Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Facebook
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Daripada Abdullah Bin Amru r.a. katanya,
Seorang lelaki menghadap Rasulullah lalu berkata, " Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang ( jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah.
" Rasulullah bertanya, " Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?"
Jawabnya, " Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup." Rasulullah bertanya lagi
" Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah?" Jawabnya, " Ya."
Kata Rasulullah, " Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah kepada kedua-duanya."
( H.R. Bukhairi dan Muslim)
Salam Maal Hijrah buat semua rakan-rakan dan juga pembaca blog yang sudi singgah sebentar membaca entri saya pada kali ini. Alhamdulilah juga awal pagi ini saya masih lagi dapat bangun dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Hujan lebat yang turun menyembah bumi di daerah saya pada petang semalam, rupanya telah membasuh bersih segala sisa-sisa jerebu yang telah melanda di daerah kesayangan sejak beberapa minggu yang lepas. Sepanjang perjalanan semasa menghantar anak dara tersayang ke sekolah saya sempat melihat pemandangan yang serba indah dengan dihiasi bunyi burung-burung yang berkicauan yang mana sibuk meninggalkan sarang masing-masing untuk keluar mencari serba sedikit rezeki untuk anak-anaknya nanti.
Begitu jugalah hal yang sama berlaku di sekeliling saya. Bertemu jiran tetangga, singgah sebentar membeli sedikit kuih buat sarapan pada pagi ini. Berbual seketika dengan makcik dan pakcik yang sangat ramah dan mesra. Bertanya khabar sesama sendiri dan saling mengambil berat akan satu sama yang lain. Hidup berjiran dengan pelbagai bangsa dan agama. Namun masih kekal mengamalkan sikap mengambil berat di antara sesama sendiri.
Itulah indahnya kehidupan ini. Tidak perlu terlalu kaya dan ada kedudukan untuk saling mengambil berat dan membahagiakan orang lain. Walaupun hanya sekadar berbalas senyuman tetapi cukup melegakan hati saat dilanda satu kesusahan. Tahun demi tahun silih berganti. Maka sikap diri harus bertambah baik dan tidak lagi bersikap negatif.
Sempena awal bulan Muharram ini, marilah tinggalkan semua perasaan negatif dan terapkan nilai-nilai positif di dalam diri masing-masing. Tidak perlu terlalu bersedih, jika punyai kehidupan yang tidak seindah mana. Jangan lupa kita masih punya anak-anak yang perlu didikan yang sebaik mungkin, keluarga dan semua rakan-rakan yang tetap setia bersama-sama mengharungi kehidupan seharian. Cabaran dan masalah tetap akan ada dan wujud di setiap penjuru kehidupan ini. Itulah indahnya kehidupan ini. Dihiasi dengan warna-warninya yang tersendiri.
Saat dilanda kegagalan, kekecewaan saat itulah kita akan mendapat pengajaran dan belajar daripadanya. Dan juga menjadi semakin matang dari semasa ke semasa. Belajarlah menghadapi semua permasalahan dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa terlalu asyik membuang masa memikirkan segala permasalahan tersebut.
Buat semua rakan-rakan yang sangat dihormati, Salam Maal Hijrah buat semua, dan semoga apa yang kalian rancangkan akan berjalan dengan lancar sebaik yang mungkin.
Coretan Maal Hijrah
Sariah Awang Senik
No comments:
Post a Comment