Monday, 31 August 2015

ERTI KEMERDEKAAN INI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Group Whatshapp
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamulaikum. Selamat Hari Kemerdekaan buat semua rakyat Malaysia dan juga semua pembaca blog yang sangat saya hormati. Rasanya belum terlambat saya meraikan hari kemerdekaan ini. Kemerdekaan ini sebenarnya terlalu berharga buat diri saya. Bagaimana saya masih berusaha dengan lebih gigih lagi untuk membebaskan diri dari semua sifat negatif dan senantiasa tetap kekal bersifat positif.

Negara Malaysia memang telah lama mencapai kemerdekaannya yang tersendiri. Betapa susah dan peritnya pejuang terdahulu berjuang untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Hinggakan ramai insan-insan hebat yang sanggup berkorban apa sahaja demi mencapai kemerdekaan. Keadaan negara kita pada masa itu sangat susah dan daif. Tidak bebas bersuara demi menegakkan hak masing-masing dan juga terpaksa melalui pelbagai halangan untuk mendapatkan hak bersuara. Bukan semua yang berani menyuarakan pendapat. Hanya sesetengah golongan sahaja.

Kini setelah mencapai kemerdekaan, ada banyak lagi tanggungjawab lain yang harus difikirkan. Mengekalkan keamanan dan juga kemerdekaan yang telah kita nikmati hampir berpuluh tahun lamanya. Terlalu banyak perkara yang telah berlaku kepada negara kita sejak kebelakangan ini. Negara dilanda musibah satu persatu akibat daripada kerakusan kita yang terlalu mengejar kemajuan dan juga permodenan tanpa menghiraukan nilai-nilai kemanusiaan yang telah sekian lama dipupuk oleh nenek moyang kita yang terdahulu. 


Akibat dari semua faktor arus kemajuan dan juga permodenan, sifat-sifat mulia dan hormat menghormati sesama sendiri makin lenyap daripada diri kita. Ada yang terlalu bersifat tamak, sombong dan tidak kurang juga yang sanggup mengadai maruah diri, keluarga dan negara hanya semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan juga wang ringgit yang banyak. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan juga agama. Kita bertuah walaupun terdiri dari kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya, kita masih mampu untuk bertegur sapa dan juga bertukar-tukar fikiran tentang apa sahaja. Kita bebas untuk bergerak dan juga melakukan pelbagai aktiviti harian tanpa risau akan keselamatan diri dan juga keluarga. 

Bayangkan kita berada di negara-negara yang dilanda krisis politik dan juga perang seperti negara Palestin dan juga Syria. Betapa susah dan peritnya mereka menjalani kehidupan seharian. Walaupun untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain adalah tidak selamat sama sekali. Maka dengan kemerdekaan yang kita nikmati ini, haruslah dihargai dan juga dijaga sebaik yang mungkin untuk generasi yang akan datang. Janganlah sesekali kita mengadaikan maruah negara hanya semata-mata untuk kepentingan masing-masing.

Bersempena dengan hari kemerdekaan kali yang ke 58 ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia yang sangat saya hormati dan juga sayangi. Moga keamanan dan kesejahteraan ini terus kekal buat anak cucu dan juga genarasi baru yang akan datang. Amin.


Saya Sayang Malaysia

Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...