Teks : Sariah Awang Senik
Pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu tiada ternilainya di dunia ini. Apabila dia berada di samping kita, jarang sekali segala kasih sayang dan perhatiannya kita hargai. Namun apabila ibu tiada dan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya barulah terasa segala kerinduan dan kasih sayangnya.
Arwah ibu telah lama meninggal kerana menghidap penyakit kanser payudara. Masih segar di ingatan saya segala kenangan pahit dan manis bersama-samanya. Semasa hayatnya arwah emak memang seorang yang tegas dan agak teliti di dalam menguruskan segala hal ehwal rumahtangganya. Saya pula adalah anak sulung dan semasa kecil memang merupakan seorang anak yang agak nakal dan suka memberontak.
Walaupun arwah emak menghidap penyakit kanser payudara tetapi semengat dan kekuatannya melawan penyakit adalah suatu keajaiban bagi diri saya. Emak masih aktif bekerja dan melakukan segala aktiviti hariannya seperti biasa.
Dia masih lagi boleh memasak makanan kegemaran keluarganya , menjahit, menanam pokok dan memelihara beberapa ekor ayam kampung. Pernah dia memaksa saya belajar memasak kerana katanya suatu masa nanti kalau emak sudah tiada, siapa yang akan memasak untuk adik-adik yang lain. Di samping terpaksa mendengar segala leteran dan marahnya saya paksakan diri belajar memasak dan menjahit demi menjaga hati nya yang selalu risaukan saya dan adik-adik yang lain. Arwah emak seorang yang kemas dan pembersih. Boleh dikatakan hampir setiap hari sebelum pergi bekerja dia akan meninggalkan banyak pesanan untuk saya dan adik-adik .
Kini segala-galanya tinggal kenangan. Yang tinggal hanyalah sedikit kemahiran memasak dan menjahit yang sekarang menjadi punca pendapatan saya sekeluarga. Dan setelah saya bergelar seorang ibu barulah saya fahami hati dan perasaan seorang ibu. Besarnya kasih sayang mereka kepada anak-anak tiada gantinya di dunia ini.
Doa dan harapan seorang ibu kepada anak-anak senantiasa bermain di bibir mereka. Sesungguhnya memang wajarlah syurga di bawah telapak kaki ibu. Kerana kasihmu ibu membawa ke syurga.
Al-Fatihah kepada ibu tersayang
Siti Rokiah Abd Kadir.
Yang merinduimu ibu Sariah Awang Senik.
No comments:
Post a Comment