Memandangkan hari ini tidak berapa sihat saya bercadang untuk memasak sesuatu yang cepat dan ringkas. Rasa tekak yang tidak berape selesa menyebabkan selera saya terhad. Kata orang kalau badan tidak sihat ini makanan dan masakan yang sesuai adalah seperti sup ayam, ataupun sayur-sayuran.
Saya teringat apa yang ada di dapur hanyalah ada ayam separuh dan beberapa biji timun tahun yang saya beli di kedai semalam.
Hari ini saya memang malas hendak ke pasar kerana masalah batuk dan juga selsema. Jam telah hampir pukul 11.30 saya kena bersiap sedia masak sebab dalam jam 1.05 nanti anak perempuan saya akan balik dari sekolah.
Saya bercadang memasak resipi kegemaran arwah emak yang juga resipi tradisional dari kampung kelahiran saya Kuala Lipis Pahang.
Masakan tersebut adalah Masak Tempoyak Ayam Dan Timun Tahun
Bahan-bahannya adalah :
- Ayam separuh ataupun seekor mengikut berapa bilangan orang.
- 1 ataupun 2 biji timun tahun mengikut saiz ( kalau tiada timun tahun boleh juga digunakan timun biasa)
- Beberapa helai daun kesum
- 3 ataupun 4 tangkai bunga kantan
- Cili padi ataupun cili biasa ikut suka nak pedas ataupun sederhana.
- Dan bahan yang paling utama adalah asam tempoyak
- Boleh juga ditambah sedikit bawang untuk menambahkan rasa yang agak manis.
Cara-cara memasaknya :
Ambil ayam potong kecil-kecil ataupun sederhana basuh dan ditoskan.
Timun tahun ataupun timun biasa basuh dan dibersihkan. Potong timun memanjang dan kemudian kecil-kecil. Ketepikan timun tersebut.
Daun kesum dan juga bunga kantan dibasuh dan ditoskan. Bunga kantan dibelah dua di bahagian tengah-tengah dan diketepikan.
Cili padi , kunyit ( Terlupa nak senaraikan di atas) dan juga bawang ditembuk ataupun dikisar bersama-sama.
Setelah siap semua bahan-bahan tersebut di atas dimasukkan ke dalam periuk bersama-sama dengan ayam. Jangan lupa asam tempoyak kerana dialah bahan yang paling utama sekali. Letakkan sedikit air mengikut citarasa sama ada hendak kuah yang banyak ataupun tidak.
Setelah agak mendidih semuanya masukkan garam dan juga gula mengikut citarasa. Dibiarkan seketika kemudian rasalah garam dan juga gulanya.
Akhir sekali masukkan timun tahun, daun kesom dan juga bunga kantan. Setelah agak mendidih angkat dan bolehlah dihidangkan bersama-sama nasi putih.
Mudahkan tidak perlu pakai santan ataupun bahan perencah yang lain. Jikalau tidak suka ayam boleh juga digantikan dengan ikan ataupun daging.
Anak dara pun dah balik dan sekarang bolehlah saya makan tengahari bersama-sama dengannya. Okey selamat mencuba resipi saya yang tidak seberapa ini ya.
Ikhlas Dari Sariah Awang Senik
No comments:
Post a Comment