Sunday, 9 February 2014

KERANA RINDU KU SEDEKAHKAN AL-FATIHAH

Teks : Sariah Awang Senik

Terasa terlalu cepat masa ini berlalu. Kekadang waktu yang hadir dari saat ke minit semakin mencemburui aku. Semakin cepat aku mengorak langkah demi langkah makin tidak terasa segala apa yang berlaku di sekeliling aku. Amanah yang kau kurniakan kepada diriku melengkapkan lagi kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Walaupun gelaran suri itu hanya tinggal sejarah namun tetap bersyukur dengan segala nikmat yang diberi. 

Baru sahaja semalam aku mengandung dan melahirkan kedua cahaya mata kesayangan aku. Dan dari detik itu bermulalah kehidupan seorang perempuan yang bergelar seorang ibu. Cabaran dan dugaan terlalu hebat rupanya. Kekadang airmata ini mengalir juga akhirnya apabila hati di landa seribu kekecewaan di segenap ruang naluri keibuan ini.

Kedua-dua anugerah ini membesar terlalu cepat sekali, di saat tangan ini masih belum puas membelai , memeluk dan mengusap seluruh tubuh mu . Hampir berbelas tahun bergelar seorang ibu, aku masih belum lagi terasa lelah di dalam menghadapi segala tingkah dan laku wahai putera dan puteri aku. 

Sekarang , puteraku sudah pun hampir meningkat dewasa dan puteriku yang bongsu bakal menjadi remaja. Apabila kalian semua pergi jauh meninggalkan ibu lantaran tuntutan ilmu, kerinduan hati ibumu ini makin terasa. Tiada harta dan wang ringgit yang dapat ibu wariskan untuk kalian berdua. Apa yang mampu ibu lakukan dan bekalkan hanyalah doa dan harapan ibu yang tidak pernah putus yang senantiasa ibu mohon apabila ibu menghadap yang maha esa.

Di atas sekeping sejadah yang hampir usang ini, doa sentiasa bermain di bibir ibu mu ini. Surah Al-Fatihah selalu ibu kirimkan apabila kerinduan makin membuak-buak di dada ini. Apabila terlalu asyik berdoa, tidak sedar secara tiba-tiba airmata ini mengalir terlalu deras dan hangat membasahi pipi ini. Segala bebanan dan penderitaan ini akan terlerai apabila nanti melihat kejayaan yang bakal kalian berdua kecapi nanti. Kerana kalian berdua ibu sanggup melupakan semua kebahagiaan ibu lantaran tidak mahu kehilangan segala kasih dan sayang kalian berdua. Apalah sangat kebahagiaan ibu mu ini jika di bandingkan nanti dengan kebahagiaan kalian berdua.

Ya, Allah moga dia senantiasa tetapkan keimanan ibu dan kesabaran yang lebih berganda di dalam menghadapi arus kehidupan yang sementara ini. Airmata hampir kering, mata semakin layu, tetapi tangan ini tidak pernah penat menadah tangan untuk terus memohon dan berdoa untuk kalian berdua tiap minit dan saat. Segalanya ibu lakukan kerana ibu tahu doa seorang ibu selalu di perkenankan oleh yang maha kuasa.

Buat kedua putera dan puteriku...hanya Al-Fatihah ibu kirimkan di saat kerinduan ibu makin terasa di hati ibu tuamu ini. Al-Fatihah sekali lagi....nikmat dan syukur yang nya di atas anugerah terhebat ini.


Keluhan Hati Ibu Sariah Awang Senik

Anak-anak tersayang Muhamad Aiman Hakimi Dan Nur Damia Rifqah......

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...