Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Sumber : Sendiri
http://sariahawangsenik.blogspot.com
Tentu semua kaum wanita tidak mahu menjadi seorang ibu tunggal. Begitu jugalah dengan saya. Bergelar seorang ibu tunggal tanpa rela, namun redha menerima semua ketentuan dengan hati yang tulus dan ikhlas. Kalau nak tahu, memang perit apabila bergelar seorang ibu tunggal. Perasaan malu dan rasa terhina dan juga terabai, itulah perasaan yang saya lalui setelah sah bergelar seorang ibu tunggal.
Saya mencari seribu kesilapan yang telah menyebabkan saya bergelar seorang ibu tunggal. Namun semakin hari saya merasa penat dan letih memikirkan semua perkara tersebut. Pasa pandangan saya, sebagai seorang isteri saya telah memberikan segala yang terbaik untuk rumahtangga yang di bina atas dasar cinta, tetapi tidak menjamin kebahagiaan di dalam rumahtangga yang saya impikan selama ini.
Demi masa hadapan anak-anak tersayang saya harus melakukan sesuatu yang terbaik untuk anak-anak dan juga kebahagiaan mereka. Tidak mahu terlalu memikirkan apa yang telah berlaku saya bangkit dengan semangat baru. Keluarga dan juga adik-beradik, merekalah yang banyak memberi semangat untuk membina kembali kehidupan seperti sedia kala. Bukan mudah sebenarnya, namun saya gagahkan diri dan kembali kepada yang maha esa, mohon di berikan keimanan dan juga kesabaran di dalam mengharungi pelbagai dugaaan.
Syukur ke hadrat Allah, saya mendapat kembali kekuatan dan juga semangat yang baru. Pernah juga meminta nasihat dari seorang rakan baik yang juga bergelar seorang ustaz. Dia menasihatkan saya supaya memaafkan semua orang yang telah melukakan hati saya termasuk jugalah bekas suami. Peringkat permulaan memang agak perit untuk memaafkannya. Kerana dia juga tidak pernah jujur terhadap saya dan anak-anak selama ini.
Tetapi apalah gunanya menyimpan perasaan dendam. Semuanya akan hanya memakan diri sendiri. Saya nekad membina kembali kehidupan dan membuktikan kepada diri sendiri dan juga orang lain bahawa saya juga mampu berjaya dan juga mendidik anak-anak hingga berjaya walaupun bergelar seorang ibu tunggal.
Lama kelamaan saya semakin yakin menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dan merasakan gelaran tersebut tidaklah terlalu membebankan diri dan juga menghantui diri saya. Antara tips-tips yang saya amalkan supaya tetap kekal bahagia ialah:
@@ Senantiasa mendekatkan diri kepada yang maha esa.
@@ Belajar bersabar dan menerima semua ketentuan dengan hati yang redha dan ikhlas.
@@ Senantiasa dekatkan diri dengan ahli keluarga dan cuba jalinkan hubungan yang baik keluarga bekas suami.
@@ Katakan pada diri bahawa tiada siapa yang mahu bercerai selepas berkahwin . Semua wanita inginkan kehidupan rumahtangga kekal bahagia hingga ke jannah.
@@ Kenali minat dan apa perkara yang anda suka buat semasa ada masa lapang.
@@ Isikan masa lapang anda dengan hobi yang anda suka buat. Seperti membaca, menulis, menjahit ataupun apa sahaja. Dengan cara ini, anda akan menjadi sibuk dan tidak terlalu memikirkan segala pengalaman pahit yang anda telah lalui.
@@ Jangan menyimpan perasaan dendam terhadap bekas suami ataupun sesiapa sahaja. Lepaskan semua perasaan dendam dan marah dan percaya bahawa setiap dugaan yang anda lalui ada hikmah yang tersembunyi.
@@ Habiskan seberapa banyak masa bersama dengan anak-anak tersayang. Mereka adalah yang paling teruk terjejas akibat daripada sebuah perceraian. Percayalah tiada anak-anak yang mahu kedua ibubapanya bercerai.
@@ Rancanglah percutiaan bersama-sama dengan keluarga. Jika kurang berkemampuan, cukuplah sekadar pulang ke kampung halaman ataupun ke suatu tempat yang menarik bersama dengan anak-anak.
Semua itu adalah tips yang saya selalu amalkan supaya senantiasa kekal positif dan tidak membebankan diri dengan pelbagai masalah. Percaya bahawa semakin banyak masalah yang mendatang akan makin membuatkan diri semakin matang di dalam mengharungi segala cabaran kehidupan. Semoga lebih ramai lagi ibu tunggal yang berjaya membina kembali kehidupan dan berdikari tanpa terlalu mengharap bantuan daripada orang lain.
Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik
Nota : Ingin melihat lebih ramai ibu tunggal berjaya di dalam kehidupan masing-masing. Ingin selalu memberi semangat kepada ibu tunggal agar tidak merasa rendah diri dengan status yang mereka miliki. Seorang ibu tunggal harus merasa lebih yakin, bersemangat dan ceria di dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment