Wednesday, 2 September 2015

KENAPA SAYA MENULIS LAGI

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Google
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Rutin harian berjalan dengan lancar dan seperti biasa. Usai menghantar anak-anak tersayang, segala kerja rumah saya selesaikan seperti biasa. Rasa teruja ingin menulis lagi, namun apakah entri yang baik dan dapat memberikan impak besar kepada semua pembaca blog yang singgah membaca di entri saya kelak.

Saya cuba memikirkan sesuatu. Secara jujurnya nyata perkongsiaan saya di blog telah ada yang berminat untuk membaca dan juga berkenalan dengan lebih rapat. Kisah saya sebagai seorang ibu tunggal yang positif keluar dalam majalah Mingguan Wanita semalam. Rasa malu memanglah ada. Apa pun saya tetap kekal berfikir positif dan menganggap kisah itu adalah satu peluang untuk saya memotivasikan ibu tunggal yang lain agar tidak terus bersedih dan asyik mencari kesalahan diri masing-masing.

Maka rentetan daripada itu, saya mahu menulis lagi. Dan diharap dengan penulisan saya yang tidak seberapa ini mampu memberikan semangat kepada semua kaum wanita yang lain. Bagi pandangan saya, semakin kehidupan seseorang itu penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran, percayalah Allah yang maha esa berada dekat disisi kita. Kehidupan seseorang semuanya berbeza dan juga berwarna-warni. Secara jujurnya saya tidak suka menyalahkan sesiapa dan lebih suka melihat kelemahan diri dan memperbaiki sebaik yang mungkin.

Kenapa saya mahu menulis lagi? Kerana terlalu banyak kisah kehidupan wanita-wanita hebat yang berada disekeliling dan perlu ditulis agar suatu hari nanti bakal menjadi suatu sumber inspirasi dan juga mungkin satu motivasi kepada semua yang sedang dilanda permasalahan ataupun apa sahaja. Seorang manusia apabila pergi dari kehidupan ini pasti akan meninggalkan.sesuatu. Keluarga, sahabat andai dan juga semua harta benda sepanjang kehidupannya di atas muka bumi ini.

Namun dengan menulis dan tulisan inilah tidak akan hilang dan akan terus kekal sehingga ke generasi yang akan datang. Apa yang hendak ditulis haruslah yang baik-baik dan jangan sesekali negatif. Letakkan semua perkara yang negatif disebelah dan tukarkan semua perkara menjadi positif.

Sejak di bangku sekolah lagi, saya memang minat menulis. Tidak kira diari ataupun apa sahaja, pasti saya seronok menyusun ayat membina perkatann berdasarkan apa yang berlaku di kehidupan seharian saya. Ketika itu, saya tidak pasti yang dengan menulis mampu mengubah kehidupan seseorang. Ditakdirkan Allah rumahtangga yang dibina musnah begitu sahaja. Saat itulah segala-galanya berubah di dalam sekelip mata.

Di dalam melayari kesedihan dan juga kesukaran untuk membina kembali kehidupan yang baru, saya ditakdirkan Allah berkenalan dengan seorang hamba Allah di laman sosial ini. Selalu juga saya meminta nasihat dan juga menceritakan semua masalah kepadanya. Hamba Allah tersebut ialah Pn Anys Idayu Zakaria. Beliau seorang yang lebih muda daripada saya dan sangat komited membantu saya untuk lebih banyak mengasah bakat menulis. Tidak disangka yang menulis juga mampu menjana pendapatan sendiri.

Kini telah hampir dua kali saya dilamar oleh para wartawan untuk berkongsi kisah kehidupan sangat berwarna-warni ini. Dahulu kisah tentang arwah anak tersayang dan kini kisah kehidupan saya sebagai seorang ibu tunggal yang positif membina kembali kehidupan. Walaupun.belum berjaya sepenuhnya, namun yang pasti, saya tidak akan sesekali menoleh kebelakang lagi.

Semoga apabila saya telah tiada di dunia ini, semua hasil penulisan saya dapat dibaca kembali oleh anak-anak, anak cucu dan juga generasi baru yang akan datang. Insya Allah. Amin.

Yang Suka Menulis
Sariah Awang Senik

Wishlist :
Dah lama tidak menulis tentang wishlist ini. Saya bercita-cita ingin menjadi penulis sambilan jika ada yang berminat. Apa pun perlu lagi banyak belajar tentang selok-belok menulis.

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...