Tuesday, 28 April 2015

DUGAAN VS NIKMAT

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Facebook
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Cuaca di luar beransur mendung. Maknanya hujan akan melanda lagi di daerah kecilku ini. Betapa mendungnya awan yang bertompok hitam di langit begitu jugalah pelbagai dugaan yang berlalu di dalam kehidupan. Syukur alhamdulilah, aku berjaya juga mengharungi segala permasalahan berkat doa yang tidak pernah putus ku panjatkan kepada yang maha esa.

Saat dilanda semua dugaan itu, aku bagaikan terpana dari mimpi yang panjang. Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran aku. Antara persoalannya ialah :
@@ Mengapa jadi macam ini?
@@ Kenapa aku yang dipilih untuk melalui semua dugaan ini?
@@ Aku kurang baikkah?
@@ Dimana kesilapan aku yang sebenar?
@@ Adakah semua ini berlaku akibat daripada kesilapanku yang telah lalu?

Entah berapa kali 'kah' yang aku persoalkan di setiap kesilapan yang dan juga dugaan yang berlaku. Kalau hendak tahu bagaimana perasaannya sewaktu di landa dugaan tersebut, hanya Allah sahaja yang maha mengetahuinya. Sedih, kecewa, marah dan juga pelbagai perasaan yang ada. Namun secara perlahan-lahan aku belajar menerima semua kenyataan yang telah berlaku. Mencari di mana kelemahan dan juga kekuatan diri sendiri. 

Satu persatu aku kutip kembali , merangka kembali kehidupan yang musnah dek badai dugaan tersebut. Hanya Allah sahaja yang menjadi pegangan utama aku. Tiada yang lain. Berserah dan juga terus berdoa, agar diberikan kekuatan dan juga kesabaran untuk menghadapinya. Alhamdulilah, setelah beberapa fasa , rupanya inilah hikmah yang sebenarnya. Allah jadikan semuanya, supaya aku kembali mendekatkan diri dan memohon kepadanya. Mungkin selama ini aku terlalu lalai dan juga leka dengan segala nikmat yang di beri. 

Satu persatu Allah bukakan peluang yang baru yang tidak pernah terfikir selama ini di fikiran aku. Tidak di sangka, rupanya dengan segala dugaan yang berlaku di dalam kehidupan aku, boleh juga menjadi sumber inspirasi kepada sesiapa yang pernah melalui nasib yang sama seperti diriku. Nekad untuk membantu dan juga memberi semangat baru kepada yang memerlukannya. Selain daripada itu, aku juga dipertemukan dengan ramai insan-insan yang senantiasa berfikiran positif dan mencari peluang di sebalik sesuatu masalah yang berlaku.

Kini, aku harus teruskan segala perjuangan inisehingga selesai. Masa yang ada aku harus manfaatkan sebaik yang mungkin. Selagi masa ada hari esok, selagi itulah aku harus berbuat sesuatu dengan lebih terbaik lagi. Namun esok yang bakal tiba dan juga berlalu pergi bukanlah alasan terbaik aku untuk merasa terlalu selesa. Zon selesa itu harus aku tinggalkan sebaik yang mungkin dan cuba terokai segala peluang di hadapan mata.

Semoga di dalam masa yang terdekat ini, aku harus dan mesti berusaha 200% daripada biasa. Ketepikan semuanya dan fokus kepada matlamat yang ingin di capai. Jikalau ada dugaan anggaplah ada hikmah ataupun nikmat yang tersembunyi di sebaliknya. Insha Allah. Moga sesiapa sahaja yang membaca akan lebih bersemangat dan bermotivasi di dalam mencapai sesuatu kejayaan.

Coretan Dugaan Dan Nikmat Kehidupan

Sariah Awang Senik.

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...