3 Disember 2024
Rabu
Hulu Bernam, Selangor
Bergelar seorang ibu tunggal dan mengambil keputusan nekad mengorbankan kebahagiaan sendiri demi anak-anak bukanlah perkara mudah. Namun demi kebahagiaan dan masa depan, maka inilah keputusan paling terbaik. Sejujurnya bukan mudah. Tetapi Allah selalu ada dan memudahkan setiap langkah. Bermula dengan membesarkan anak-anak dari sekolah rendah sehinggalah masing-masing melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan kini anak sulung telah pun bekerja sebagai seorang pegawai imigresen di tambak Johor.
Kini dia bertugas di sana dan bermulalah kehidupan sebagai seorang perantau. Adiknya kini sedang melanjutkan pengajian di kolej matrikulasi Banting Selangor, baru sahaja selesai peperiksaan semesternya. Semesternya bakal berakhir pada bulan 6 dan seterusnya melanjutkan pelajaran pula ke peringkat ijazah.
Sementara diri sendiri masih lagi bekerja di sebuah hentian rehat di samping berniaga secara sampingan sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan dan memenuhkan tabung simpanan. Disebabkan sibuk mengurus kehidupan, masa berlalu sangat cepat dan tidak sempat memikirkan perkara yang sudah lama berlalu. Sesekali teringat juga kisah lalu. Kisah bagaimana diri bangkit membina kembali kehidupan bersama dengan anak-anak. Ketika itu tiada sesiapa faham situsai yang kita lalui. Tidak kurang juga berdepan masyarakat dengan pemikiran masih di takuk lama. Memandang gelaran ibu tunggal rendah dan berasa terancam bimbang suami sendiri tergoda dengan seorang ibu tunggal. Padahal bukan semua ibu tunggal begitu. Ada sesetengahnya lebih selesa membesarkan anak sendirian sehinggalah anak-anak dewasa dan ada kehidupan sendiri.
Sesetengahnya bertemu jodoh kembali tetapi terpulanglah pada pendirian ibu tunggal itu sendiri.
Hakikatnya kehidupan sebagai seorang ibu tunggal tidaklah mudah. Memegang peranan seorang ibu dan ayah sekaligus, bekerja segigih mungkin dan terpaksa meninggalkan anak-anak sendirian demi menyara keluarga sendiri.
Syukur juga kepada Allah kerana direzekikan dengan keluarga juga adik-beradik yang tidak pernah jemu membantu dari segi sokongan dan juga kewangan. Dalam masa yang sama abah dan juga mak cik senantiasa memberi sokongan dalam setiap apa yang diri ini lakukan.
Alhamdulilah. Akhirnya berjaya juga sampai ke tahap ini walaupun menjalani sebuah kehidupan serba sederhana dan berusaha gigih untuk memiliki rumah sendiri. Kelak anak lelaki juga bakal mendirikan rumahtanggan dan berdoa semoga Allah mudahkan dan bahagia bersama pasangan hinggalah ke jannah nanti.
No comments:
Post a Comment