Wednesday, 8 January 2014

SAMBAL HITAM BELIMBING REBUS

Sebenarnya sambal ini agak istimewa daripada sambal yang biasa...contohnya..sambal ikan bilis, sambal belacan dan juga sambal-sambal yang ada di dalam masakan tradisional kita. Namanya pun agak unik dan hanya terdapat di daerah saya sahaja. Jikalau terjumpa ataupun terbeli dan juga ternampak sambal ini mungkin ada orang yang berasal dari daerah saya. 

Saya di lahirkan di Kuala Lipis Pahang negeri yang terkenal dengan sambal tempoyak dan juga ikan patinnya. Process yang paling rumit di dalam membuat sambal ini adalah belimbing itu sendiri. Bahan yang lain seperti ikan bilis , cili padi dan juga bawang mudah di dapati. Semasa saya kecil arwah emak mengambil masa yang agak lama untuk merebus belimbing menjadi kecut sampailah hitam. Hitam nya adalah secara semula jadi tetapi tidak hangus. Kita memang sedia maklum yang belimbing ini mengandungi air yang banyak....jadi semasa merebusnya kita tidak boleh letakkan air yang terlalu banyak. Jikalau boleh rebuslah belimbing tersebut di atas dapur kayu supaya aromanya akan lebih terasa.

Apabila telah selesai merebusnya...toskanlah air rebusannya terlebih dahulu supaya tidak menjadi terlalu lembik. Biarkannya kering daripada air buat seketika.

Setelah selesai mengeringkan belimbing tersebut ..bolehlah mula untuk membuat sambal hitam ini :

Bahan-bahan nya ialah :
- 4 atau 5 biji bawang kecil ( Jikalau suka bawang kecil , bawang besar pun boleh di gunakan)
- 1 biji bawang putih...Ikut suka
- 10 atau 20 biji cili padi ikut kalau nak pedas ataupun biasa...boleh juga di campurkan lada besar
- Ikan bilis- di basuh terlebih dahulu 
- Sudah tentulah bahan utama belimbing rebus yang telah di rebus tadi
 - Ambil di dalam satu gengam.

Cara-cara membuatnya :

Gorengkan terlebih dahulu ikan bilis tersebut hingga agak garing...jikalau tidak garing...nanti sambalnya agak lembik. Ikan bilis yang telah di goreng di angkat daripada kuali dan ketepikan terlebih dahulu.
Bawang kecil dan juga bawang putih bersama-sama dengan cili padi di tembuk di dalam lesung hingga  semuanya menjadi hancur. Boleh juga menggunakan pengisar makanan ataupun blender tetapi kena berhati-hati jangan letakkan air yang terlalu banyak semasa mengisarnya.

Tumiskan semua bahan yang dikisar di dalam kuali hingga naik baunya..kemudian letakkan belimbing rebus dan kacau semuanya menjadi sebati bersama-sama dengan cili dan juga bawang. Masukkan garam dan juga gula secukup rasa..garam kena berhati-hati sebab belimbing itu telah di rebus bersama-sama dengan garam. Yang terakhir masukkan ikan bilis yang telah di goreng. Kacau semuanya hingga menjadi sebati....semasa membuat sambal ini...api kena perlahan sebab sambal ini cepat hangit. Rasalah garam dan juga gulanya. 

Setelah siap bolehlah di hidangkan sebagai hidangan makanan tenghari. 
Kalau betul cara pembuatan sambal ini iaitu cukup kering dan juga garing ikan bilis nya...sambal ini tahan selama beberapa bulan malah bertahun-tahun juga. 

Saya pasti ramai rakan-rakan saya yang sudah komersialkan sambal ini. Tetapi agak payah mencari dan merasa resipinya yang asal. Asal sambal ini kena agak pedas dam belimbingnya sebati bersama-sama dengan ikan bilisnya. Sambal ini juga sesuai di makan dengan roti selain daripada nasi.

Apa pun selamat mencuba resipi tradisional orang kuala lipis ini...Hanya ini sambal istimewa yang saya warisi resipinya daripada arwah emak saya . Ada lagi beberapa lagi resipi yang ingin saya kongsikan bersama-sama tetapi masa tidak mengizinkan.

Okey....selamat mencuba...

Terima Kasih kepada arwah emak tersayang....Siti Rokiah Bte Abd Kadir kerana telah bersusah payah mengajar cara-cara membuat sambal hitam ini supaya resipi dan rasanya sama macam arwah wan buat dahulu. 


Sekian...Ikhlas Dari Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment

AKHIRNYA

26 Ogos 2024 Selasa Bagaikan semalam melahir dan membesarkan mereka berdua. Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri demi mencapai ...