Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Nur Damia Rifqah Binti Ahmad Roslan.
Itulah bayi comel yang lahir sepuluh tahun yang lalu. Bayi comel yang hanya seberat 2.5 kg. Sangat ringan berbanding dengan adik beradik yang lain. Petah bercakap sejak kecil dan langsung tidak pelat apabila bertutur bersama dengan sesiapa sahaja. Membesar dengan menyusu sepenuhnya susu ibu, sehingalah kamu berusia 2 tahun setengah. Selama tempoh itulah juga, ibu tidak bekerja dan hanya duduk di rumah menguruskan segala hal ehwal rumahtangga.
Pelbagai dugaan dan rintangan, telah kamu lalui bersama ibu dan juga abang. Walaupun ada luka tercalit jauh disudut hatimu, tidak pernah sesekali kamu jadikannya sebagai alasan untuk tidak mahu dan berjaya dalam apa jua bidang yang kamu ceburi di sekolah.
Malah dengan serba kekurangan itulah, kamu jadikannya sebagai suatu motivasi hebat kepada diri untuk lebih maju dan cemerlang berbanding dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Kecemerlangan di dalam pelajaran seiring dengan kejayan di dalam bidang yang lain juga.
Siapalah sangka disebalik wajah ceria itu, dia tetap rindukan belaian dan kasih sayang seorang ayah. Hanya kerana sebuah kisah duka perceraian membuatkan hubungan ayah dan anak makin jauh terpinggir. Si anak langsung tidak membenci ataupun menjauhkan diri dari si ayah, tetapi entah mengapa si ayah makin menjauhkan diri.
Pasti dia merindukan kehadiran ayah disaat dia meraih kejayaan demi kejayaan. Namun mungkin tinggal angan-angan dan mimpi indah semata.
Bulan berganti bulan dan tahun pun bertukar ganti. Perkara yang sama tetap berlaku dan seakan sukar untuk berubah.
Hanya doa berterusan dipanjatkan semoga hati seorang yang bernama ' abah' akan berubah dan dapat selesaikan semua hutang kasih sayang selama dia membesar. Kuasa dan nikmat Allah tiada siapa yang maha mengetahuinya.
Mungkin detik ini si ayah sedang melalui suatu perubahan dan Allah lebih mengetahuinya apa yang terbaik buat semua hambanya.
Esok hati ini tidak sabar melihat saat dan kenangan manis meraih kejayaan. Semoga semua cita-citanya akan tercapai dan menjadi seorang anak yang taat dan solehah.
No comments:
Post a Comment