Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik. blogspot.com
Assalamualaikum. Terasa lama benar tidak menulis sebarang entri baru di blog kesayangan ini. Rasa kesal menyelebungi hati kerana membiarkan blog ini sepi seketika dek terlalu sibuk dengan tugasan yang lain. Apa pun rasa nekad di pasakkan dalam hati agar berusaha sedaya upaya untuk kembali menulis entri baru yang lebih memberi manfaat dan juga rasa segar kepada para pembaca yang singgah membaca di blog ini.
Cuti panjang selama seminggu bersempena dengan sambutan tahun baru Cina telah pun berakhir. Pagi ini anak-anak tersayang bakal memulakan kembali seisi persekolahan seperti biasa. Walaupun sekarang anak-anak syurga masih belum bangun, namun sebagai ibu saya pasti rutin harian mereka setiap hari pasti sibuk dengan pelbagai aktiviti persekolahan.
Tahun ini anak teruna tersayang bakal menduduki peperiksaan SPM. Dah besar panjang rupanya si abang ini dan semakin hari makin dewasa dan matang dalam mengharungi pelbagai dugaan dan juga rintangan. Setiap hari tidak pernah lekang di bibir ini menitipkan doa buat kedua buah hati tersayang dalam melayari bahtera kehidupan ini.
Solat, zikir dan doa adalah kekuatan yang paling utama dalam diri seorang mukmin. Maka hanya itulah bekalan yang selalu dipesan kepada anak-anak tersayang agar tidak sesekali meninggalkannya. Permulaan yang baru bagi suatu hari yang baru dan nekad hanya akan mengutamakan apa Allah suka daripada apa yang hambanya suka.
Utamakan dan dahulukan hanya apa yang Allah suka hambanya buat daripada asyik memikirkan apa yang tidak sepatutnya. Belajar untuk lebih banyak bersyukur dan mensyukuri segala nikmat yang Allah kurniakan kerana esok lusa belum tentu pasti kita akan menikmatinya lagi.
Itulah yang selalu saya lakukan setiap kali bangun di pagi hari. Mengucap syukur dan berterima kasih kepada Allah atas segala rahmat yang telah diberi selama ini. Sebentar lagi azan subuh akan berkumandang. Maka cukuplah setakat ini entri yang baru dan insha Allah, saya akan usahakan untuk menulis entri-entri baru yang lebih segar dan berfaedah kepada semua.
Salam ceria dari saya dan semoga apa yang dirancang oleh semua para sahabat dan sesiapa sahaja yang singgah membaca blog ini akan dipermudahkan segala urusannya.
Aamiin.
Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik
No comments:
Post a Comment