Friday, 14 August 2015

SYUKUR ALLAH PILIH SAYA

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamulaikum, alhamdulilah. Suasana malam ini begitu nyaman sekali. Syukur juga kepada Allah kerana semua tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga pekerja dapat dilaksanakan sebaik yang mungkin. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan masalah, namun Allah telah menetapkan jalannya yang tersendiri untuk semua masalah yang sedang saya hadapi.

Kehidupan ini tidak lari daripada pelbagai masalah. Masalahlah yang banyak mengajar seseorang supaya dapat berfikir secara lebih matang dan dapat bertindak tidak mengikut emosi dan berada di dalam keadaan yang tenang. Sejak dari dahulu lagi, kehidupan yang saya lalui penuh dengan banyak dugaan yang maha hebat. Bermula dengan kehilangan bonda tercinta, nenek, anakanda tersayang dan juga kedua arwah ibu dan juga bapa mertua yang sangat di hormati.

Saat melalui semua dugaan ini, saya tertanya-tanya kepada diri, kenapa Allah menduga saya dengan pelbagai kehilangan insan tersayang ini? Kenapa Allah pilih saya untuk menjaga insan-insan tersayang dan akhirnya mereka semua pergi meninggalkan saya. Rupa-rupanya Allah mahu saya melalui dan mengalami sendiri semua pengalaman hebat semasa menjaga insan-insan tersayang ketika mereka sakit. Allah mahu jadikan saya seorang manusia yang lebih sabar, kuat dan juga berjiwa besar. Saya berasa sangat bersyukur kerana Allah telah pilih saya untuk melalui semua pengalaman indah ini.

Setelah hampir beberapa tahun berlalu, sekali lagi Allah menduga saya dengan dugaan yang hebat dan memberi impak yang besar terhadap diri dan juga anak-anak. Rumahtangga yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang hancur berkecai dalam sekelip mata dan segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang bergelar seorang isteri langsung tidak dihargai. Berakhirlah mahligai indah saya dan atas alasan tiada lagi rasa kasih sayang maka saya dilepaskan tanpa ada rasa kasihan dan simpati. Tanpa rela saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk mempertahankan diri. Segala usaha telah dilakukan sebaik yang mungkin, namun saya redha yang tanggungjawab saya sebagai isteri hanya cukup sampai disini sahaja.

Hilang arah tujuan dan tempat bergantung, rasa diri tidak berguna dan tidak dihargai dan juga malu dengan status saya sebagai seorang ibu tunggal. Masyarakat seolah-olah menghukum saya diatas kegagalan rumahtangga ini. Begitu perit dan hanya tuhan sahaja yang lebih mengetahui betapa sukarnya keadaan saya di ketika itu. Berperang dengan semua konflik rasa itu, saya bertemu dengan seseorang yang banyak mengajar saya tentang ketabahan dan juga pengertian disebalik semua kisah duka yang telah saya lalui. Perkara pertama adalah muhasabah diri sendiri dan kembali semula kepada Allah serta banyak dekatkan diri kepada maha penciptanya. Setelah itu, belajarlah secara beransur-ansur untuk memaafkan orang lain termasuk juga insan-insan yang pernah melukai hati dan perasaan saya. Lepaskan segala rasa marah dan juga rasa dendam dan benci. Tiada guna menyimpan semua perasaan negatif itu kerana iannya kelak akan memakan diri kita sendiri.

Berkat dari semua nasihatnyalah saya bangkit membina kembali kehidupan yang telah musnah. Semua yang berkecai, saya cantumkannya semula menjadi satu impian yang cukup indah. Impian mencapai kebahagiaan tersendiri bersama-sama anak-anak tanpa kehadiran seorang yang bernama suami. Rupanya di sebalik semua dugaan itu, saya bertemu semua insan-insan hebat yang telah melalui pengalaman yang lebih teruk daripada kisah duka saya. Saya berasa bersyukur dan tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan perasaannya di ketika itu.

Hadiah daripada semua dugaan itu, saya rupanya telah mengenal apa yang saya mahukan selama ini. Dari semua dugaan-dugaan yang telah dilalui bakal jua menjadi suatu kisah hebat yang bakal memberi pengajaran kepada semua yang singgah membaca entri yang tidak seberapa ini. Kisah perjuangan kehidupan ini memang tidak setanding kisah para nabi dan juga sahabat-sahabatnya. Cuma mungkin dapat dijadikan suatu dorongan dan juga motivasi kepada orang lain supaya tidak mengeluh ataupun marah saat dugaan datang didalam kehidupan mereka.

Malam semakin dingin. Terdengar nafas dengkuran daripada anak-anak tersayang yang sedang lena diulit mimpi nan indah. Begitu damai saya menatap wajah-wajah mereka dan jauh disudut hati saya sangat bangga kerana dapat melihat sendiri segala perkembangan anak-anak tersayang. Ya, Allah bersyukurnya saya kerana Allah telah pilih saya untuk melalui semua dugaan ini dan kini nikmat dan hadiah daripada semua dugaan itu menjadi sebuah kebahagiaan yang tiada ternilai harganya.

Semoga tuhan senantiasa merahmati kehidupan saya dan anak-anak. Dan juga anak-anak akan dapat menjadi anak-anak yang taat dan juga solehah. Amin.

Coretan Sebuah Kesyukuran.
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...