Wednesday, 26 August 2015

KARI AYAM SPECIAL DAN CEPAT

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah, hari ini saya berpeluang untuk bercuti selama sehari. Memang setiap hari Rabu, saya akan bercuti rehat. Aktiviti saya sepanjang hari ini berjalan dengan lancar. Kebetulan anak dara tersayang tidak bersekolah kebangsaan dengan alasan penat dan sakit kepala. Walaupun begitu, dia tetap meluangkan masa dan ringan tulang untuk membantu saya menguruskan hal-hal rumahtangga.

Selepas selesai segala urusan rumahtangga, saya pergi ke pekan untuk membeli beberapa barang keperluan dan juga membayar terlebih dahulu beberapa bil yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Hari ini saya bercadang hendak memasak Kari Ayam yang serba ringkas dan juga sangat senang untuk disediakan. Kemungkinan besar masakan kari ayam saya ini tidaklah sesedap masakan kari mamak di restoran mamak di luar sana. Namun setiap kali selesai memasak dan anak-anak sudah pun makan, mereka selalu memuji masakan kari ayam saya. Kali ini terasa bangga pula, apabila anak-anak memuji masakan saya. Ok,  di bawah ini saya ada sertakan resipi ringkas masakan Kari Ayam yang tersangatlah ringkas dan senang disediakan ini.

Antara bahan-bahan untuk masakan Kari Ayam saya ini ialah ;
Dah tentulah, ayam separuh. Tetapi kalau nak gunakan daging pun boleh juga.
A) Ayam separuh
B) Ubi kentang 2 biji. Jika nak lebih pun boleh. Ikut sukatan ayamnya.
C) Santan kelapa
D) Halia
E) Beberapa ulas bawang putih.
F) Bawang merah yang besar.
G) Sedikit halia.
H) 2 Biji cili padi, kalau suka nak lagi rasa pedas.
I) Serbuk kari Baba's.
J) Daun kari.
K) Sedikit asam keping.l
Cara-cara membuatnya;
-------------------------
Potongkan ayam mengikut saiz yang anda suka. Basuh bersih-bersih ataupun untuk hilangkan bau ayam, bolehlah dibasuh dan dibilas dengan beberapa biji limau kasturi. Setelah siap, toskan ayam terlebih dahulu.
Kupas ubi kentang dan ketepikan. Hiriskan bawang merah besar, bawang putih dan sedikit halia. Cili padi bolehlah dibuang bijinya dan dibelah dua.
Bancuhkan serbuk rempah kari Baba's dan sediakan beberapa helai daun kari.
Jangan lupa santan kelapa. Ikut suka, sama ada hendak kari ayam kuahnya pekat ataupun cair.
Setelah siap semuanya, panaskan minyak. Tumis bawang besar merah, bawang putih dan halia sehingga naik aromanya. Kemudian letakkan beberapa helai daun kari dan masukkan rempah kari Baba's. Kacau semua bahan sehingga sebati dan kemudian masukkam ayam dan juga ubi kentang.
Kacau lagi semua bahan-bahan sehingga rata. Apabila air ayam telah pun kering dan rempah kari telah sebati, bolehlah masukkan santan kelapa.
Kacau lagi sekali dan biarkan hingga dia mendidih seketika. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan juga asam keping.
Akhir sekali setelah siap, bolehlah dihidangkan sama ada untuk hidangan makan tengahari ataupun makan malam.

Itulah masakan ringkas dan cepat Kari Ayam saya hari ini. Kari ayam ini sedap juga dimakan dengan roti ataupun lempeng. Jika ada yang terkurang dimana-mana, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan juga maaf. Kerana resipi Kari Ayam yang ringkas ini telah lama saya masak sejak dahulu lagi.

Sekian, terima kasih dan selamat mencuba.
Sariah Awang Senik

Nota : Selain daripada ayam, anda juga boleh gantikan dengan daging ataupun.udang. Cara memasaknya juga sama mengikut daya kreativiti anda.

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...