Tuesday, 2 December 2025

HARGAILAH SEBUAH RUMAHTANGGA

 


Semakin hari semakin tidak faham diri ini sebagai seorang wanita dan juga pernah bergelar seorang isteri satu masa dahulu. Berusaha juga memahami apakah yang seorang lelaki bernama suami mahukan dalam sebuah rumahtangga. Apakah hanya sekadar layanan nafsu, sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun suami. Melalui permerhatian sebagai seorang ibu tunggal adakala bertembung dengan suami-suami yang agak liar ini sangatlah menakutkan. 

Bukanlah semua, ada juga suami yang masih lagi menjalankan tanggungjawab yang baik dan menghormati isteri serta dapat menerima segala kekurangan si isteri seikhlas mungkin. Terserempak dengan lelaki bernama suami yang gemar menjamu mata memandang wanita lain penuh nafsu itu yang merisaukan. Jika dilihat ada rumahtangga yang pada pandangan mata seorang wanita khilaf ini bagaikan lengkap sebagai sebuah rumahtangga impian ramai wanita,

Mempunyai isteri cantik, berjawatan baik dan berpendidikan tinggi. Isteri pula berasal dari sebuah keluarga kaya dan ada segalanya. Tetapi tetap juga si suami seolah melihat wanita lain bagaikan tidak pernah berjumpa dengan seorang wanita. Pengalaman sendiri juga sepanjang bekerja sebagai seorang pembantu gerai, selalu berjumpa dengan lelaki-lelaki begini. Paling menyedihkan ada yang sudah berusia juga mempunyai cucu-cicit ramai.

Betapa mudahnya seorang lelaki bernama suami lupa akan isteri mereka di rumah. Senantiasa tidak berpuas hati layanan isteri dengan alasan isteri sudah berumur, menoupse, sibuk banyak kerja dan lain-lain lagi. Pernah terfikir ke walau sesaat jika suami jatuh sakit, pasti isteri menjaga suami sepenuh hati dan sanggup berkorban apa saja. Bila suami sudah sihat kembali membuat onar tanpa ada perasaan bersalah. 

Itulah yang diri ini semakin tidak faham. Paling tidak boleh diterima meletakkan alasan nafsu sebagai sebuah jaminan kebahagiaan dalam rumahtangga masing-masing. Maksudnya, isteri sudah lagi tidak mampu melayan tuntutan nafkah batin kepada suaminya. Mulalah pihak suami sibuk ke sana sini memasang umpan ' memancing' ikan yang baru. Namun tidak semua perkahwinan baru itu memenuhi apa yang seorang suami mahukan. Malah menjadi satu bebanan pula kepada suami kerana terpaksa asyik menjaga hati iseri barunya itu.

Akibatnya kucar kacirlah sebuah rumahtangga. Hancur berkecai dalam usia suami dan isteri semakin bertambah, Terakhir tinggallah suami semakin lanjut usia dan sakit juga tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan lagi.

Walaupun tidak semua rumahtangga begitu, tetapi itulah hakikatnya. Sepatutnya semakin bertambah usia sebuah rumahtangga makin menghargai sesama sendiri kerana pasangan masing-masing bukanlah lagi muda dan bertenaga. Bertahun melayari sebuah rumahtangga patutnya semakin cerdik dan matang dalam memahami istilah sebuah rumahtangga. Diri bukanlah seorang pakar motivasi, tetapi rasanya tidak salah memberi sedikit pandangan berdasarkan apa yang berlaku dalam rumahtangga sendiri. 

Kurang berkomunaksi sesama sendiri, kurang memberi perhatian, berbincang dan kurang menjalankan aktviti bersama. Maka runtuhlah sebuah rumahtangga yang dibina atas nama cinta dan juga kasih sayang. Sebagai seorang wanita senantiasa berharap lagi berdoa agar tiada lagi wujud kejadian seumpama lagi.

Hargailah sebuah rumahtangga dan belajarlah memahami pasangan masing-masing. Semakin bertambah usia suami dan isteri maka banyaklah bersabar melayani kehendak pasangan. Saling bertolak-ansur, saling membantu dan berterus teranglah jika ada yang tidak berkenaan di hati masing-masing. 


Sekian
Sariah 
Hulu Bernam 
10 malam
2 Disember 2025

Monday, 1 December 2025

BERTABAHLAH DUHAI HATI


Sekian lama berkorban segalanya demi anak-anak. Bila anak-anak sudah dewasa punyai kehidupan sendiri perlahan-lahan berada diri terabai.

Adakah salah perasaan itu?
Adakah itu menampakkan ikhlas atau tidak peranan kita sebagai seorang ibu?
Adakah berdosa kepada Tuhan mempunyai perasaan begitu?

Namun hanya Tuhan maha tahu segalanya.
Mungkin ada sesuatu yang Allah sampaikan.
Atau memang khilaf diri masih mengharapkan manusia seperti satu masa dahulu.

Bukanlah selalu perasaan itu ada.
Tetapi hadir sesekali. Normal jiwa seorang ibu.
Bergelar seorang ibu mentua pun, bukanlah dalam kategori ibu mentua cerewet.
Memandang diri tiada harta, pangkat dan duit ringgit maka tiada berharap apa-apa kepada menantu.

Cukuplah tidak pisahkan kasih sayang seorang ibu dengan anak lelakinya itu saja.
Namun sesekali bagai disalah erti. Apa pun tidak mengapa.
Percaya Tuhan maha melihat dan menilai segala.
Kerana hati manusia Tuhan yang pegang dan bukannya manusia.

Kelak sebesar hama pun kejahatan pasti ada balasannya.
Tambahan lagi kejahatan kepada seorang bergelar ibu yang seluruh hidup berkorban demi anak-anak tersayang.

Tidak minta dibalas cukup sekadar kasih sayang walaupun tidak selalu.
Bakal berakhir tahun 2025 dan tirai bulan Disember berlabuh kelak senantiasa berdoa agar diri sihat dan tidak menyusahkan anak-anak.

Jikalau ditimpa kesusahan ataupun kesakitan, biarlah diri sendiri menanggungnya.
Wahai hati, bersabarlah mengharungi kehidupan singkat lagi sementara.

Pujuklah hati untuk memaafkan segala kekhilafan dan berdoalah agar Tuhan ampunkan segalanya.
Aamiin Ya Rabbialamiin.



Hulu Bernam
2.04 petang.

Thursday, 27 November 2025

HANYA BERHARAP KEPADA-NYA

Agak lama tidak menulis perkembangan terkini tentang kehidupan di ruangan blog ini. Hampir bersawang dan kini berusaha untuk jadikan seperti diari menulis tentang apa saja tentang rutin kehidupan.

Jujurnya hari ini berdebar-debar. Tambahan lagi perkembangan terkini tentang keadaan cuaca dan juga musibah banjir sedang melanda beberapa negeri sejak kebelakangan ini.

Siapalah yang tidak risau? 
Tinggal sendirian, anak-anak jauh belajar dan sudah pun mempunyai kehidupan sendiri.

Hendak mengadu apa saja, bimbang menjadi beban kepada anak-anak pula. Risau juga timbul salah pada anak menantu.
Namun sekarang keberkesanan terus kepada maha pencipta.
Dia yang berkuasa atas segala apa berlaku kini dan perkara yang akan datang.

Sebagai hamba yang banyak kekhilafan lagi kekurangan hanya mampu berdoa, solat, zikir dan juga selawat.

Itu sajalah jalan terakhir.
Setiap kali lintasan risau bertandang terus saja mulut zikir lantas berdoa.

Hanya itu kekuatan saat ini.
Perasaan hati senantiasa berdebar-debar.

Apa pun berserah hanya kepada-Nya.
Yakin tiada yang lebih berkuasa selain Allah maha esa.

Sebelum masuk beradu menadah tangan memohon atas segala kekurangan diri ini.
Dan semoga esok semua dilindungi dari apa saja musibah dan perkara yang tidak diingini.
Aamiin Ya Rabbialamiin.


Hulu Bernam
27 November
00.23 pagi.

Monday, 3 November 2025

SYUKURILAH

Alhamdulillah. Agak lama juga tidak menulis di ruangan yang mula-mula mengasah bakat menulis ini. Apa pun bersyukur Allah masih kurniakan kesempatan untuk ada ilham menulis walaupun sibuk dengan rutin kehidupan.

Sejak anak lelaki mendirikan rumahtangga juga anak perempuan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda, adakala perasaan sunyi bertandang juga di hati ini. Kerinduan mengenang momen-momen indah menguruskan anak-anak sekolah rendah dan juga menengah. Kemudian mereka melangkah menyambung pengajian di peringkat seterusnya.

Sangat sedar anak-anak sudah punyai kehidupan sendiri. Namun kadangkala teringin juga di hati ingin perhatian dari mereka sebagai seorang ibu.
Namun hasrat itu dipendam dan disimpan kemas sebaik mungkin dan hanya menadah tangan terus berdoa kepada-Nya.

Memadam keinginan seorang ibu kerana sedar anak sudah punyai tanggungjawab utama. Selayaknya utamakan apa yang lebih penting dari segala hal utama.

Jauh di sudut senantiasa tidak lelah berdoa maafkan kekhilafan anak-anak kerana tidak mahu Allah menghukum mereka pula. Cukuplah diri seorang ibu ini redha dan restui setiap perjalanan mereka. Dan perkara lebih penting berusaha isikan setiap masa terluang dengan anak perkara lebih berfaedah sekaligus menjadi tiket ke syurga di sana nanti.

Sementara masih ada ruang dan peluang banyaklah melihat diri dan membuat apa saja persediaan. Berusaha capai segala impian kecil dan meletakkan penghargaan terus kepada-Nya.
Insya-Allah.

Nota : Tersenyum dan tersengih ketika kenduri pernikahan anak lelaki pada bulan lepas.

Thursday, 9 January 2025

HARAPAN 2025


Jumaat

Hulu Bernam

8.51 pagi


Bagaikan tidak percaya berada dalam tahun 2025. Rasanya baru semalam menyambut tahun 2024.

Apa pun diri  sangat bersyukur kerana Allah masih izinkan diri bernafas dan mengharungi segala rutin kehidupan setiap hari. Walaupun hidup sendiri dengan anak-anak jauh mengejar impian masing-masing namun diri tetap bersyukur. Bertahun lamanya menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal setiap hari sibuk dengan tugas utama dan hal-hal lain.

Biarpun sendirian namun Tuhan senantiasa ada cara memudahkan  perjalanan kehidupan ini. Masalah atau ujian tidak pernah sunyi. Tetapi itulah kekuatan meneruskan perjalanan walau teramat perit.

Berasa lelah, kecewa dan marah itu perkara biasa. Dan manusia bukanlah sempurna dan tidak akan pernah sempurna. Terlalu banyak kekurangan. Kekurangan itulah yang saling melengkapkan sesama sendiri. Saat sakit, jatuh maka berehatlah sebentar. Usah dibandingkan perjalanan kehidupan sendiri dengan orang lain.

Kerana Allah menjadikan seseorang dengan lain dengan sikap berbeza,dan pastinya kehidupan lagilah banyak perbezaannya. Jika ditakdirkan sama, itu hanya secara kebetulan sahaja. Yang pasti jangan lelah melangkah, bangkitlah kembali berjuang kerana ada insan kesayangan yang senantiasa memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

Untuk tahun 2025, hanya mampu berserah, berusaha sebaik mungkin, berubah secara perlahan-lahan mengikut kesesuaian sendiri dan tenang saat berdepan ujian dan bersabar ketika sakit dan sebagainya. Sebagaimana tahun 2024, tidak terlalu mengharapkan sesuatu hanya terus menikmati segala proces kehidupan, berdoa dan lihatlah bagaimana Allah membalasnya dengan sesuatu lebih bermakna.

Semoga tahun 2025 diri dapat berusaha dengan lebih gigih, bersabar dengan apa saja ujian dan istiqamah menjalankan amal ibadah dan terus melangkah sehingga tercapai segala apa yang diimpikan selama ini.


Sekian 

Tuesday, 10 December 2024

HANYA MAHU BEREHAT SEBENTAR


Rabu

12 Disember 2024

Hulu Bernam, Selangor


Alhamdulilah syukur atas segala rahmat dari-Nya. Berehat pada hari cuti am memang sangat jarang. Hanya ketika ada hal dan sebagainya maka memang terpaksa juga bercuti. Tetapi hari ini agak berbeza. Memandangkan sudah hampir seminggu tidak bercuti dan memberi laluan kepada rakan sekerja kerana ada masalah peribadinya jadi hari ini berehat sebentar dari bekerja. Bekerja tanpa cuti rehat sangatlah memenatkan.

Bekerja di bidang F&B dalam sebuah sektor perkhidmatan bukanlah perkara mudah. Hari cuti umum begini memang senantiasa saja tumpuan orang ramai. Tambahan pula tempat bekerja di sebuah hentian rehat dan rawat.

Apa pun di sinilah tempat mencari sesuap nasi dan rezeki halal. Demi kelangsungan hidup dari sebuah perpisahan dan berusaha gigih membesarkan kedua anak tersayang. Alhamdulilah anak lelaki sulung telah bekerja sebagai seorang pegawai imigresen manakala adik masih belajar di kolej Matrikulasi Banting Selangor.

Tidak lama lagi adik menamatkan pembelajaran dan kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Yang pasti setiap perjalanan ini bukanlah mudah. Bergelar seorang ibu tunggal cabaran sebagai seorang ibu dan ayah sangat berat. Adakala berasa lemah dan sesekali diuji dengan kesakitan tetapi keadaan itu tidak boleh terlalu lama. 

Anak lelaki bertugas di jabatan imigresen Johor Bharu dan adik di Banting dan kini tinggallah seorang diri di rumah di temani akan kucing-kucing kesayangan. Adakalanya kucing-kucing ini nakal dan buat perangai tetapi sangatlah faham bahawa kucing hanyalah seekor binatang dan tidak berfikir waras sebagaimana manusia.


Hari ini hanya mahu berehat, mengemas, membaca serba sedikit dan menjalankan perniagaan secara dalam talian. Semoga ada rezeki sebanyak Rm500 walau semua seakan mustahil. Yang pasti terus berusaha sebaik mungkin supaya perniagaan secara dalam talian ini dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan utama.

Hanya kepada Allah jualah memohon doa dan harapan agar semua berjalan lancar dan dimudahkan. Setiap apa yang diri ini usaha lakukan adalah semata demi anak-anak tersayang juga masa depan mereka berdua. Aamiin Ya Rabilaminn.

Sekian.

 

Monday, 2 December 2024

AKHIRNYA

 

3 Disember 2024

Rabu

Hulu Bernam, Selangor


Bergelar seorang ibu tunggal dan mengambil keputusan nekad mengorbankan kebahagiaan sendiri demi anak-anak bukanlah perkara mudah. Namun demi kebahagiaan dan masa depan, maka inilah keputusan paling terbaik. Sejujurnya bukan mudah. Tetapi Allah selalu ada dan memudahkan setiap langkah. Bermula dengan membesarkan anak-anak dari sekolah rendah sehinggalah masing-masing melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan kini anak sulung telah pun bekerja sebagai seorang pegawai imigresen di tambak Johor.

Kini dia bertugas di sana dan bermulalah kehidupan sebagai seorang perantau. Adiknya kini sedang melanjutkan pengajian di kolej matrikulasi Banting Selangor, baru sahaja selesai peperiksaan semesternya. Semesternya bakal berakhir pada bulan 6 dan seterusnya melanjutkan pelajaran pula ke peringkat ijazah.

Sementara diri sendiri masih lagi bekerja di sebuah hentian rehat di samping berniaga secara sampingan sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan dan memenuhkan tabung simpanan. Disebabkan sibuk mengurus kehidupan, masa berlalu sangat cepat dan tidak sempat memikirkan perkara yang sudah lama berlalu. Sesekali teringat juga kisah lalu. Kisah bagaimana diri bangkit membina kembali kehidupan bersama dengan anak-anak. Ketika itu tiada sesiapa faham situsai yang kita lalui. Tidak kurang juga berdepan masyarakat dengan pemikiran masih di takuk lama. Memandang gelaran ibu tunggal rendah dan berasa terancam bimbang suami sendiri tergoda dengan seorang ibu tunggal. Padahal bukan semua ibu tunggal begitu. Ada sesetengahnya lebih selesa membesarkan anak sendirian sehinggalah anak-anak dewasa dan ada kehidupan sendiri. 

Sesetengahnya bertemu jodoh kembali tetapi terpulanglah pada pendirian ibu tunggal itu sendiri.

Hakikatnya kehidupan sebagai seorang ibu tunggal tidaklah mudah. Memegang peranan seorang ibu dan ayah sekaligus, bekerja segigih mungkin dan terpaksa meninggalkan anak-anak sendirian demi menyara keluarga sendiri. 

Syukur juga kepada Allah kerana direzekikan dengan keluarga juga adik-beradik yang tidak pernah jemu membantu dari segi sokongan dan juga kewangan. Dalam masa yang sama abah dan juga mak cik senantiasa memberi sokongan dalam setiap apa yang diri ini lakukan.

Alhamdulilah. Akhirnya berjaya juga sampai ke tahap ini walaupun menjalani sebuah kehidupan serba sederhana dan berusaha gigih untuk memiliki rumah sendiri. Kelak anak lelaki juga bakal mendirikan rumahtanggan dan berdoa semoga Allah mudahkan dan bahagia bersama pasangan hinggalah ke jannah nanti.




HARGAILAH SEBUAH RUMAHTANGGA

  Semakin hari semakin tidak faham diri ini sebagai seorang wanita dan juga pernah bergelar seorang isteri satu masa dahulu. Berusaha juga m...