Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Alhamdulilah aku berasa sangat bersyukur dengan segala kehidupan aku sekarang. Pada usia aku yang masih muda, aku bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang sangat cekal dan juga tabah mengharungi segala dugaan kehidupan. Aku adalah anak-anak mangsa perceraian kedua orang tuaku. Tidak pasti apakah sebab yang membawa kepada perceraian ini, namun aku tahu, ibu juga sudah berusaha sebaik yang mungkin untuk menyelamatkan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta bersama abahku.
Yang pasti aku dan adik sangat terkesan dengan kisah perceraian orang tuaku. Betapa gigih dan bersemangatnya ibu membina kembali kehidupan bersama aku dan juga adik. Ibu tidak pernah menyesal dengan apa yang terjadi dan senantiasa bersikap positif untuk meneruskan kehidupan dan juga segala cita-cita. Setiap apa yang ibu lakukan, aku dan adik-adik adalah menjadi segala keutamannya. Ibu sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan aku dan juga adik. Sebagai anak lelaki dan juga penganti ketua keluarga, aku tidak pernah sesekali membantah segala kata-kata ibu. Setiap apa yang dikatakan oleh ibu adalah demi kebaikan dan juga masa depan aku dan juga adik. Namun yang pasti walaupun ibu tidak dapat menyediakan semua kehendak aku dan adik, aku akan berusaha sendiri untuk mendapatkan sesuatu dengan titik peluh aku sendiri. Untuk memohon pertolongan abah dalam memenuhi kehendak aku dan juga adik adalah sangat sukar. Abah hanya bekerja kampung dan pendapatan pun tidak seberapa. Abah pun mungkin ada masalahnya tersendiri kerana nafkah yang diberi tidak pernah mencukupi untuk keperluan aku dan juga adik.
Aku mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan pada hari Sabtu dan juga Ahad. Kadang-kadang jika tidak banyak kerja sekolah yang diberikan oleh ustaz dan ustazah aku akan bekerja pada hari Jumaat. Mulanya aku merasa kekok dan juga susah. Tetapi mengenangkan niat aku yang tidak mahu menyusahkan ibu, aku teruskan juga dan alhamdulilah semua pekerjaan ini berjalan dengan lancar. Walaubagaimana pun, ibu selalu mengingatkan tentang keutamanan tanggungjawab aku sebagai seorang pelajar. Kini aku sedang menuntut di tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Sungai Selisik Selangor Darul Ehsan. Sekolah aku ini kecil sahaja. Tetapi aku sangat selesa belajar dan juga bercampur gaul dengan kawan-kawan di sekolah ini.
Dengan hasil duit gaji aku yang tidak seberapa inilah aku menyimpan sedikit demi sedikit untuk keperluan aku dan juga adik. Dalam masa yang sama aku juga selalu membantu ibu di dalam menyediakan mana-mana keperluan dapur yang tidak mencukupi. Memang ibu tidak pernah meminta tetapi aku tahu banyak juga masalah ibu yang terpaksa dilaluinya tanpa menceritakan masalah yang ada terhadap aku dan juga adik. Sesungguhnya ibu memang tidak pernah berahsia. Masalah kecil ataupun besar aku, adik dan ibu akan hadapi dan selesaikannya bersama.
Walaupun ibu hanyalah seorang ibu tunggal , tetapi jarang sekali dia memohon bantuan orang lain di dalam menjalani kehidupannya seharian. Semuanya atas hasil usahanya yang tersendiri. Aku sangat sayangkan adik perempuan aku. Hanya dia satu-satunya adik beradik yang aku ada. Arwah kakak aku yang sulung telah lama meninggal semasa dia berumur tiga tahun lebih. Apa yang aku ingat masa itu, ibu dan juga sudah berusaha sebaik yang mungkin mengubati penyakit arwah kakak ku.
Aku tahu, kini ibu mempunyai harapan yang besar terhadap aku dan juga adik. Impiannya untuk melihat aku dan adik berjaya di dalam pelajaran dan juga agama. Ibu tidak pernah jemu berpesan dan berleter di dalam menghabiskan segala rutin harian aku dan juga adik. Awal pagi, ibu akan temankan aku menunggu bas untuk ke sekolah. Selepas itu, ibu akan menghantar pula adik perempuan aku ke sekolah pada pukul 7.10 pagi setiap hari. Tidak pernah ibu merasa jemu dan letih berbuat demikian pada aku dan adik setiap hari. Bukan menaiki kereta ataupun motor tetapi hanya berjalan kaki. Yang peliknya walau letih dia masih lagi tersenyum dan tidak pernah menyesal dengan kehidupannya.
Rutin harian aku dan juga ibu adalah hampir sama. Setiap hari Sabtu dan Ahad, aku akan bekerja sambilan. Kalau cuti sekolah itu, masa aku hanyalah bekerja. Ada juga sesekali aku akan menghabiskan masa bersama dengan rakan-rakan sebaya aku. Ibu pula tidak pernah dan dia banyak kali memantau pergerakan aku dan juga adik. Gerak hati dan naluri seorang ibu memang begitu agaknya. Setiap masa dan saat dia akan telefon dan memastikan keadaan aku dan juga adik. Ibu bekerja dari jam 3 petang hinggalah 12 malam. Sementara ibu keluar bekerja, aku akan menjaga adik perempuan aku dirumah. Adikku berumur 10 tahun dan boleh dikatakan lebih aktif berbanding diriku yang agak pendiam. Aku sangat berminat di dalam seni penulisan khat dan juga agak aktif bersukan di sekolah aku. Hampir setiap tahun aku mewakili sekolah di dalam pertandingan seni khat.
Apa pun inilah kehidupan aku sebagai seorang anak, abang , pekerja dan juga seorang pelajar. Aku berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk berjaya didalam pelajaran, sukan dan juga apa jua bidang aku ceburi. Dan aku tahu ibu tidak akan pernah sesekali penat berhenti berdoa untuk kebahagiaan aku dan juga adik perempuanku yang tersayang.
Coretan Kasih Sayang
Sariah Awang Senik
Nota : ' Aku ' yang dimaksudkan di dalam entri diatas adalah tentang pengorbanan anakanda tersayang Muhamad Aiman Hakimi serta adiknya Nur Damia Rifqah.
Sesuatu yang sangat membuatkan hati ibu ini terharu bagaimana dia belajar sedikit demi sedikit sebagai seorang ketua keluarga. Semoga anakanda tersayang terus cekal dan tabah dan berjaya di dalam apa jua bidang yang diceburinya. Insha Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment