Wednesday 26 January 2022

HADIAH YANG PALING BERMAKNA

 Teks : Sariah Awang Senik

Sumber : Koleksi Peribadi

https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Sebenarnya semua perjalanan ini bukan mudah. Namun sejenis manusia yang degil tidak gemar menyerah kalah terlebih dahulu sebelum berjuang hingga ke titisan yang terakhir. Perjuangan menulis buku solo ini bukan mudah. Namun peluang ini tidak datang selalu dan tetap menerimanya walaupun terlalu banyak ujian yang harus dilalui.

Pelawaan salah seorang teman seperjuangan dalam penulisan yang 'dijodohkan' dalam projek buku Legasi Abah dibawah puan Sri Diah Shaharuddin, rupanya membuka satu lagi lembaran baru juga pengalaman yang paling terindah. Menyedari diri yang terlalu banyak kekurangannya, tetap juga mengharungi semua ujian.

Diuji dengan masa kerja yang tidak menentu, kesihatan dan juga kesibukan diri menguruskan keluarga dan juga anak-anak tersayang. Ketika menaip entri untuk blog ini juga masih lagi diuji dengan masalah kesihatan dan menunggu apakah keputusan doktor kelak. Apa pun keputusan yang diterima kelak, senantiasa yakinkan diri bahawa itulah yang terbaik dari Allah yang maha esa.

Sesekali hati ini terpedaya juga oleh hasutan syaitan. Pelbagai bayangan dan juga perkara negatif yang melintas di fikiran ini. Namun berusaha melenyapkan dan tidak membiarkan bayangan tersebut terus melekat di fikiran ini.

Harungi sahaja semua ujian dengan berbekal buah keimanan kepada Allah dan tidak sesekali membelakangkan yang maha esa. Selagi Allah kurniakan peluang untuk bernafas dibumi bertuah ini, buatlah yang terbaik dan berusaha menjauhkan diri segala perkara yang tidak disukai oleh Allah yang maha esa.

Barangkali kesakitan ini juga satu anugerah dan rezeki. Peluang yang Allah kurniakan sebagai satu ingatan, agar diri kekal istiqamah dan mencari penawar kesakitan dengan lebih banyak mendekatkan diri kepada-Nya.


Walau apa pun yang terjadi senantiasa berdoa agar diri tidak terus lalai dengan segala kenikmatan.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni segala dosa-dosa diri ini.


Sekian


No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...