Tuesday, 2 December 2025

HARGAILAH SEBUAH RUMAHTANGGA

 


Semakin hari semakin tidak faham diri ini sebagai seorang wanita dan juga pernah bergelar seorang isteri satu masa dahulu. Berusaha juga memahami apakah yang seorang lelaki bernama suami mahukan dalam sebuah rumahtangga. Apakah hanya sekadar layanan nafsu, sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun suami. Melalui permerhatian sebagai seorang ibu tunggal adakala bertembung dengan suami-suami yang agak liar ini sangatlah menakutkan. 

Bukanlah semua, ada juga suami yang masih lagi menjalankan tanggungjawab yang baik dan menghormati isteri serta dapat menerima segala kekurangan si isteri seikhlas mungkin. Terserempak dengan lelaki bernama suami yang gemar menjamu mata memandang wanita lain penuh nafsu itu yang merisaukan. Jika dilihat ada rumahtangga yang pada pandangan mata seorang wanita khilaf ini bagaikan lengkap sebagai sebuah rumahtangga impian ramai wanita,

Mempunyai isteri cantik, berjawatan baik dan berpendidikan tinggi. Isteri pula berasal dari sebuah keluarga kaya dan ada segalanya. Tetapi tetap juga si suami seolah melihat wanita lain bagaikan tidak pernah berjumpa dengan seorang wanita. Pengalaman sendiri juga sepanjang bekerja sebagai seorang pembantu gerai, selalu berjumpa dengan lelaki-lelaki begini. Paling menyedihkan ada yang sudah berusia juga mempunyai cucu-cicit ramai.

Betapa mudahnya seorang lelaki bernama suami lupa akan isteri mereka di rumah. Senantiasa tidak berpuas hati layanan isteri dengan alasan isteri sudah berumur, menoupse, sibuk banyak kerja dan lain-lain lagi. Pernah terfikir ke walau sesaat jika suami jatuh sakit, pasti isteri menjaga suami sepenuh hati dan sanggup berkorban apa saja. Bila suami sudah sihat kembali membuat onar tanpa ada perasaan bersalah. 

Itulah yang diri ini semakin tidak faham. Paling tidak boleh diterima meletakkan alasan nafsu sebagai sebuah jaminan kebahagiaan dalam rumahtangga masing-masing. Maksudnya, isteri sudah lagi tidak mampu melayan tuntutan nafkah batin kepada suaminya. Mulalah pihak suami sibuk ke sana sini memasang umpan ' memancing' ikan yang baru. Namun tidak semua perkahwinan baru itu memenuhi apa yang seorang suami mahukan. Malah menjadi satu bebanan pula kepada suami kerana terpaksa asyik menjaga hati iseri barunya itu.

Akibatnya kucar kacirlah sebuah rumahtangga. Hancur berkecai dalam usia suami dan isteri semakin bertambah, Terakhir tinggallah suami semakin lanjut usia dan sakit juga tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan lagi.

Walaupun tidak semua rumahtangga begitu, tetapi itulah hakikatnya. Sepatutnya semakin bertambah usia sebuah rumahtangga makin menghargai sesama sendiri kerana pasangan masing-masing bukanlah lagi muda dan bertenaga. Bertahun melayari sebuah rumahtangga patutnya semakin cerdik dan matang dalam memahami istilah sebuah rumahtangga. Diri bukanlah seorang pakar motivasi, tetapi rasanya tidak salah memberi sedikit pandangan berdasarkan apa yang berlaku dalam rumahtangga sendiri. 

Kurang berkomunaksi sesama sendiri, kurang memberi perhatian, berbincang dan kurang menjalankan aktviti bersama. Maka runtuhlah sebuah rumahtangga yang dibina atas nama cinta dan juga kasih sayang. Sebagai seorang wanita senantiasa berharap lagi berdoa agar tiada lagi wujud kejadian seumpama lagi.

Hargailah sebuah rumahtangga dan belajarlah memahami pasangan masing-masing. Semakin bertambah usia suami dan isteri maka banyaklah bersabar melayani kehendak pasangan. Saling bertolak-ansur, saling membantu dan berterus teranglah jika ada yang tidak berkenaan di hati masing-masing. 


Sekian
Sariah 
Hulu Bernam 
10 malam
2 Disember 2025

No comments:

Post a Comment

HARGAILAH SEBUAH RUMAHTANGGA

  Semakin hari semakin tidak faham diri ini sebagai seorang wanita dan juga pernah bergelar seorang isteri satu masa dahulu. Berusaha juga m...