Thursday 21 March 2019

LEBIH BAIK JANDA DARI TERSEKSA


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

LEBIH BAIK JANDA DARI TERSEKSA

Yang bernama wanita dan perempuan, khususnya isteri pasti risau kan kalau bergelar JANDA?

Tiada wanita pun yang berangan-angan nak status itu. Lagi-lagilah walau seorang isteri. Sah-sahlah kalau bernikah dulu, nakkan sebuah rumahtangga yang aman bahagia hingga ke jannah.

Tapi ingat, kita ini hanya merancang, tapi tuhan yang tentukan.
Allah takkan duga hambanya tanpa Allah tahu kemampuan hambanya tersebut.

Kepada para isteri jangan takut atau risau kepada seorang perempuan lain yang bergelar janda. Tak semua janda nakkan suami orang. Dan seorang janda juga berhak untuk hidup bahagia macam hamba Allah yang lain atas bumi bertuah ini. Seorang janda juga punyai tanggungjawab yang maha besar kerana mereka memikul tanggungjawab seorang ibu dan ayah sekaligus.

Bukan senang ya menggalas tanggungjawab itu.
Ada masa seorang janda juga berkorban kebahagiaan sendiri demi anak-anak yang tersayang.
Bila seorang janda sudah nekad berkorban demi anak-anak, jujur apa sahaja cabaran mereka harungi semuanya dan telan segala kepahitan.

Mengimbas pengalaman berumahtangga dulu, ada masa terkilan juga. Yalah, sudah berusaha yang terbaik menyelamatkan mahligai sendiri, tapi takdir Allah mengatasi segalanya.

Sepanjang perkahwinan terpaksa memendam pelbagai rasa. Setiap kali kalau bersuara agak lantang, bimbang pipi ini menjadi mangsa amarahnya. Tak putus juga berdoa kepada Allah agar dia berubah dan kembali ke pangkal jalan. Pernah jua berbincang dari hati ke hati, tapi akhirnya dia tetap menyalahkan diri ini atas semuanya.

Berusaha untuk memahami minat atau hobinya. Juga memberinya ruang untuk berkawan dan percaya dia tak akan mencurangi diri ini.
Namun Allah tetap jua menduga diri ini dan juga dirinya. Mungkin juga Allah ingin tahu sejauh mana tingginya kesabaran dan kasih sayang ini.

Bukan itu sahaja, ekoran dari ekonomi rumahtangga yang tak stabil juga menjadi salah satu punca paling utama.
Dia berhenti kerja tanpa berbincang terlebih dahulu akan segala masalah yang bakal dihadapi. Suka membuat keputusan sendiri atas alasan tak mahu diri ini risau dan juga yang suka membebel.

Agaknya mungkin dia tak pernah tertikir.

Bahawa dengan bebelan inilah, berusaha untuk memberitahu dia akan apa yang berlaku dalam rumahtangga ini sebenarnya.
Adakalanya terlintas jua di fikiran, sikapnya yang tak pernah mengambil berat akan diri, mungkin petanda sayangnya sudah semakin pudar.

Selalu rasa itu timbul dihati ini. Terpadam rasa ini jika sibuk dengan tugasan harian dan juga kehidupan.
Terfikir juga jika begini berterusan, lebih baik hidup bersendiri atau janda lagi memberikan keselesaan. Dosa tak bertambah terhadap seorang yang bergelar seorang suami.

Setiap kali awal persekolahan, atau hari perayaan itulah yang paling membimbangkan. Kalau dia berusaha walau bekerja sendiri, pasti dia dapat tangani segala masalah. Bertolak ansur dan bukannya terus menyalahkan diri ini dan menghukum.

Apabila sudah tahap yang paling kritikal, maka akhirnya dia melepaskan diri ini. Alasannya diri ini dah tak pandai melayan dirinya dan terlalu sibuk dengan kerja. Sebenarnya asalnya dulu bekerja adalah tujuan utama untuk meringankan bebannya sebagai seorang suami. Tapi lain pula pemahaman dirinya.

Paling sedih dalam kekusutan itu sempat jua dia menjalin hubungan sulit. Setiap kali bertanya, alamat bergegar rumah dan tercetuslah pertengkaran. Gementarnya tiap kali pertengkaran, tangannya yang besar itu selalu sahaja diacahkan ke pipi ini.

Sedih tak terkata.
Bagaimana seorang insan yang paling disayang, sanggup lakukan hal yang sedemikian.
Lupakah dia atas segala pengorbanan ini?

Akhirnya dia melafazkan jua talak itu.
Waktu itu wajahnya penuh dengan kebencian. Tiada langsung serinya.
Langsung tak rasa kesal atau kasihan kepada anak-anak yang masih kecil.

Si abang baru melangkah ke sekolah menengah. Adik baru sahaja nak ke sekolah rendah. Permulaan memang semuanya perit. Tiada yang memahami. Ipar duai menjauhkan diri. Tak kurang menyalahkan diri ini.

Mujur kawan-kawan dan adik beradik memahami. Memberi kata-kata semangat agar bangkit membina kembali kehidupan demi kedua anakanda tercinta.

Ya, impian seorang yang bergelar isteri dah hancur. Tapi masih ada peluang yang lain untuk menyusun kembali sebuah impian yang baru.

Jika rasa disakiti, rasa terabai, bersusah payah memendam perasaan, baik sahaja hidup sendiri sebagai seorang janda dari terus rasa terseksa.Biar masyarakat mengata kerana mereka semua tak tahu situasi dan keperitan yang sebenarnya.

Selama hampir bertahun, alhamdulillah segalanya telah berlalu.
Bersama anak-anak, melakar impian untuk bahagia dalam acuan yang tersendiri. Tak perlu mendesak diri untuk bernikah lagi jika belum bersedia.
Fokus sahaja pada anak-anak dan juga segala cita dan juga cinta terhadap keluarga.

Masih ingat pesanan seorang sahabat yang mengingatkan diri untuk memaafkan sahaja dirinya.
Dendam dan rasa kecewa lepaskan sahaja. Tiada guna menyimpan dendam. Serahkan semuanya kepada Allah dan biarlah Allah yang jalankan tugasnya.

Kini, segalanya beransur berubah.
Setelah anak-anak menyambung pengajian, dia kembali dekat kepada anak-anak. Kuasa Allah tiada siapa tahu.
Tetap terus berfikiran positif dan tak jua menghasut anak-anak untuk membenci abah mereka.

Hanya doa dan terus berdoa agar semuanya baik-baik sahaja.
Sehingga kini masih lagi bergelar seorang janda dan tak rasa malu mengakui akan status itu.

Buat apa malu kalau status yang ada bagaikan satu rahmat untuk memperbaiki kelemahan diri, kembali kepada Allah dan mencapai segala cita-cita. Bukan menolak jodoh, cuma masa yang ada sekarang terlalu penuh dengan komitmen yang ada.

Insyaallah.
Tak akan pernah rasa kesal dan alhamdulillah makin tenang dan fokus kepada cinta hati tersayang kini dan selamanya.


Sekian
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...