Tuesday, 11 November 2014

KASIH SAYANG TERLERAI DEK SEBUAH PERCERAIAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Alhamdulilah, segalanya dipermudahkan oleh Allah dengan caranya yang tersendiri. Apabila berlakunya sesuatu perceraian selalunya yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Mereka sebenarnya tidak memahami apa yang telah berlaku di antara kedua ibu dan bapa mereka.

Tiada siapa yang berkahwin dan kemudiannya bercerai. Setelah melalui pelbagai episode kesedihan di dalam melalui sesebuah perceraian, nyata keadaan makin aman dan tenteram serta mempunyai banyak ruang untuk berfikir dan memperbaiki kehidupan yang telah tersedia ada. Apa pun yang berlaku, kehidupan haruslah diteruskan dan berfikir secara positif untuk kebaikan semua.

Bukan mengenang dan berharap sesuatu yang tidak pasti, tetapi apa sahaja bentuk perceraian yang berlaku hubungan kasih sayang antara seorang anak dan ayah tetap sama. Tiada yang berubah dan jangan sesekali menanamkan perasaan benci di dalam hati anak-anak.

Gambar yang di selitkan di dalam entri ini adalah gambar kenangan anak yang bongsu bersama abahnya suatu ketika dahulu. Dahulu anak yang perempuan memang agak rapat dengan abahnya tetapi setelah perceraian hubungan kasih sayang antara anak dan abahnya semakin terpisah jauh. Kemungkinan abahnya memerlukan ruang untuk berfikir ataupun sedang sibuk dengan urusan kerja dan sebagainya.

Sebenarnya yang berpisah dan bercerai hanyalah ibu dan bapa tetapi tidak anak-anak. Hubungan itu tetap akan kekal sehingga ke akhir hayat. Maka sepatutnya wajarlah sama ada ibu ataupun bapa berusaha memperbaiki hubungan walaupun telah bercerai. Sebagai ibu saya tidak pernah menghalang anak-anak ataupun abahnya untuk berjumpa dengan anak-anak.

Memberi kebebasan sepenuhnya tidak bermakna lepas tangan tetapi masih memantau segala tindakan dengan tidak dipengaruhi oleh semua perasaan negatif. Memainkan peranan sebagai seorang ibu dan juga ayah, bukanlah suatu perkara yang mudah. Tetapi tetap percaya bahawa apa yang berlaku ada hikmah yang tersendiri.

Kini saya sebagai seorang ibu tetap dan akan senantiasa berdoa moga hubungan kasih sayang antara anak-anak dan juga abah mereka akan bertambah baik. Hati saya tetap yakin mungkin ada sesuatu ataupun sebabnya tersendiri kenapa abahnya semakin menjauhkan diri daripada anak-anak. Namun kasih sayang anak-anak terhadap abah mereka tetap akan kekal di hati anak-anak tersayang.

Coretan Kasih Sayang
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...