Monday 14 November 2022

5 PANDUAN UNTUK IBU TUNGGAL HIDUP LEBIH BAHAGIA

Teks : Sariah Awang Senik

Sumber ; Koleksi Peribadi

 https://www.facebook.com/sariah.awangsenik/


Dalam sebulan lagi, berakhirlah tahun 2022. Bersyukur sejak dari awal tahun 2022, begitu banyak ujian yang kita harungi dan dengan izin Allah kita berjaya melepasi semua dugaan tersebut. Dan diri ini juga bakal memasuki usia 50 tahun tidak lama lagi. Tahun 2023, bakal berumur 49 tahun dan seterusnya 50 tahun.

Bergelar seorang ibu tunggal, melayari kehidupan bersama anak-anak adalah perkara utama yang diri lakukan setelah berpisah dahulu. Mengambil keputusan menjaga anak sendiri serta membina kembali sebuah kehidupan baru dengan anak-anak tersayang.

Namun tidak semua dugaan  dilalui oleh seorang ibu tunggal sama dengan ibu tunggal yang lain. Semuanya bergantung kepada pengalaman dan keadaan seorang ibu tunggal tersebut.  Ujian tidak akan pernah lelah menjengah hidup kita, malah ujian itulah kekuatan juga peluang keemasan terbaik untuk kembali kepada Allah yang maha esa.

Ada beberapa panduan , mungkin boleh digunakan bagi wanita yang baru menyandang gelaran ibu tunggal atau bakal memegang status  paling ditakuti oleh kaum wanita lain. Apa pun diri tidaklah mengalakkan sebuah perpisahan dan berusahalah segigih mungkin untuk menyelamatkan sebuah rumahtangga bahagia satu masa dahulu.

Jika anda seorang ibu tunggal dan mahu hidup lebih bahagia dan tidak mahu berterusan menyimpan perasaan sedih dan kecewa mungkin panduan ini boleh diguna pakai untuk membina kembali sebuah kehidupan baru.

Antara panduan tersebut adalah; 

1) Belajar menerima sebuah perpisahan dan terimalah kenyataan bahawa diri bukan lagi bergelar seorang isteri. Menerima satu perpisahan memang agak sukar. Tambahan perpisahan tersebut tidak pernah terlintas dek pemikiran kita. Selama hampir bertahun hidup bersama dan secara tiba-tiba berpisah tanpa dijangka. Perit dan sakit tetapi kita tidak dapat lari dari satu hakikat. 

2) Usah sibuk mencari kesalahan diri dan juga bekas pasangan. Sebaliknya jadikan apa yang berlaku sebagai salah satu panduan juga pengajaran. Masing-masing ada kelemahan dan tidak sempurna. Dan jodoh yang Allah pertemukan itu bukanlah satu kesilapan. 

3) Berhenti membandingkan hidup sendiri dengan orang lain. Apa yang Allah aturkan dalam kehidupan kita ada hikmah tersendiri. Maka berhentilah membanding dan gunakan masa tersebut untuk belajar ilmu baru ataupun perbaiki segala kelemahan diri sendiri.

4) Cari 'cirle' yang positif dan dapat mengingatkan diri dari terus leka dalam sebuah kesedihan dan kekecewaan. Kumpulan sokongan dan tidak semestinya ibu tunggal, malah mungkin dari kalangan rakan ataupun kumpulan profesional yang tahu bagaimana hendak memberi semangat dan juga inspirasi untuk membina sebuah kehidupan baharu.

5) Sibukkan diri dengan aktiviti sihat dan juga bermanfaat. Mungkin inilah masanya untuk kita lebih fokus kepada diri dan juga anak-anak tersayang. Lakukan aktiviti yang kita tidak sempat hendak lakukan ketika bergelar seorang isteri dahulu. Contohnya seperti pergi bercuti, pulang ke kampung dan juga bertemu dengan rakan-rakan persekolahan. Selain itu lakukan sesuatu yang baru ataupun mencapai kembali cita-cita yang belum tercapai satu masa dahulu. 

Apa yang dikongsikan ini berdasarkan pengalaman ketika diri bersusah-payah membina kembali sebuah kehidupan baru bersama anak-anak tersayang dan setiap usaha bukanlah mudah dan memerlukan sebuah kesabaran tinggi untuk mengharungi apa saja ujian demi kehidupan lebih bermakna.

Syukurlah selepas hampir 11 tahun hidup bersama anak-anak dan melepasi apa saja ujian mendatang sambil tidak lelah berdoa berusaha terbaik demi kehidupan lebih bermakna.

Kini diri berimpian untuk mencapai segala impian serta dapat menunaikan umrah atau haji bersama anak-anak tersayang. Semoga Allah kurniakan kesihatan juga kemudahan bagi segala kesulitan serta kesakitan.


Sekian.


No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...