Thursday, 18 June 2015

MENYEDARKAN BUKAN TUJUAN MENYUSAHKAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Tiada
http://sariahawangsenik.blogspot.com

Assalamulaikum dan selamat berpuasa kepada semua yang berada di luar sana.
Semoga kita semua mendapat berkat daripada semua amal ibadah yang bakal kita laksanakan sebaik yang mungkin.
Sebenarnya kita patut berasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberi. Tidak kiralah nikmat tersebut datang di dalam bentuk yang berbeza-beza.

Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal bukanlah perkara yang mudah. Tetapi jangan sesekali menjadikan alasan tersebut sebagai alasan untuk terus lemah dan juga rendah diri. Segala cabaran dan dugaan harus dihadapi dengan sebaik yang mungkin. Hanya beberapa peratus sahaja pasangan yang telah berpisah boleh berbincang secara baik tanpa menyimpan terlalu banyak perasaan marah dan juga dendam terhadap pasangan masing-masing.

Begitu jugalah hal dan keadaan yang sama yang pernah saya alami selama beberapa tahun ini. Secara jujurnya di peringkat permulaan memang teramat perit. Namun memikirkan masa depan anak-anak serta kebahagiaan mereka, maka saya mengambil keputusan untuk membina kembali kehidupan dan menyambung semula segala cita-cita yang tidak tercapai selama ini. Hal yang teramat besar di dalam sebuah perpisahan adalah masalah nafkah dan juga tanggungjawab si ayah selepas perpisahan. Bukan mudah untuk mendapatkan perintah mahkamah di dalam tuntutan nafkah anak-anak. Setelah mendapat perintah mahkamah pun belum tentu pihak bekas suami akan mematuhi segala perintah yang telah ditetapkan. Apa sebenarnya yang cuba pihak bekas suami ingin buktikan hanya yang Allah jua yang mengetahuinya.

Namun apa pun saya tetap kekal bersikap positif. Hanya menganggap segala masalah yang ditimbulkan oleh pihak bekas suami sebagai salah satu cabaran hidup. Saya sedar dimana kekuatan dan juga kelemahan yang dihadapi. Seingat saya untuk berbincang secara baik baik dengan pihak bekas suami tentang nafkah anak-anak adalah amat mustahil. Tetapi saya tetap berdoa dan berusaha dengan menggunakan segala sistem perundangan syariah yang ada selama ini.

Setelah mendapatkan perintah mahkamah, pihak bekas suami langsung tidak mengambil berat akan perintah tersebut. Tidak pasti dia ada menghadapi masalah yang lain, namun tanggungjawabnya sebagai bapa walaupun setelah berpisah harus difahami sebaik yang mungkin. Memang setelah mendapatkan perintah mahkamah, pihak bekas suami sesuka hati membayar nafkah tanpa ada rasa kesedaran dan displin yang baik. Tetapi saya tetap berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar.

Sebagai jalan keluar bagi permasalahan ini saya berusaha mencari jalan penyelesaian. Berkat menonton satu rancangan di sebuah stesen Tv terkenal saya mengatur rancangan agar dapat menyedarkan pihak bekas suami akan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Saya menyusun dokumen-dokumen yang penting agar apabila saya mendaftar nanti tiada satu pun dokumen penting yang tertinggal.

Apa yang saya sedang usahakan ini bukanlah bertujuan untuk membalas dendam terhadap pihak bekas suami. Saya hanya hendak sedarkan dia tentang tanggungjawab dan belajar sesuatu daripada setiap keputusan yang telah dia lakukan selama ini. Lari daripada masalah dan hanya mendiamkan diri tanpa sebarang penyelesaian bukan cara yang terbaik. Berbincang dan berfikir positif untuk masa depan anak-anak adalah agenda utama saya selama ini.

Saya berdoa agar segalanya dipermudahkan sebaik yang mungkin dan juga mengambil kesempatan berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini, moga Allah lembutkan hatinya untuk berbincang secara baik tanpa dipengaruhi oleh perasaan emosi di antara saya dan juga pihak bekas suami. Insha Allah. Amim.

Coretan Rasa Hati
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...