Monday, 16 November 2015

HUJAN LEBAT LAGI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Hujan rahmat turun mencurah-curah lagi. Alhamdulilah, inilah saat yang paling sesuai untuk berdoa atas apa sahaja hajat yang ingin dipinta. Sejujurnya, hari ini sang mentari langsung tidak kelihatan. Hanya sekejap sahaja sinarannya menyembah bumi.

Apa pun hati berasa sangat lega kerana dengan turunnya hujan yang lebat ini telah membuatkan persekitaran alam bebas daripada masalah jerebu. Apa pun dengan hujan yang lebat sejak daripada tengahari tadi, telah membuatkan suasana alam dingin dan juga nyaman.

Bila hujan macam ini, telah membuatkan perut senantiasa dalam keadaan yang lapar. Sekejap lagi saya bercadang untuk rehat sebentar sebelum memulakan tugasan saya semula.


Sunday, 15 November 2015

KAMU TETAP ANAK MANJA IBU

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Nur Damia Rifqah Binti Ahmad Roslan.
Itulah bayi comel yang lahir sepuluh tahun yang lalu. Bayi comel yang hanya seberat 2.5 kg. Sangat ringan berbanding dengan adik beradik yang lain. Petah bercakap sejak kecil dan langsung tidak pelat apabila bertutur bersama dengan sesiapa sahaja. Membesar dengan menyusu sepenuhnya susu ibu, sehingalah kamu berusia 2 tahun setengah. Selama tempoh itulah juga, ibu tidak bekerja dan hanya duduk di rumah menguruskan segala hal ehwal rumahtangga.

Pelbagai dugaan dan rintangan, telah kamu lalui bersama ibu dan juga abang. Walaupun ada luka tercalit jauh disudut hatimu, tidak pernah sesekali kamu jadikannya sebagai alasan untuk tidak mahu dan berjaya dalam apa jua bidang yang kamu ceburi di sekolah.
Malah dengan serba kekurangan itulah, kamu jadikannya sebagai suatu motivasi hebat kepada diri untuk lebih maju dan cemerlang berbanding dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Kecemerlangan di dalam pelajaran seiring dengan kejayan di dalam bidang yang lain juga.

Siapalah sangka disebalik wajah ceria itu, dia tetap rindukan belaian dan kasih sayang seorang ayah. Hanya kerana sebuah kisah duka perceraian membuatkan hubungan ayah dan anak makin jauh terpinggir. Si anak langsung tidak membenci ataupun menjauhkan diri dari si ayah, tetapi entah mengapa si ayah makin menjauhkan diri.

Pasti dia merindukan kehadiran ayah disaat dia meraih kejayaan demi kejayaan. Namun mungkin tinggal angan-angan dan mimpi indah semata.
Bulan berganti bulan dan tahun pun bertukar ganti. Perkara yang sama tetap berlaku dan seakan sukar untuk berubah.

Hanya doa berterusan dipanjatkan semoga hati seorang yang bernama ' abah' akan berubah dan dapat selesaikan semua hutang kasih sayang selama dia membesar. Kuasa dan nikmat Allah tiada siapa yang maha mengetahuinya.
Mungkin detik ini si ayah sedang melalui suatu perubahan dan Allah lebih mengetahuinya apa yang terbaik buat semua hambanya.

Esok hati ini tidak sabar melihat saat dan kenangan manis meraih kejayaan. Semoga semua cita-citanya akan tercapai dan menjadi seorang anak yang taat dan solehah.


MENJELANG HARI ANUGERAH CEMERLANG

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah, tahun ini anak dara tersayang Nur Damia Rifqah, sekali lagi mengkekalkan pencapaiannya yang cemerlang disekolah. Dia masih lagi diantara lima pelajar sedarjahnya yang cemerlang di dalam pelajarannya. Masih lagi mengkekalkan kedudukan di antara lima pelajar yang mempunyai pencapaian yang baik di sekolah.

Dia juga aktif di dalam bidang sukan dan juga beberapa persatuan di sekolahnya. Tiada hadiah yang istimewa yang dipinta melainkan hanya diminta dibelikan sebua jam tangan. Walaupun dia membesar tanpa kasih sayang seorang yang bergelar ayah, namun dia tidak pernah berasa sebarang kekurangan di dalam dirinya. Malah lebih baik dan juga bahagia menjalani kehidupan bersama-sama abang, mak saudaranya yang lain dan juga aki dan wannya di kampung.

Bukan tidak pernah terjejas pelajarannya di sekolah akibat daripada krisis perceraian yang dialami oleh kedua orang tuanya. Damia membesar sebagai seorang anak yang berdikari dan berani menghadapi apa sahaja rintangan yang ada. Sebagai seorang ibu, saya tidak pernah langsung menghalang dirinya serta abangnya untuk pergi dan menghabiskan masa bersama ayahnya. Namun ayahnya terlalu sibuk dan amat jarang sekali meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Esok adalah hari anugerahnya di sekolah kebangsaan, manakala pada hari Khamis pula adalah hari anugerah kecemerlangan di sekolah agama pula. Di setiap perjalanan dan langkahnya dalam menuju kejayaan, saya tidak pernah sesekali letih untuk berdoa untuk dia dan juga abangnya. Membesar sebagai anak-anak mangsa perceraian bukanlah perkara yang mudah. Mujur juga dia dan abangnya sangat memahami dan berusaha mendapatkan sesuatu dengan berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain.


MENGHADIRI WALIMAHTURUS

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamualaikum.
Alhamdulilah. Syukur, selesai sudah menghadiri sebuah majlis perkahwinan saudara mara sebelah arwah ibu. Sebenarnya agak lama juga tidak berjumpa dengan mak saudara sebelah arwah emak ini, kerana saya hanya sempat bertemu dengannya beberapa kali lantaran dia juga sibuk bekerja dan saya juga sibuk dengan tanggungjawab masing-masing.

Majlis perkahwinan ini adalah perkahwinan anak perempuannya yang bongsu kerana seorang lagi anak perempuannya seorang oku dan tidak berapa sihat. Hati saya berasa lega kerana majlis perkahwinan ini diadakan di restoran nelayan yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa dan senang untuk datang dengan pengangkutan awam yang tersedia ada.

Sampai sahaja disana, ada sebuah lagi majlis perkahwinan yang terletak bersebelahan dengan majlis yang sedang diadakan. Saya sempat juga bertemu dengan seorang lagi mak saudara tetapi tidak sempat untuk berjumpa dengan kakak kepada arwah mak saya. Ada juga saudara yang datang jauh dari kampung. Lama juga tidak bertemu dengan mereka semua.

Dahulu sewaktu kecil saya suka menghabiskan masa bermain bersama dengan sepupu-sepupu yang lain dirumah mak saudara sepupu ini. Mandi sungai bersama, makan dan membuat apa sahaja pekerjaan secara berkerjasama. Dan yang paling meriah sekali ialah pada waktu cuti sekolah, dimana semua sepupu-sepupu yang ada pulang bersama-sama ke kampung.
Kini semua itu hanya tinggal kenangan sahaja dan semua sepupu-sepupu saya telahpun berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing.
Lebih kurang beberapa jam bersama dan beramah mesra dengan saudara yang ada, saya dan adik-adik mengambil keputusan untuk pulang ke rumah masing-masing. Hati saya pun sangat berpuas hati dan segala yang dirancang berjalan dengan lancarnya.


Thursday, 12 November 2015

JUMAAT LAGI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah.
Pagi yang sangat indah dan nyaman sekali. Pemandangan di langit sungguh cantik dan nyaman sekali. Sesekali kelihatan burung Raja Udang berterbangan mencari rezeki untuk anak-anaknya nanti.

Menyusuri sebuah jambatan yang kecil ini, saya tidak lepaskan peluang untuk berbual-bual bersama anak perempuan tersayang. Betapa saya tetap berbangga dengan segala pretasi pelajaran sekolah yang semakin baik dan cemerlang.

Syukur juga kerana menjadi semakin bijak berfikir dan juga mempunyai pandangan yang tersendiri tentang sesuatu hal. Hari ini adalah hari Jumaat penghulu segala hari dan juga patut mengamalkan segala amalan yang sunat pada pagi Jumaat yang barakah ini.

Insha Allah segala urusan para sahabat, saudara mara dan juga sesiapa sahaja akan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segalanya.

#AkademiBekerjaDariRumah
#Dropshipbukuilimiah

Wednesday, 11 November 2015

6 TIPS KEKAL POSITIF WALAU DI DALAM KEADAAN NEGATIF

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah.
Hujan turun dengan lebatnya semalam membuatkan saya berasa sejuk dan malas hendak bergerak. Selesai habis bekerja pukul 11.30 malam, saya terus sahaja pulang ke rumah dan juga selesaikan apa yang patut dahulu.

Setelah selesai melihat kerja sekolah anak-anak, saya terus menonton rakaman secara langsung Irfan Khairi tentang motivasi perniagaan secara online menerusi internet. Saya gemar menonton semua rakaman beliau, setiap kali berasa ' down' ataupun kurang bersemangat ataupun sedih tentang sesuatu perkara.

Saya menonton rakaman tanyaIK live daripada facebook beliau. Tajuk motivasi beliau malam ini ialah " 6 Tips Kekal Positif Walau Dalam Keadaan Negatif ".
Sebenarnya Irfan Khairi mempunyai ramai followernya yang tersendiri. Beliau juga mempunyai kelasnya yang tersendiri bagi yang betul-betul serius hendak mempunyai perniagaan secara online.

Antara 6 tips yang sempat saya catatkan semasa menonton rakaman semalam ialah :
@@@ Cari sesuatu yang positif walaupun berada di dalam keadaan yang sangat negatif. Cubalah bertenang, releks dan cari peluang disebalik semua masalah yang ada. Jangan terlalu fikirkan masalah hinggakan semua peluang yang ada menutup mata anda.
@@@ Persekitaran yang positif.
Jauhkan diri anda daripada rakan-rakan yang selalu bercakap hal-hal yang tidak berfaedah dan tidak menuju ke arah kebaikan.
@@@ Jangan perbesarkan hal yang kecil. Elakkan daripada jadikan perkara yang kecil menjadi lebih besar.
Contoh, apabila diri di dalam keadaan yang sangat negatif jangan sesekali membaca ataupun mendengar perkara-perkara yang membuat diri rasa sedih dan marah.
Usahalah perbanyakkan zikir, solat sunat ataupun mendengar bacaan ayat-ayat suci al-quran.
@@@ Positifkan orang lain.
Cuba berusaha untuk mengembriakan orang lain. Sesekali dengarkanlah masalah orang lain. Walaupun anda tidak mampu selesaikan masalahnya, namun sekurang-kurangnya dapat membuat sahabat anda rasa selesa dan juga lega.
@@@ Terima kritikan.
Terima sahaja apa sahaja kritikan daripada orang lain dengan jujur dan.ikhlas. Untuk mencapai sesebuah kejayaan memang perlukan banyak kritikan. Bersabarlah.
Dan makna SABAR itu juga ada maknanya yang tersendiri.
S - Siapa yang memberi kritikan.
A - Apa niat seseorang apabila memberikan kita satu kritikan.
B - Baik diri. Perbaiki kelemahan yang ada di dalam diri anda.
A - Abaikan sahaja sebarang kritikan jika ianya tidak menuju ke arah kebaikan.
R - Relekslah ' bro' atau ' sis'. Semua manusia tidak semuanya sempurna.
@@@ Positif di awal pagi.
Sebelum melelapkan mata, maafkanlah semua orang yang. Jangan sesekali mulakan pagi anda dengan sesuatu yang negatif. Apabila berada di dalam keadan yang negatif di awal pagi, maka seluruh hari anda akan selamanya negatif.

Itu adalah nota-nota yang sempat saya catat semasa menonton rakaman beliau. Saya juga sangat teruja, rupanya dia juga ada mengadakan kelas secara online untuk para pelajarnya yang tinggal luar daripada kawasan Kuala Lumpur.
Mungkin ada yang kurang semasa saya catatkan nota ataupun ada banyak lagi yang perlu ditambah. Tetapi hanya ini satu-satunya cara mengekalkan diri dalam keadaan positif tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu bahan yang berunsur motivasi.

Nota : Irfan Khairi juga ada membuat rakaman ringkas iaitu Tips Motivasi Pantas yang rakamannya hanya beberapa minit sahaja.


Tuesday, 10 November 2015

MUSNAH LAGI MAHLIGAI ITU

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamualaikum.
Alhamdulilah. Syukur atas segala rahmat yang Allah kurniakan. Masa berlalu begitu pantas dan semakin lama semakin banyak rintangan yang harus dilalui dengan penuh kesabaran.

Hari Isnin yang selepas, sekali lagi saya mengemukakan sebuah lagi kes tuntutan di mahkamah syariah. Pada pagi itu kes tuntutan tunggakan nafkah anak sekali lagi disebut di mahkamah syariah. Saya tahu dan faham, memang bukanlah perkara yang mudah untuk melalui semua process ini. Namum demi untuk mendapatkan hak anak yang sepatutnya, saya perlu dan merasakan bertanggungjawab untuk melakukannya.

Semuanya berjalan dengan lancar. Dan hakim telah pun mendengar fail tuntutan nafkah anak saya. Sementara menunggu giliran kes saya diperdengarkan, terdapat lagi banyak kes-kes perceraian yang difailkan oleh pihak isteri. Ramai pasangan suami dan isteri yang hadir ke mahkamah atas tuntutan cerai dan juga pelbagai masalah yang lain. Satu persatu kes perceraian diperdengarkan dan hati saya semakin berasa sesak dan sayu. Sayu apabilasaat si suami melafazkan cerai terhadap si isteri. Ternyata masalah diantara mereka tidak dielakkan lagi dan rumahtangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi. 

Perkahwinan mereka bukanlah setahun dua namun ada yang sudah sampai mencecah puluhan tahun. Sayang seribu kali sayang pasangan ini sudah membuat yang terbaik di dalam setiap rumahtangga mereka. Si isteri ada yang sudah berkorban daripada yang sepatutnya. Namun si suami tidak sedar dan masih suka dan sibuk hal yang lain. 


Kemesraan antara mereka juga menjadi semakin renggang dari sehari ke sehari. Pada pagi tersebut, ada enam lagi pasangan yang bercerai. Satu lagi pasangan yang sedang di dalam process perceraian kerana mendakwa si suami memukul dan juga menyakiti si isteri.

Begitu sukarnya mengukuhkan hubungan sebagai suami dan isteri walaupun telah berpuluh tahun hidup bersama. Ternyata selama mana sesebuah perkahwinan bukanlah jaminan bahawa rumahtangga akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Untuk menjamin sebuah rumahtangga itu bakal kekal hingga ke akhir hayat, si suami dan juga is isteri haruslah lebih meluangkan masa bersama dan haruslah senantiasa memahami antara satu sama yang lain. 

Walaupun rumahtangga saya juga berakhir dengan sebuah perceraian yang sama sekali tidak diduga, namun saya berusaha sebaik yang mungkin menerima semua ketentuan dengan hati yang redha dan juga ikhlas. Menyalahkan diri sendiri setiap masa bukanlah jalan yang terbaik untuk menghadapi sebuah perceraian. Tidak mahu bersedih terlalu lama dan berusaha membina kembali kehidupan bersama-sama anak-anak tersayang.

Giliran kes saya telah pun dipanggil. Saya sedar perjalanan kes ini masih lagi panjang dan.mungkin akan mengambil masa bertahunlamanya. Walau hati berdebar dan melalui semua saat ini secara bersendirian saya pasti, Allah akan sediakan jalan yang sebaik-baiknya buat saya dan anak-anak.


Coretan Keinsafan 

TENANGLAH BUAT SEKETIKA

Maka berakhirlah bulan Syawal 2026 dengan rasminya. Sesungguhnya tahun ini adalah tahun ke dua menyambut hari raya Aidilfitri tanpa anak lel...