambarku kerana aku mampu merangkul masa depanku.

Di tanganku aku membentuk dan mencipta kerana ku tahu diriku akan menjadi besar.

Ya, aku akan melukiskan gambarku, kerana tanpa sedikit pun keraguan, aku akan merangkul masa depan.

Tulisan oleh Pablo Picasso

Sekian
Sariah Awang Senik


Wednesday 20 January 2016

Kepedihan dan penderitaan akan berlalu begitu sahaja seiring dengan kesibukan menguruskan segala urusan kehidupan ini. Walaupun begitu sukar dan seksa namun percayalah setiap yang berlaku itu ada hikmah dan nikmatnya yang tersendiri.

Ada sebab Allah jadikan sesuatu sebegitu rupa. Mungkin untuk menyedarkan kita akan kelekaan kita terhadap sesuatu perkara. Dan untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik, maka diri haruslah berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah.

Jangan mudah terleka dibuai perasaan negatif apabila dikhianati oleh makhluk Allah yang lain. Tidak berbaloi mengenangkannya. Hargai diri dan perasaan anda, dan jangan bertindak sesuatu yang langsung tidak memberi manfaat kepada diri dan juga keluarga.
Alhamdulilah. Syukur atas segala rahmat kerana diuji tanda Allah makin dekat dan sayang terhadap diri ini.

Sekian.
Sariah Awang Senik

Nota : Misi meletakkan diri senantiasa berada dalam keadaan yang positif, sihat lagi ceria.

posted from Bloggeroid

KISAH SEMALAM

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Telah hampir setengah bulan memasuki bulan Januari yang sangat bahagia ini. Betapa banyak dugaan yang Allah telah aturkan dan disebaliknya terselit hikmah yang hanya tuhan yang lebih mengetahui.

Betapa sukarnya menindakkan perasaan yang sungguh murni dan sucinya. Hanya seketika dibuai perasaan yang indah ini dan dalam sekelip mata juga hilang begitu sahaja tanpa ada sebab yang munasabah. Puas hati menyoal segala kekurangan diri namun semakin difikirkan masih sesak nafas ini. Hanya mampu berdoa dan terus berharap agar kisah semalam tidak berulang kembali.

Walaupun terlalu perit dan pedih, pasti ada sebab Allah aturkan dan harus lalui sekali lagi. Mungkin kisah semalam akan berlalu pergi seiring dengan angin yang berlalu pergi. Percaya pada diri bahawa inilah perjalanan yang harus dilalui demi mencapai sebuah kebahagiaan. Jauh disudut hati kecil ini tidak akan pernah berputus asa untuk terus berdoa dan berharap moga suatu hari nanti segala kisah sedih akan berlalu pergi.

Hati manusia milik Allah. Dengan izinnyalah perasaan itu wujud dan hadir lagi. Dek kerana sedikit salah faham, dengan mudahnya menghukum tanpa memberi peluang untuk bersemuka dan juga berbincang. Apa pun tetap bersyukur dengan segala yang berlaku. Kerana kisah semalam itulah bakal memberi lebih banyak pengajaran agar lebih berhati-hati dalam soal memberi dan juga menerima kasih dan sayang.

Percaya bahawa sebaik-baik perancangan adalah rancangan yang Allah bakal tetapkan kelak. Biarpun jauh namun tetap dipanjatkan segunung kesabaran untuk menghadapinya disamping keimanan dan juga ketakwaan.
Wahai hati, bertabahlah menghadapinya dan semoga kisah semalam tidak berulang kembali. Insha Allah.

Sekian.
Sariah Awang Senik


Catatan Pengalaman.

posted from Bloggeroid

Monday 18 January 2016

SEBUAH HARAPAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Kehidupan ini terlalu indah dan singkat. Menyusurinya perjalanan ini penuh dengan liku-liku dan warnanya yang tersendiri. Warnanya yang penuh dengan segala rasa sedih, gembria dan disitulah terletaknya sebuah harapan yang memberikan lagi semangat untuk terus gagah dan tabah melawan segala arus dugaan.

Apabila berlakunya satu perceraiaan pastinya anak-anak yang menjadi mangsanya dan mereka yang menerima tekanan yang teramat kuat. Anak-anak tidak diberi peluang untuk bersuara sekaligus menyatakan apakah yang mereka mahukan sebenarnya. Tekanan yang diterima oleh anak-anak berbeza. Ada anak-anak yang bijak menyembunyikan segala perasaan mereka. Dan tidak kurang juga yang meluahkan segala rasa dihati melalui perbuatan dan juga pergaulan mereka bersama rakan-rakan.

Bukan semua perceraiaan berakhir dengan sebuah kedamaian. Ada sesetengahnya masih memusuhi antara bekas suami dan juga bekas isteri. Apa pun keadaanya kehidupan perlu dan harus diteruskan sebagaimana kebiasaannya. Ada juga bekas isteri ataupun bekas suami yang cepat menerima sesuatu perceraiaan. Maknanya mereka membina kembali kehidupan bersama anak-anak dan menyusun semula segala matlamat yang ingin dicapai. Berfikir positif dan berusaha memaafkan segalanya demi sebuah masa hadapan anak-anak yang lebih terjamin. Ada juga anak-anak yang menyimpan perasaan rindu akan kasih sayang seorang ayah namun tidak kesampaian meluangkan masa bersama dek kerana si ayah terlalu sibuk dengan komintmentnya yang baru.

Kerinduan hanya dapat dilepaskan saat si anak bertemu dengan ayahnya sesekali sahaja dan itupun masanya tidaklah terlalu lama. Entah apa perasaan yang ayahnya rasa hanya tuhan yang lebih mengetahui segala alasannya. Hakikatnya mereka masih lagi punyai seorang ayah yang senantiasa berada didepan mata tetapi tidak mampu beramah mesra. Hampir setiap hari anak-anak meletakkan harapan agar satu masa nanti ayah mereka akan berubah dan menjalankan segala tanggungjawab dan memberikan kasih sayang yang diharapkan selama ini.

Walaupun ibu dan ayahnya telah berpisah namun ikatan kasih sayang antara anak-anak dan ayah tetap akan kekal hinggalah ke syurga nanti. Harapan dan impian tetap tersemat dihati dan juga minda anak-anak. Semoga Allah senantiasa memberikan lebih ketabahan kepada anak-anak didalam melayari bahtera kehidupan ini.

Berbekalkan doa si ibu yang tidak pernah leka berdoa walau sesaat pun, anak-anak makin membesar dan semakin bijak menghadapi segala dugaan yang ada. Semoga anak-anak syurga ini terus berada dibawah kasih sayang dan petunjuk dari Allah yang maha kuasa.

Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik


Tuesday 12 January 2016

KASIH YANG TERABAI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Syukur segala urusan berjalan dengan lancar dan jayanya. Telah hampir seminggu lebih memasuki tahun 2016 dan nampaknya banyak cabaran yang hebat yang bakal ditempuhi oleh saya dan juga semua rakan-rakan sekalian. Alhamdulilah anak-anak makin membesar dan semakin berani menghadapi apa jua cabaran. Anak bujang tersayang bakal menduduki peperiksaan SPM dan si adik pula telah memasuki darjah 5 dan bakal bersedia untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun 2017 nanti.

Apa pun saya berasa sangat berbangga kerana dapat menjaga dan mendidik dengan hasil usaha saya sendiri. Walaupun bergelar seorang ibu tunggal ianya langsung tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan dan juga mencapai impian saya sendiri.

Namum adakalanya rasa hati agak terkilan kerana anak-anak langsung tidak mendapat kasih sayang seorang ayah selepas process perceraian berlaku. Entah dimana salah dan silapnya saya kurang pasti. Secara jujurnya selepas perceraian saya langsung tidak menghalang anak-anak untuk rapat ataupun bertemu dengan ayah mereka. Bahkan saya juga tidak menetapkan waktu tertentu untuk anak-anak bertemu ataupun bermesra dengan ayah mereka.

Hanya tuhan sahaja yang lebih mengetahui segala gelodak perasaan saya sebagai seorang ibu. Puas saya bersms dan juga berwhatshapp kepada bekas suami agar memberi sedikit perhatian kepada anak-anak namun hampa. Sudahnya hanya doa yang tidak pernah henti saya panjatkan kepada Allah, agar tuhan dapat membuka pintu hati bekas suami untuk anak-anak tersayang saya.

Saya pasti jauh disudut hati anak-anak tersayang begitu rindu akan belaian dan juga kasih sayang seorang ayah. Tidak juga saya menghasut anak-anak untuk membenci ayah mereka sendiri. Ada masanya anak-anak begitu bijak menyembunyikan segala perasaan rindu mereka terhadap ayah mereka sendiri.

Ayah mereka ada dan wujud di depam mata. Namun kasih dan sayang tidak dapat dirasai dek kerana sikap ayah mereka yang lebih pentingkan hal yang lain ataupun ada masalah yang lain. Aura kasih sayang dapat saya rasai disekeliling anak-anak namun hasrat mereka tidak tercapai.

Itulah gambaran betapa rindunya mereka ingin mendapatkan perhatian dan kasih sayang dari seorang yang bergelar ayah. Walaupun hubungan kasih sebagai seorang suami dan isteri telah terlerai tetapi hubungan kasih sayang antara anak-anaknya tidak akan pernah luput dan putus. Apa sahaja kisah pahit yang berlaku antara saya dan ayah mereka telah berlalu dan tidak akan pernah berulang lagi.

Semoga masih ada rasa kasih sayang di penjuru hati ayah mereka buat kedua anak tersayang saya iaitu Muhammad Aiman Hakimi dan juga Nur Damia Rifqah. Insha Allah. Aamiin.

Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik


Tuesday 5 January 2016

GALAU HATI SEORANG IBU

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah. Dah dua hari seisi persekolahan untuk tahun 2016 telah bermula. Rasanya tahun 2016 bakal menjadi tahun yang sangat mencabar buat anak-anak tersayang. Anak bujang tersayang bakal menduduki peperiksaan SPM. Anak dara pula semakin sibuk menyiapkan diri untuk peperiksaan UPSR pada tahun 2017 nanti.

Keseluruhan nya dalam dua hari ini urusan  makin sibuk dengan anak-anak dan juga kerjaya. Hari ini juga saya bercuti selama sehari dan menghabiskan masa menghantar anak-anak tersayang ke sekolah. Banyak urusan rumahtangga yang harus diselesaikan dengan segera.
Lewat petang ini, hati saya sebagai.seorang ibu hampir teruja. Anak bujang tersayang bersekolah menengah agama. Kebiasaannya dalam pukul 4.30 petang ataupun 5 petang dia sudah sampai dirumah. Tetapi entah kenapa sehingga lewat petang masih tidak sampai ke rumah. Hati saya asyik memikirkan perkara-perkara yang bukan-bukan. Terbayang di fikiran saya bermacam perkara buruk yang disiarkan di dada akhbar dan juga dilaman-laman sosial. Kes penculikan, rogol, bunuh dan bermacam perkara yang buruk.

Di dalam hati saya tidak putus berdoa agak tiada apa yang buruk berlaku kepada anak bujang tersayang. Tanpa saya sedar, airmata mengalir kerana walaupun telah masuk waktu magrib, dia masih juga tidak sampai ke rumah.
Saya mengambil keputusan untuk memberitahu bekas suami secara sms, namun tiada balasan daripadanya. Biarlah apa sahaja anggapannya. Asalkan saya sudah beritahu apa sahaja perkembangan anak-anak.

Dalam lebih kurang pukul 7.30 malam, barulah dia sampai ke rumah dengan menaiki teksi. Saya lantas memeluknya dan berkata kenapa tidak beritahu kalau lambat balik ke rumah. Dia bertanya kembali, kenapa saya menangis, saya memberitahunya, ibu tidak boleh bayangkan apa yang akan terjadi jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku kepadanya.

Syukur Allah senantiasa melindungi saya dan juga anak-anak. Semoga mereka berdua senantiasa di bawah rahmat dan juga kasih sayang Allah selalu.

Sekian.
Sariah Awang Senik


Friday 1 January 2016

SELAMAT DATANG TAHUN 2016


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamualaikum.
Bermulalah lembaran baru tahun 2016. Alhamdulilah bakal juga bertambah usia penulis nanti pada bulan Februari kelak.  Tiada apa yang istimewa untuk diraikan. Anak-anak bakal memulakan seisi persekolahan yang baru pada tahun 2016 nanti. Anak bujang tersayang bakal menduduki peperiksaan SPM dan anak dara akan memasuki darjah 5 dan seterusnya darjah 6.

Tiada baru, cuma setiap hari menulis apa yang perlu dilakukan selain menulis impian dengan harapan akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Ada masanya semua yang ditulis itu selalunya akan menjadi kenyataan. Maka amat perlu untuk menulis perkara yang baik sahaja setiap hari.

Tahun 2016 ini bakal menjadi suatu tahun yang penuh dengan dugaan dan juga rintangan. Maka banyak persediaan harus dilakukan secara mental dan juga fizikal.

Apa pun saya tetap berdoa agar segala yang ditulis dan dirancang akan berjalan dengan lancar dan jaya pada sepanjang tahun 2016 ini. Begitu juga hal yang sama saya doakan buat semua para sahabat yang singgah meluangkan masa membaca blog kesayangan yang tidak seberapa ini.

Sekian
Sariah Awang Senik


SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...