Thursday 2 December 2021

DUGAAN HADIR, MAKA ADA RAHMAT ALLAH TERSEMBUNYI

 

Teks : Sariah Awang Senik

Sumber ; Koleksi Peribadi

https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Dugaan hadir lagi. Memang seksa dan amat melelahkan. Bermacam perasaan yang hadir. Berasa diri insan yang paling malang dan berdosa. Semua perasaan itu adalah perkara biasa. Ujian yang menyapa, adalah teguran kasih sayang daripada Allah yang maha esa. Semua orang tidak terlepas dari ujian Allah. Dan ingatlah ujian itu, adalah tanda tuhan tidak mahu kita terus terleka dalam dunia yang tersendiri.

Sejak beberapa minggu yang lepas diuji dengan satu masalah. Masalah yang melibatkan maruah dan juga pendirian diri ini. Ketika itu sudah berusaha yang terbaik untuk selesaikannya. Tetapi tetap menemui jalan buntu. Merayu dan lebih gemar mengakui kesilapan sendiri dengan harapan pihak yang satu lagi memahami. 

Namun kita hanya merancang dan tuhan jualah yang menentukan segalanya. Keputusan yang tidak disangka-sangka diambil. Berserah sebulatnya kepada maha pencipta. Mengakui kekhilafan diri dan bertaubat dan berusaha menghindarkan diri dari melakukan segala noda.

Sungguh ajaib kuasa Allah.

Saat itulah pelbagai rahmat datang tanpa disangka-sangka. Allah gerakkan hati manusia untuk membeli buku dan yang terbaru ada hamba Allah yang berminat untuk membeli segala artikel yang dikongsikan di laman muka buku. Cantik aturan Allah. Sekali pun hati ini amat menyukai dan selesa dengan keadaan sekarang, rupanya Allah punya rancangan yang lebih baik.

Maka lapangkan hati dan minda ini, menerima setiap apa yang dihidangkan. Ketika dilanda ujian itu, memang diri agak kemurungan. Lebih suka menghabiskan masa dengan tidur dan hanya mahu berbaring sahaja.

Saat itulah terlihat wajah anak-anak yang tetap tabah menghadapi apa jua dugaan.

Lantas terus bangkit dan berhadapan dengan apa jua cabaran, sambil tidak pernah berhenti berdoa dan juga berusaha. Berkat dari semua ujian itulah, rupanya terlalu banyak rahmat yang Allah hidangkan. Nikmat yang paling bahagia, apabila hikmat yang tersembunyi disebalik semua ujian yang mendatang.

Kini semakin yakin mendepani ujian dan juga cabaran. Berjanji kepada diri sendiri agar tidak lemah dan bersedih saat ujian hadir untuk menguji kekuatan keimanan ini. Membersihkan hati dari apa saja prasangka dan tidak membalas segala apa yang dilakukan oleh insan yang hadir dalam perjalanan hidup ini.

Ketika ini, sepatutnya sedang menyiapkan satu manuskrip antologi dan juga buku solo.

Harapannya semoga penulisan untuk kedua projek ini berjalan lancar, dapat memberikan manfaat sekaligus pihak editor tertarik dengan isu yang sedang cuba disampaikan.



Lihatlah pemandangan yang indah ini. Walau nampak semakin gelap, namun tetap punya keunikan yang tersendiri. Dan begitulah juga perjalanan kehidupan ini. Perahu yang berlayar disetiap perhentian pasti akan ada dugaan yang tersendiri.

Manusia sebolehnya tidak terlalu terbuai dengan kesedihan akibat dari masalah yang dihadapinya. Sebaliknya jika ingin bersedih, jangan terlalu lama dan berusahalah untuk terus bersemangat mengorak langkah walau perjalanan dihadapan penuh liku dan berduri.

Haruslah ingat, dunia bukanlah tempat rehat yang paling baik.
Memang harus lalui pelbagai ujian dan juga cabaran supaya Allah dapat melihat hamba-hambanya sama ada beriman ataupun sebaliknya.

Dugaan hadir tanda Allah sayang akan diri kita dan mahu berada di landasan yang sepatutnya.
Insya-Allah.


Sekian

 


No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...