Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Assalamulaikum.
Secara jujurnya, hati berasa sangat bersyukur kerana masih berpeluang untuk menulis satu entri yang mungkin boleh memberi manfaat buat semua pembaca-pembaca blog diluar sana. Saya juga tidak berkesempatan menulis kerana terpaksa menyelesaikan beberapa masalah. Tapi itu semua bukanlah bermakna saya tidak berminat untuk menulis lagi. Walau betapa sibuk sekalipun, saya tetap berusaha untuk terus menulis dan juga berkongsi sesuatu yang berfaedah.
Baru sebentar tadi di ruangan status di wall fb saya kongsikan sesuatu tentang kesedaran. Sebenarnya kesedaran itu wujud setelah melalui pelbagai peringkat dugaan yang berlaku di sepanjang kehidupan saya selama ini. Walaupun terpaksa melalui pelbagai kepayahan saya tidak pernah sesekali mengalah menghadapi apa jua masalah. Bermula dengan hak mendapatkan surat perintah mahkamah untuk kes tuntutan nafkah anak yang mengambil masa hampir dua tahun lebih.
Setelah mendapatkan perintah tersebut, saya berfikir semuanya telah selesai dan lega, namun tidak sama sekali. Ternyata ianya adalah satu titik permulaan bagi sebuah lagi perjuangan untuk memastikan pihak bekas suami mematuhi saman yang telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah. Sebelum melakukan ini semua, saya telah pun bersedia dengan pelbagai kemungkinan akibat daripada kes tuntutan tersebut. Memang pihak bekas suami langsung tidak mahu bekerjasama, namun tidak sesekali mematahkan semangat saya. Selama ini saya sedar dimana kekuatan dan juga kelemahan saya. Dengan segala kekuatan itu saya memulakan langkah yang seterusnya.
Untuk memulakan itu semua bukanlah perkara yang mudah. Ianya perlu dilakukan di dalam keadaan tenang dan tidak dipengaruhi oleh semua perasaan negatif. Perkara pertama adalah diri sendiri. Apakah tujuan utama kita melakukan semua ini? Adakah hanya bertujuan membalas dendam ataupun tanggungjawab yang telah Allah amanah kepada kita ataupun hanya untuk bersuka-suka sahaja.
Setelah memastikan bahawa semuanya tidak dipengaruhi oleh semua perasaan ini barulah saya meneruskan langkah yang seterusnya. Bukan mudah untuk menyedarkan seseorang tentang tanggungjawabnya. Di tambah lagi pihak berkenaan langsung tidak mahu tampil berterus terang dan juga berbincang secara baik dan juga aman damai. Hanya kesabaran dan juga berdoa semoga Allah menunjukkan jalannya yang terbaik untuk selesaikan semua permasalahan.
Menyedarkan seseorang yang pernah menjadi seorang yang amat terpenting di dalam kehidupan ini bukanlah perkara mudah. Walaupun tahu dia mempunyai banyak sikap yang negatif tapi saya pasti Allah akan membuka hati dan juga mindanya suatu hari nanti. Tugas menyedarkannya membuatkan saya berasa semakin hari semakin membawa suatu keinsafan ke dalam kehidupan saya selama ini. Keinsafan timbul bahawa Allah mampu melakukan apa sahaja kepada kehidupan saya.
Ianya membuatkan saya perlu mendekatkan diri kepada maha pencipta, berharap hanya pada yang maha esa dan haruslah redha dan ikhlas menerima segala ketentuan. Nyata di setiap perjalanan kehidupan saya terlalu banyak keajaiban yang telah berlaku. Bagaimana saya membebaskan semua perasaan dendam dan juga benci tanpa saya sedari. Menerima segala kekecewaan dengan segala kesabaran dan berusaha perbaiki segala kelemahan diri selama ini.
Saya pasti, Allah akan mengaturkan sesuatu yang terbaik buat diri dan juga anak-anak tersayang. Walaupun di peringkat permulaan agak sukar dan payah, namun asal hati kita jujur dan ikhlas pasti Allah akan permudahkan segala perjuangan ini. Insha Allah. Alhamdulilah.
Coretan Kesedaran
Sariah Awang Senik
Nota : Doakan agar perjuangan saya yang seterusnya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment