Tuesday 7 November 2017

PENGALAMAN HIDUP SUMBER INSPIRASI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
Http://sariahawangsenik.blogspot.com
Kata orang semakin jauh perjalanan, maka makin banyaklah pengalaman hidup kita ini.
Mungkin ada benarnya juga fakta ini.
Rasa nak biasakan diri Kak Longlah, biar entri ini harapan dapat memberi tindak balas yang lebih positif.
Sebelum tu, Al-Fatihah buat diri sendiri dan juga semua insan-insan tersayang yang sangat bermakna dalam hidup Kak Long ini.
Jujurnya, Kak Long ini bukanlah berpelajaran tinggi sangat. Belajar pun hanya setakat sampai SPM je. Cuma satu, Kak Long sangat suka menulis, melukis dan juga membaca. Masa sekolah dulu, Kak Long suka sangat habiskan masa dengan membaca buku Novel.
Selalunya masa itu, yang jadi pilihan novel Kak Long ialah kisah kehidupan dan kisah cinta. Jadi tidak hairanlah hobi suka membaca ini, anak lelaki dan anak perempuan Kak Long pun dah mewarisinya dari Kak Long.
Waktu itu, masa form 4 dan 5 , Kak Long berada dalam kelas aliran Sastera. Jadi masa buat karangan Bahasa Malaysia dan masa nak reka puisi, lagilah jadikan Kak Long makin kreatif.
Rasa menyesal pulak masa itu tidak sambung belajar dalam bidang yang Kak Long suka. Sekarang kalau nak sambung belajar, entahkan boleh atau tidak agaknya.
Tapi kalau tidak cuba, manalah kita tahu, kan?
Insha Allah rasanya Kak Long nak cuba jugak satu hari nanti.
Ok. Berbalik kepada kisah hidup Kak Long ini tidaklah seindah mana. Dan ada juga masa yang sangat menguji kesabaran Kak Long ini. Kak Long bernikah pada usia yang agak muda. Tidak silap Kak Long masa itu, dalam lingkungan umur 20 tahun.
Memandangkan arwah emak Kak Long masa itu baru saja beberapa tahun meninggal dunia, jadinya abah Kak Long risau akan diri Kak Long pada masa itu. Dahlah itu Kak Long pulak satu pejabat dengan bekas suami Kak Long.
Bagi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku, maka kedua belah pihak bersetuju dan Kak Long dan bekas suami disatukan dalam majlis perkahwinan yang amat sederhana.
Dan beberapa tahun selepas itu, Kak Long pun dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan yang sangat comel.
Ingatkan semuanya ok saja selepas kelahiran puteri sulong Kak Long tu.
Rupanya tidak sama sekali.
Dalam usianya yang tidak sampai sebulan lebih pada waktu itu, puteri sulung Kak Long disahkan menghidap penyakit Biliary Artesia. Itu nama saintifiknya. Atau pun kegagalan fungsi saluran hempedu ke hati dan sebagainya.
Patutlah sejal lahir dia susah nak tidur. Dan asyik menangis saja. Dia terpaksa membuat satu pembedahan yang agak besar untuk membetulkan saluran hempedunya.
Namun semuanya gagal. Satu-satunya cara yang paling terbaik untuk menyelamatkan dia, adalah melalui pembedahan Hati, tapi perlukan kos yang sangat tinggi. Masa itu penyakit ini tidak dikenali sangat.
Hanya beberapa tahun selepas itu sahajalah, wujud pelbagai dana bagi menampung kos pembedahan dan sebagainya. Itu belum lagi dikira kos selepas pembedahan.
Puteri sulung yang Kak Long namakan Siti Nur Balqis akhirnya meninggal dunia juga selepas 3 tahun lebih menanggung penderitaan penyakit ini. Yang pasti banyak perkara yang Kak Long belajar daripadanya.
Masih ingat lagi ramalan doktor bahawa arwah hanya mampu bertahun selama setahun lebih sahaja. Tapi disebabkan kuasa Allah mengatasi segala, maka hayatnya menjangkau hinggalah ke usia hampir 3 tahun lebih. Melihat arwah anak menjalani kehidupan seharian sangat menginsafkan Kak Long.
Semangat dia untuk terus hidup sangat tinggi. Dia berjuang habis-habisan melawan penyakitnya. Bahkan dah terbiasa menahan kesakitan setiap kali ambil darah dan cucuk sana sini di badannya yang kecil itu.
Sungguh semua itu bagaikan satu rahmat buat Kak Long. Peluang dari Allah untuk Kak Long membuat pahala sebagai bekalan di akhirat nanti. Dan itulah pengalaman Kak Long yang paling manis dan indah sekali.
Ada banyak lagi episod dugaan dalam kehidupan Kak Long. Bagaimana Kak Long mengorbankan sebahagian dari masa Kak Long untuk menjadi arwah mak mertua yang sedang sakit.
Walaupun tidak sepanjang masa menjaganya, tapi sangat menguji kesabaran Kak Long. Arwah emak mertua meninggal beberapa tahun selepas itu.
Setelah itu Kak Long diuji lagi dengan dugaan yang maha hebat. Satu dugaan yang membuatkan kehidupan Kak Long bertukar 360 darjah.  Dugaan diuji dengan pergolakan rumahtangga yang membawa kepada sebuah perceraian.
Itu semua tidak pernah terfikir yang Kak Long akan alaminya. Fikir Kak Long segala yang Kak Long lakukan dan korbankan dah terlalu banyak. Rupanya sangkaan Kak Long meleset sama sekali.
Bayangkan orang yang Kak Long cinta dan kasih selama ini berpaling tadah atas sebab-sebab yang sangat remeh. Apa pun selama ini Kak Long benar-benar pasrah atas semua dugaan.
Justeru, Kak Long bangkit membina kembali sebuah kehidupan yang baru. Membina kembali segala impian yang telah musnah. Yang pasti semua itu Kak Long lalui bersama-sama  dengan kedua cinta hati Kak Long iaitu anak-anak tersayang. Kini hampir 6 tahun Kak long berstatus seorang ibu tunggal.
Tidak kisah sangat pada status yang Kak Long ada dan tidak juga meraih simpati daripadanya. Sampai bila nak bersedih hati dan terus menyimpan dendam.
Kini semua kisah kehidupan ini benar-benar memberi inspirasi kepada Kak Long untuk terus menulis dan berkongsi di blog kesayangan iaitu Travelog kehidupan.
Semua ini Kak Long lakukan dengan satu harapan. Semoga yang singgah membacanya boleh dijadikan sebagai salah satu panduan kehidupan dan pengajaran.
Yang penting tahu nak buat sesuatu jika tersalaha langkah atau sudah jatuh.
Bangkitlah dengan penuh semangat dan senyumlah bahawa segalanya akan berlalu dan usah gentar saat diduga.
Kerana ada hikmah yang sangat besar menanti disebaliknya.
Percaya dan yakinlah.
Insha Allah.
Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik
Nota : Teringin nak tulis buku sendiri tentang kisah hidup ini. Namun belum ada rezeki dan ilmu yang cukup untuk semua itu. Semoga satu hari termakbul segala doa. Aamiin

No comments:

Post a Comment

SUMBER INSPIRASI

  Jumaat 16 Februari 2024 Alhamdulilah seperti biasa menjalankan segala rutin yang diamanahkan. Bekerja di sebuah r&r terutama pada musi...