Sunday 18 August 2019

KENANGAN DI HARI RAYA AIDILADHA


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://www.facebook.com/sariahawangsenik



Alhamdulilah. Dah pun selesai seminggu anak-anak menghabiskan cuti di rumah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha. Tahun ini seperti tahun-tahun yang sebelum saya dan anak-anak tidak pulang ke kampung. 

Saya memberi peluang kepada anak-anak pulak untuk meraikan Hari Raya Aidiladha bersama dengan keluarga sebelah abahnya. Walau telah lama berpisah, saya tetap memberi kebebasan kepada anak-anak untuk mengenali semua ahli keluarga besar sebelah abahnya.

Namun tahun ini ada sedikit kejutan atau memang Allah telah aturkan sebegitu cantik kejadiannya. Secara umumnya saya dan bekas suami telah agak lama berpisah. Sejak kami berpisah, belum pernah lagi kami bercakap secara berhadapan. Selama tempoh itu juga saya agak sibuk dengan urusan kerja, anak-anak, perniagaan dan juga aktiviti penulisan saya.

Apa pun saya tetap juga berusaha memberikan satu kehidupan yang terbaik buat anak-anak tersayang. Syukur jugalah kepada Allah anak-anak makin sibuk dengan pembelajaran dan juga mencapai cita-cita mereka.

Hari raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada hari Ahad. Memandangkan saya tidak dapat bercuti dan kini bekerja di sebelah pagi maka saya membuat keputusan untuk masuk agak lewat sedikit iaitu selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana teruja hati ini nak menunaikan solat hari raya Aidiladha dengan anak-anak tersayang.

Menjelangnya pagi raya Aidiladha, saya dah sabar-sabar nak kejutkan anak-anak dan mengajak mereka bersolat hari raya Aidiladha.

Secara kebetulan, anak dara sedang uzur dan hanya saya dan anak bujang sahaja yang pergi bersolat hari raya Aidiladha. Kata anak teruna dia akan menghantar abahnya dulu ke masjid untuk bersolat hari raya aidiladha sebelum kembali semula ke rumah dan mengambil saya untuk ke masjid pulak.

Dengan penjelasan anak bujang itu, saya menyuruh anak bujang selesaikan apa yang terpenting dahulu dan mengalah kerana tidak mahu menyusahkan anak bujang nan seorang ini.
Setelah selesai dia menghantar abahnya ke masjid, dia terus menjemput saya pula untuk masjid berhampiran untuk tunaikan solat hari raya Aidiladha. Buat pengetahuan semua di daerah ini ada dua buah masjid . Satu masjid yang agak lama dan dah berusia hampir 100 tahun. Juga ada sebuah masjid baru yang berdekatan dengan sebuah sekolah rendah agama dan juga balai polis.

Kebiasaannya saya selalu ke masjid yang baru. Kerana kedudukannya berdekatan dengan jalan raya dan kawasan perumahan. Masjid yang lama pula berhadapan dengan lampu isyarat dan juga jalan besar menghala ke pekan. Jujur sejak menetap di daerah ini memang saya tidak pernah bersolat di masjid lama ini.

Tapi itulah kuasa Allah dalam mengerakkan hati manusia termasuk anak bujang saya ini. Dia membawa saya bersolat hari raya Aidiladha di masjid lama dan masjid yang sama bekas suami bersolat hari raya Aidiladha. Perasaan gementar pada hari itu hanya Allah yang tahu. Kata anak bujang dia malas berulang alik dari masjid baru dan juga masjid yang bersejarah itu. 

Dalam hati saya berdoa agar bekas suami tidak salah faham ataupun mengesyaki apa-apa. Masjid kan tempat bersolat dan niat saya hanyalah untuk bersolat hari raya sahaja dan tidak lebih dari itu. Ajaibnya kuasa Allah dari mula bersolat raya hinggalah selesai, tidak Allah nampakkan bekas suami di hadapan saya. 

Mungkin sebab terlalu ramai dan juga setelah selesai, saya mesti balik awal ke rumah untuk bersiap-siap pergi kerja. Kalaupun bekas suami nampak, biarlah. Rumah Allah, semua orang berhak untuk bersolat di masjid lama tersebut. 

Sempat juga anak bujang bertanya, sama ada saya ok ataupun tidak. Dalam selamba dan hati berdebar-debar, saya kata ok dan terus mendiamkan diri sahaja. Bukan marah, sebaliknya agak terkejut dengan apa yang dilakukannya. Anak bujang pulak hanya tersenyum dan mungkin juga hatinya berkata akan sesuatu.

Itulah satu kenangan yang paling saya tidak sangkakan. Agak terkejut dan saya berusaha berfikir hanya yang bebaik sahaja. Dan dalam masa yang sama tidak mahu menyusahkan anak bujang tersayang.

Balik ke rumah saya ceritakan pada anak dara pula. Dia pun hanya tersenyum dan katanya apa yang berlaku adalah di luar jangkaan. 

Segala apa yang kongsikan ini, adalah satu kejutan dan kenangan di hari raya Aidiladha. Mungkin juga Allah sedang aturkan sesuatu dan berdoa semoga hanya yang baik untuk saya dan anak-anak tersayang.

Sekian
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...