Friday 28 June 2024

SABAR ITU INDAH

 

Jumaat 28 2024

11 pm


Sabar itu memang perit dan memakan masa yang panjang. Namun sangat berbaloi kerana balasan di sana nanti sangatlah lumayan dan Allah telah menjanjikan syurga bagi orang-orang bersabar mengharungi setiap ujian dari-Nya. 


"Wahai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kalian menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kalian lebih daripada kesabaran musuh di medan peperangan dan bersedialah dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan serta bertaqwalah kalian kepada Allah supaya kalian berjaya mencapai kemenangan".

Surah Ali Imran ayat 200.

Jujurnya bukan mudah mengharungi sebuah kehidupan setelah melalui sebuah perpisahan. Apa pun sebab perpisahan tersebut, kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Menyalahkan diri, orang lain tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Malah menambahkan beban perasaan serta membuatkan diri lebih berdosa.

Kehidupan maha singkat dan usahlah bersedih terlalu lama. Itulah yang telah berlaku dalam kehidupan diri ini. Siapa sangka satu perhubungan berlandaskan cinta akhirnya terputus jua di tengah jalan. Tidak mahu terus tenggelam dalam sebuah kesedihan, lalu diri nekad berkorban kebahagiaan sendiri demi anak-anak tersayang. Mengambil keputusan untuk membina kehidupan sendiri walau pada awalnya sangat sukar. Tambahan pula tidak mempunyai kenderaan juga rumah sendiri. Yang ada hanyalah lesen memandu dan kebiasannya terpaksa menyewa kereta untuk pulang ke kampung dan sebagainya. 

Apa pun diri tetap tidak menyerah kalah dan terus bersabar menjalani setiap kesukaran berbekalkan keimanan kepada-Nya. Momen paling indah dan menjadi kenangan adalah ketika menghantar anak bujang menyambung pengajiannya di Politeknik Kuantan. Syukur ketika itu ada adik sudi menghulur bantuan dengan menghantar terus anak bujang mendaftar di Politeknik tersebut, Setelah hampir tiga tahun belajar serta berulang-alik dari Kuantan ke Hulu Bernam Selangor akhirnya anak bujang pun selesai menduduki pengajiannya. 

Masih ingat ketika anak bujang tamat pengajiannya, pelbagai kerja dilakukannya demi meneruskan kelangsungan hidup. Dari pekerjaan susah sehinggalah pekerjaan sekarang. Paling tidak lupa kenangan ketika melihat anak bujang mengambil skrol diplomanya dahulu. Ketika itu hanya diri ini dan juga adiknya seorang lagi. 

Alhamdulilah kini anak bujang bakal melapor diri berkursus sebagai pegawai imigresen di Port Dickson kelak. Apa pun semua perjalanan ini bukan mudah. Terlalu banyak ujian dan perlu pengorbanan untuk sampai ke tahap ini. Doa dan harapan ini semoga anak bujang berjaya selesaikan kursusnya dengan cemerlang dan menjadi seorang pegawai imigresen yang jujur serta berdisplin kepada Jabatan Imigresen nanti.

Begitulah semua perjalanan indah ini perlukan kesabaran yang bukan sedikit. Malah memakan masa yang lama. Walaupun adakalanya kesabaran ini teruji namun percayalah Tuhan tidak kurniakan ujian kepada hambanya begitu saja. Setiap ujian yang dianugerahkan kerana Tuhan tahu hambanya mampu mengharungi semua ujian tersebut. 


Akhirnya kesabaran walau perit dan pahit, namun tetap indah jua akhirnya. Paling utama jangan lelah terus berdoa dan berharap kepada-Nya.


Sekian

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...