Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Dah seminggu lamanya saya terpaksa melalui keadaan ini. Batuk, selsema dan juga kadang kala letih dan lesu badan dibuatnya. Batuk pada permulaannya memanglah berkahak. Tetapi apabila dah hilang kahaknya terasa perit yang teramat sangat. Kerana batuk yang teruk, telah membuatkan suara saya hilang dan sukar untuk bercakap.
Ada masanya saya batuk dan terasa macam hendak bersin, namun tidak kesampaian. Mungkin juga sebab kurang berehat ataupun faktor cuaca yang tidak menentu. Dengan pekerjaan yang melibatkan pelbagai jenis minuman terutamanya ais batu dan sebagainya. Cuaca yang teramat panas membuatkan saya mudah tergoda hendak terus minum air yang berais tanpa minum air suam terlebih dahulu. Akibatnya sendirilah yang menanggung sakitnya.
Hari cuti rehat ini, anak dara kesayangan juga mengadu sakit tekak dan juga pening kepala. Tambah pula bila ada sedikit rasa selsema di hidungnya yang baru nak bermula. Saya dan anak dara hari ini membuat keputusan untuk pergi berjumpa doktor. Alhamdulilah segalanya berjalan dengan lancar kecuali masa anak dara terpaksa mengambil darah sebanyak 2 kali kerana keadaan darahnya yang cepat membeku.
Apabila batuk menyerang di tekak saya hampir tidak terkawal jadinya. Rasa bagai nak terkeluar anak tekak apabila mula sahaja batuk menyerang. Kadang kalanya hampir membuatkan saya rasa bagai nak terkencing dan juga pening kepala dibuatnya. Syukur hari ini saya dan anak dara dapat ubat masing-masing. Memandangkan ubat ini memberikan kesan mengantuk, maka tidak sesuai dimakan semasa waktu bekerja.
Ya, Allah batuk kau pergilah jauh-jauh. Apabila batuk menyerang bagai nak pitam dan rasa sungguh terseksa. Walaupun keadaan suara sudah semakin pulih, namun batuknya tetap masih ada. Semoga akan semakin pulih dan dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Insha Allah. Amin.
Coretan Batuk
Sariah Awang Senik
Nota : Batuk dan juga selsema cukuplah pergi ke klinik kerajaan sahaja. Insha Allah akan bertambah pulih.
No comments:
Post a Comment